Saturday, January 24, 2009

Finas cadang skim insurans artis


RAZALI Ibrahim (lima dari kiri) dan Mohd. Mahyidin Mustakim (tiga dari kanan) bersama kakitangan Finas serta para pemimpin persatuan artis pada pelancaran Hari Terbuka perbadanan itu di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah melakukan pelbagai usaha untuk membangunkan industri perfileman tanah air sejak ia ditubuhkan 28 tahun lalu.

Antaranya dengan menjalankan program pembangunan industri seperti menyediakan Skim Latihan Industri, pembiayaan kewangan, pemasaran dan penguatkuasaan Skim Wajib Tayang.

Terbaru, Finas yang diterajui oleh Pengerusinya, Datuk Razali Ibrahim bercadang untuk mewujudkan skim insurans secara berkelompok untuk artis-artis di negara ini.

Menurut beliau, pembiayaan skim itu boleh dijana menerusi tabung Skim Belaan Artis berjumlah RM5 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).

"Dengan adanya skim insurans itu, secara automatik artis-artis kita akan mendapat pembelaan apabila mereka sakit, kemalangan dan sebagainya. Ketika itu mereka tidak perlu lagi bergantung kepada Skim Belaan Artis.

"Selama ini, kita menggunakan dana daripada tabung itu bagi membantu artis-artis kita yang menghadapi masalah terutamanya soal kesihatan.

"Pembelian skim insurans secara berkelompok ini bukan sahaja bersifat minimal tetapi ia juga dapat dinikmati oleh ramai artis," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Hari Terbuka Finas 2009 di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Jelas Razali, pembelian skim insurans secara berkelompok itu bukan sahaja menjimatkan kerana ia dibeli dalam bilangan yang besar, tetapi juga lebih terancang dan bersifat jangka panjang.

Beliau memberi contoh, dengan adanya skim itu kelak, Finas tidak perlu lagi mengagih-agihkan bantuan kepada artis-artis yang memerlukannya, sebaliknya ia akan diuruskan oleh pihak insurans.

"Selepas ini, kalau ada artis-artis kita yang sakit dan memerlukan bantuan perubatan misalnya, mereka tidak perlu lagi datang kepada Finas kerana mereka sudah pun diinsuranskan.

"Lagipun jumlah pembelian skim insurans secara berkelompok lebih murah di mana kalau tiada apa-apa yang berlaku, duit yang kita laburkan daripada Skim Belaan Artis itu tidak susut.

"Sedangkan selama ini, kita hanya mengeluarkan duit daripada tabung skim itu kepada artis-artis yang memerlukannya tetapi lama kelamaan ia akan habis juga," ujarnya.

Skim Belaan Artis yang diwujudkan oleh Finas sejak kira-kira tiga tahun lalu diperuntukkan oleh KPKKW berjumlah RM5 juta bagi membantu artis terutamanya para penggiat perfileman tempatan.

Sejak skim itu diluluskan oleh Kabinet pada 18 Oktober 2006, lebih 30 artis kurang bernasib baik telah menerima bantuan kewangan keseluruhannya berjumlah RM236,100.

Pada majlis pelancaran Hari Finas 2009 itu, Razali turut menyampaikan sumbangan kepada enam artis India yang kurang bernasib baik berjumlah RM28,000 di bawah kendalian Persatuan Kebajikan Penghibur India Malaysia (MIEWA).

Cadangan Finas itu cukup baik bagi memastikan kebajikan artis-artis tanah air terbela kerana ramai di kalangan mereka yang tidak membeli insurans, selain tidak mempunyai faedah perubatan seperti para pekerja dalam bidang lain.

Bagi memastikan cadangan itu dapat direalisasikan Finas haruslah bekerjasama dengan persatuan-persatuan artis tempatan bagi mendapatkan senarai mereka.

Ia bagi memastikan hanya ahli-ahli yang berdaftar melalui persatuan-persatuan yang sah sahaja layak untuk disenaraikan sebagai penerima skim insuran tersebut.

"Sebagai contohnya, menerusi Gafim (Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia) sahaja mereka ada 11 persatuan di bawahnya. Kita akan kenal pasti ahli-ahli mereka yang berdaftar supaya menyertai skim insuran yang akan kami cadangkan nanti," katanya.

Bagaimanapun dalam hal ini, mungkin berlaku sedikit ketidakadilan kerana Finas yang terletak di bawah KPKKW lebih berfungsi bagi membantu para penggiat dalam bidang perfileman.

Justeru, KPKKW sepatutnya memikirkan juga para penggiat dalam industri muzik yang turut berada dalam kelompok artis di mana mereka ini tidak terkecuali memerlukan pembelaan.

"Perkara itu haruslah dirujuk kepada KPKKW kerana industri muzik juga terletak di bawah bidang mereka. Cuma saya sebagai Pengerusi Finas lebih kepada bidang perfileman.

"Sungguhpun begitu, sebelum ini pun Skim Belaan Artis bukan sahaja membantu 'orang filem' tetapi penyanyi dan pemuzik juga pernah mendapat bantuan, contohnya Datuk A. Rahman Hassan dan Zaiton Sameon," jelasnya.

Sempena Hari Terbuka Finas yang akan diadakan dari 31 Januari hingga 1 Februari ini di Finas, Hulu Klang, pelbagai aktiviti akan diadakan seperti pameran, demonstrasi, uji bakat, sesi bertemu pelakon, tayangan filem, jualan buku, taklimat kerjaya perfileman dan sebagainya.

Hari Terbuka Finas yang dibuka secara percuma kepada orang ramai juga akan menyaksikan perasmian Studio Digital Mixstage dengan kos RM53 juta yang dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada 1 Februari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: