Saturday, January 24, 2009

Vokal 'jantan' Azyza

Saya memulakan rakaman awal 2008 dan mengambil masa lebih kurang enam bulan. Disebabkan keselesaan komposer di setiap negara, maka saya membuat rakaman di tiga buah negara. – AZYZA


AZYZA tercabar apabila vokalnya dikatakan menyerupai lelaki.


RASANYA sudah lama negara kita tidak menerima kehadiran penyanyi dari Singapura. Mungkin disebabkan pasaran muzik yang lembap bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia, penyanyi luar terutamanya yang baru sukar untuk menembusi pasaran tempatan.

Namun, bintang baru yang ingin dikenali dengan nama Azyza ini tidak tunduk dengan situasi tersebut.

Walaupun sedar perjalanan untuk bergelar bintang popular agak sukar dan bakal melalui pelbagai rintangan, dia bersedia mengambil risiko. Berbekal album keduanya yang berjudul, Aku Di Sini, Azyza kini nekad.

"Saya sedar dengan krisis ekonomi banyak sektor termasuk industri muzik lembap. Namun, dengan suara dan identiti saya, rasanya pendengar akan menerima saya. Justeru, dengan sokongan daripada pendengar, radio, TV dan media, saya akan terus menyanyi," ujar Azyza ketika ditemui di studio Utusan baru-baru ini.

Berasal dari Bedok, Singapura, Azyza mula aktif dalam dunia hiburan sekitar lima tahun lalu. Album pertamanya, Ikhlas yang hanya dipasarkan di Singapura berjaya mendapatkan dirinya anugerah Lagu Terbaik pada majlis Anugerah Planet Muzik (APM) 2006.

Rentetan kejayaan itu, Azyza,28, membuat keputusan untuk mencuba pasaran lebih luas di Malaysia dengan album konsep Pop Balada.

"Album kedua saya itu akan dipasarkan di Malaysia sekitar bulan Februari ini. Jika ia berjaya, album tersebut bakal segera memasuki pasaran Indonesia dan Singapura" tambahnya.

Single pertama daripada album ini, Pengharapan Ini sudahpun mula disiarkan di beberapa radio tempatan. Menggunakan khidmat komposer dan penulis lirik dari tiga buah negara, Indonesia, Malaysia dan Singapura, Azyza juga merakamkan lagu di ketiga-tiga buah negara tersebut.

"Saya memulakan rakaman awal 2008 dan mengambil masa lebih kurang enam bulan. Disebabkan keselesaan komposer di setiap negara, maka saya membuat rakaman di tiga buah negara. Pengalamannya amat berbeza dan saya banyak belajar menerusi rakaman kali ini," jelas Azyza atau nama sebenarnya Azizah Mat Yasin.Barisan komposer dari Malaysia yang menyumbang kreativiti buat album Azyza itu ialah Adnan Abu Hassan, Mohariz Yaakub dan Cat Farish. Sementara komposer Singapura ialah Moliano dan dari Indonesia, Richard Kyoto.

"Bukannya saya sengaja memilih komposer dari tiga negara berlainan. Tapi apabila mereka mendapat tahu saya akan merakamkan album kedua, mereka semua memberikan lagu. Justeru, keputusan dibuat untuk menggabungkan lagu-lagu dari komposer ketiga-tiga negara," jelas Azyza.

Memuatkan sembilan buah lagu, Azyza yang meminati lagu rock suatu ketika dahulu mengakui dia pernah tidak menyukai vokalnya sendiri kerana beranggapan ia kedengaran seperti suara lelaki.

Namun, setelah dicabar untuk menyertai satu pertandingan nyanyian, Azyza mula jatuh cinta dengan nyanyian serta vokalnya itu.

Kini, bagi mencapai impian bergelar penyanyi, dia akan menetap di Malaysia bagi mengembangkan karier seninya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: