Sunday, January 18, 2009

Menaruh harapan malam ini


Farahwahida (kiri) dan Stacy

SI manis mewakili kategori Etnik Kreatif manakala si kecil molek pula Pop Rock. Namun, tatkala Farawahida Razali, 23, atau Fara dan Stacie Angie Anam, 18 atau Stacy digandingkan bersama dalam satu sesi fotografi di studio Bintang Popular, genre dan irama yang dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu Ke-23 malam ini, bagaikan menyatu.

“Setakat ini, dari segi persembahan pentas sudah 80 peratus siap, selebihnya lagi (20 peratus) cuma memerlukan Fara memperkemas dan membiasakan lagi aliran persembahan kerana latihan di Stadium Putra hanya bermula 14 Januari lalu,” ceritanya yang menjalani rakaman video klip di Jakarta untuk lagu Hilang Segalanya, Disember lalu.

Menyedari hakikat sukar mencari lagu popular menerusi kategori Etnik Kreatif, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Tanpamu menyifatkan AJL23 sebagai platform untuk lagu yang kurang dikenali dan jarang diputarkan di stesen radio bagi mendekati halwa telinga pendengar.

“Lihat saja Erti hidup nyanyian Dayang Nurfaizah (2004) dan Warkah Buat Laila (2006) nyanyian Zahid berterusan mendapat sambutan sebaik melayakkan diri ke peringkat akhir suatu ketika dulu. Bukan itu saja, lagu yang bertujuan mengangkat seni warisan budaya bangsa ini turut mendapat hebahan menerusi radio popular Hot FM, Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, dan kebanyakan media massa tempatan,” kata Fara.

Tambahnya lagi, daripada langsung tidak mendengar, sekurang-kurangnya 30 peratus peminat muzik tempatan sudah mengetahui mengenai lagu Persoalan Cinta (Julfekar/Ku Seman/Izza Rosley) yang dipertaruhkan di pentas final.

Fara yang mengenengahkan konsep persembahan ala Oriental, sebenarnya masih gusar dengan tahap persembahan vokalnya malam nanti.

“Lagu ini memang susah sedikit terutama pada pembukaannya yang memerlukan Fara menggunakan teknik pernafasan dan vokal falsetto yang betul. Penekanan perlu diberikan kepada kejelasan kerana bait pertama lirik yang disebutkan memberi impak kepada keseluruhan persembahan,” jelasnya lagi yang bakal menonjolkan keberanian menerusi warna merah dan emas untuk busana rekaan Jue buat dirinya dan juga penari latar yang dipimpin koreografer, Anthony dari Dua Space.

Bakal muncul sebagai peserta dengan ke-13, bagi Fara ia sebagai satu kelebihan kerana ia memberi ruang kepadanya untuk menyesuaikan diri dengan tekanan di sekeliling,” katanya yang bakal disolek jurusolek, Heri. Sesiapapun akan menaruh harapan untuk bergelar juara, begitu juga gadis campuran Melayu-Pakistan ini.

“Bayangkan usia Fara sebaya dengan usia penganjuran AJL, ia sesuatu yang membanggakan dan seolah-olah Fara sudah cukup matang untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan artis lebih berpengalaman hanya dengan berjaya terpilih ke AJL23, apatah lagi jika kemenangan menjadi milik diri, syukur yang tidak terperi,” ujarnya cukup positif.

Stacy berlatih sampai jemu

Sebaliknya pula bagi gadis kelahiran Penampang, Sabah. Jika Farawahida yang lebih dulu menimba pengalaman sudah 80 peratus siap, Stacy masih pada kadar 70 peratus ketika ditemui minggu lalu.

“Mungkin keyakinan untuk membuat persembahan itu sudah ada tetapi keyakinan untuk bertanding di pentas pengiktirafan muzik segah AJL, rasanya masih perlu diraih menerusi pengalaman,” katanya yang sehingga ke saat akhir masih giat menjalankan latihan intensif memandangkan lagu Aku Stacy (Intan Norul Azlin/Intan Norul Azlin/ Layla Ismail) agak rancak dan catchy.

“Stacy sanggup berlatih sampai jemu asalkan Stacy perolehi keyakinan dan menguasai konsep persembahan serta persembahan vokal secara seimbang,” jelasnya yang tidak terlalu menitikberatkan gimik dan kelainan yang melampau.

Seperti Fara, Stacy juga menaruh harapan untuk mengecap kemenangan walaupun dia sedar bukan calang-calang lagu yang menyaingi dalam AJL23.

“Dalam usia semuda ini Stacy sudah berpeluang ke pertandingan sehebat AJL. Sekiranya rezeki menyebelahi Stacy, sememangnya ia bonus buat kerjaya Stacy yang masih setahun jagung ini,” katanya yang menaruh keazaman untuk menyambung pembelajaran bagi membolehkannya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: