Azza khabarnya tidak minta maaf sekalipun gagal hadir rakaman. |
PIHAK pengurusan sebuah stesen TV swasta dengan nada kecewa menghubungi Zubir, mengadu perangai kekwat bekas anggota Elite, Azzarima Zawari atau lebih dikenali sebagai Azza Elite apabila dia dikatakan gagal menghadiri rakaman sebuah program hiburan yang dijadualkan berlangsung pada 15 Januari lalu, kira-kira jam 2.30 petang di sekitar Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
“Abang Zubir, Azza kata dia boleh buat rakaman itu, tapi sehari sebelumnya, dia menghubungi saya, memaklumkan dia tak dapat beri komitmen kerana terikat dengan jadual penggambaran satu drama. Bagi tahu pun dah jauh malam. Pun begitu, dia kata nak bagi artis gantian. Sedap hatilah sikit sebab Azza bertanggung jawab, nak bagi replacement, kononnya! Dia kata nak bagi nombor telefon artis berkenaan kepada kami, tapi ‘ado’!
“Pagi-pagi lagi saya menghubunginya untuk mendapatkan nombor telefon itu kerana dia kata nak bagi, tapi senyap saja, SMS pun tidak. Masa pula semakin suntuk. Namun, saya akhirnya berjaya menghubungi Azza selepas beberapa panggilan sebelum itu tidak berjawab. Tapi, yang jawab telefon, bukan Azza, sebaliknya dia mendakwa sebagai budak konti.
“Budak konti itu memberitahu saya, Azza sibuk shooting dan tak boleh diganggu. Katanya lagi, Azza akan call back apabila habis shooting nanti. Tapi, tolonglah Abang Zubir, yang bercakap dengan saya itu bukannya budak konti, sebaliknya Azza sendiri, dia menyamar jadi budak konti! Bukannya saya tak kenal suara Azza sebab sebelum ini saya pernah bercakap dengannya di telefon!
“Mujurlah pada saat-saat akhir sebelum rakaman bermula, kami dapat cari artis ganti. Budak konti yang kata Azza nak call back tu, sampai ke sudah, senyap saja. Saya tunggu juga sampai 11 malam, tapi jangan kata nak call, kirim SMS minta maaf pun tak ada! Sekurang-kurangnya Azza call atau SMS, minta maaf, dahlah mungkir janji, tapi caranya macam orang tak bersalah saja!“Kami dah serik dengan perangai Azza. Harap-harap dia berubahlah demi kebaikan dirinya juga. Untuk muncul dalam program TV kami selepas ini, kami akan memikirkannya banyak kali. Saya harap Abang Zubir tegurlah sikit Azza tu,” kata pihak pengurusan stesen TV berkenaan.
Bagi Zubir, ini satu dakwaan serius stesen TV terhadap Azza. Sekiranya benar Azza berkelakuan begitu, mungkir janji, tak minta maaf, Zubir menasihatkan Azza segera menghubungi pihak pengurusan stesen TV popular itu, minta maaf. Sekurang-kurangnya lembut hati pihak berkenaan yang berurusan dengan Azza. Zubir harap, jika dakwaan ini benar, Azza tidak mengulangi kesilapan sama, janji mesti dikotakan!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: