Friday, January 23, 2009

Aswara dakwa juri tak adil


PENUNTUT Fakulti Teater Aswara membuat persembahan pada Festival Kesenian Kanak-Kanak di Istana Budaya. Persembahan mantap pelajar Aswara sentiasa mendapat pengiktirafan sama ada pada peringkat tempatan atau antarabangsa.

Ambil tindakan pulau Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia

AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mengambil keputusan untuk memulaukan Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM) pada masa akan datang selagi penjurian yang didakwa tidak adil berlaku pada penganjuran festival terbabit.

Bagi Rektornya, Datuk Omar Awang, keputusan berkenaan bukan dibuat berdasarkan emosi. Sebaliknya dengan penjurian yang adil dan saksama, barulah sesebuah festival itu memberikan makna.

Pada festival yang baru saja berlangsung selama tiga hari bermula 8 Januari lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM), Aswara berjaya membawa pulang trofi Filem Pendek Terbaik, tetapi gagal memenangi kategori lain.

Keputusan itu nyata tidak menyenangkan Omar, yang mendakwa, selalunya sesebuah filem terbaik akan turut memenangi kategori lain seperti arahan, lakon layar atau pun skrip.

"Kami berasakan baik saja kami memulau FFVPM pada masa akan datang berikutan cara penjurian yang tidak betul. Saya juga dimaklumkan, kira-kira 300 filem pendek menyertai festival ini dan juri hanya mempunyai masa sehari untuk menontonnya. Ia juga sudah pun ditapis oleh penganjur. Malah saya difahamkan, filem dokumentari yang dihantar Aswara tidak pun ditonton juri," katanya.



Ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman aktiviti institusi pengajian itu sepanjang 2009 serta penganjuran Konsert A Jazz Tribute to Malaysian Songs di Aswara baru-baru ini, beliau berkata, jika begitu keadaannya, lebih baik beliau menggalakkan pelajarnya bersaing sesama sendiri saja.

"Begitupun, kami tidak mahu dituduh syok sendiri pula," katanya yang mencadangkan agar penjurian bagi pertandingan itu dilakukan pihak bebas.

"Kami sendiri pernah menganjurkan pertandingan ini. Kami pernah menang dan pernah kalah. Namun, kami tidak kisah sekiranya penjurian dilakukan dengan seadil-adilnya. Lebih baik jika kita menggunakan khidmat tenaga profesional dalam membuat penilaian," tegas Omar.

Tanya beliau, berapa banyakkah sekolah filem sebenar yang wujud di negara ini dan penyertaan dari Aswara sendiri sememangnya kerap kali diiktiraf, sama ada pada peringkat antarabangsa mahupun tempatan.

Terbaru, pelajarnya, Muhammad Sharezzahadi Koh memenangi Filem Terbaik Pertandingan Filem Pendek Power & Grace Asiapromote bagi kategori pelajar menerusi filem pendeknya, Qalam.

Sepanjang tahun lalu, pelajar Fakulti Filem dan Video Aswara berjaya membawa pulang empat anugerah termasuk Filem Pendek Terbaik Pertandingan Sekolah Filem Kodak di Melbourne Australia, menerusi Tayanithi Rmanujem, Pengarah Terbaik Eco Film Fest 2008 (Audrie You), 12 Filem Pendek Terbaik Antarabangsa pada Festival Filem Pendek Leceister (Zukma Zeki Supardi), manakala Aswara sendiri diumumkan Naib Juara Sekolah Filem Terbaik Asia pada Festival Filem Asia ke-14 di Lyon, Perancis.

Menurut Omar, dia bersuara bukan dengan niat untuk menuntut kemenangan, sebaliknya mencari keadilan dalam penjurian.

"Sebagaimana kekalahan pada Festival Filem Malaysia yang lalu, ia tidak pun membuatkan kita terasa. Paling tidak kita berjaya disenaraikan ke akhir. Selalunya, festival filem lain tidak berdepan masalah sebegini," katanya yang akan memaklumkan keputusan Aswara itu kepada Finas.

Pada sidang media yang sama, beliau turut mengumumkan pembikinan filem cereka pertama oleh pelajar Aswara berjudul Jimbo. Filem berkenaan akan mula dirakam pada 1 Jun ini, selama sebulan. Filem yang diharap dapat ditayangkan kepada umum itu dikhususkan untuk pelajar filem Aswara, sebagai latihan amali kemuncak [engajian mereka.

Pasukan produksi filem terbabit akan dibimbing oleh tenaga pengajar institusi berkenaan yang sebahagiannya terdiri daripada penggiat filem.

Di samping pembikinan Jimbo, antara aktiviti utama Aswara pada 2009 ialah penganjuran Bengkel dan Konsert Big Band Aswara - RTM pada 22-24 Januari, pementasan Teater Muzikal Tun Abdul Razak di Istana Budaya pada Ogos, Festival Digital Aswara pada Oktober serta banyak lagi.

"Kami juga menjadikan 2009 sebagai tahun menggapai pengiktirafan. Menjadi harapan kami agar aktiviti akademik yang dijayakan Aswara seperti program pengajian diploma dan ijazah sarjana muda merangkumi bidang muzik, teater, tari, filem dan video, penulisan dan seni halus mendapat pengiktirafan dari Agensi Kelayakan Malaysia (MAQ) dan Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 80 peratus daripada perancangan akademi terbabit berjaya dicapai pada tahun lalu. Hanya dua agenda yang gagal disempurnakan mereka iaitu penubuhan Fakulti Warisan dan Pengajian Animasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: