|
|
TAHUN Baru Cina yang menjelang setiap tahun tidak hanya disambut oleh masyarakat Cina semata-mata, sebaliknya turut diraikan selebriti terkenal tempatan yang menjalin persahabatan dengan rakan-rakan kaum Cina.
Berkongsi pengalaman dan nostalgia ialah tiga artis Melayu yang pernah menyambut Tahun Baru Cina bersama kenalan mereka daripada kaum Cina.
Nubhan dan Lay Hock
Artis yang bakatnya dicungkil melalui Akademi Fantasia 6 (AF6), Ahmad Nubhan Ahamad, 23, sebelum ini pernah menyambut kehadiran Tahun Baru Cina dengan rakan Cina lain.
Kalau sudah bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua, Juasseh, Negeri Sembilan, pastilah Nubhan mempunyai ramai kawan Cina.
"Semasa di sekolah, saya cukup rapat dengan seorang kawan yang bernama Tan Lay Hock. Ada juga rakan lain, namun saya tidak dapat mengingati nama yang lain.
"Saya masih ingat kenangan ketika Tahun Baru Cina semakin menjelang. Saya dan pelajar lain buat dekorasi sempena perayaan itu di sekolah.
"Memang meriah kerana kami bergotong-royong buat bermacam-macam perkara walaupun berlainan kaum dan agama.
"Diibaratkan macam lahir satu semangat lain yang seakan-akan hampir sama dengan perasaan ketika menyambut Aidilfitri," tutur Nubhan mengimbas semula momen menyambut Tahun Baru Cina.
Selain itu, Nubhan pernah beraya di rumah Tan Lay Hock dan mendapat duit raya yang dikenali oleh kaum Cina sebagai ang pau.
"Famili Tan Lay Hock mengusahakan sebuah kedai runcit di Juasseh, malah saya juga sering ke kedainya bagi membeli barangan keperluan harian.
"Lantaran itu, seluruh keluarga Tan Lay Hock mengenali saya. Pengalaman beraya di kediaman mereka memang tidak dapat dilupakan daripada ingatan.
"Saya amat teruja menerima ang pau daripada mereka. Kalau sudah namanya budak-budak, sudah tentu saya dan rakan lain mengunjungi satu rumah ke rumah yang lain untuk meraih ang pau," ulas penyanyi lagu Ada Untukmu itu.
Masa pantas berlalu, kini masing-masing membawa haluan sendiri mengikut arus yang dimahukan.
Namun sungguh mengharukan apabila Lay Hock tetap mengingati Nubhan apabila dia pulang ke kampung, malah keluarga Lay Hock turut gembira dengan pencapaian Nubhan dalam karier seninya.
"Lay Hock dan keluaganya mengambil tahu perkembangan terbaru saya dan sentiasa memberi sokongan untuk saya mencapai kejayaan yang lebih membanggakan dalam bidang seni.
"Saya cukup berterima kasih dengan kata-kata perangsang yang diberikan Lay Hock dan familinya.
"Sekiranya ada masa lapang dan bercuti daripada sebarang komitmen seni, saya akan melawat keluarga Lay Hock di kampung nanti.
"Tidak sabar rasa di hati untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama mereka kelak," jelas Nubhan.
Julia Ziegler dan Chai Hong
Perkenalan dengan seorang pakar terapi, Chai Hong, 25, yang memberi banyak motivasi selepas pelakon baru, Julia Ziegler mengalami kemalangan jalan raya tiga tahun lalu membuatkan dua wanita itu mula menjadi teman baik.
|
|
Hakikatnya, Julia dan Chai Hong sering berkongsi perayaan sesama sendiri dengan penuh kegembiraan tanpa dibataskan dengan skeptikal kaum dan agama.
"Chai Hong tidak lupa hadir ke rumah terbuka saya sempena Aidilfitri dan saya juga tidak ketinggalan melawatnya apabila tiba Tahun Baru Cina.
"Pengalaman menyambut perayaan kaum Cina memang tidak dapat dilupakan kerana ia unik dan tersendiri.
"Saya amat membenci segelintir orang yang masih mengamalkan diskriminasi terhadap kaum lain. Tiada bezanya setiap manusia dalam dunia ini.
"Kalau ada sesetengah pihak yang berpendapat orang Melayu tidak boleh mengunjungi orang bukan Melayu dalam satu-satu perayaan, ternyata tanggapan itu salah.
"Asalkan kita sebagai orang Melayu dan beragama Islam tahu batasan yang tertentu, ia sudah memadai," beritahu Julia yang terang-terangan mengutuk sikap perkauman.
Berbicara lanjut tentang Tahun Baru Cina, Julia mengaku akan melawat Chai Hong di kediamannya yang terletak di Kuala Lumpur.
"Cuma sedih sedikit sebab Chai Hong baru saja mendirikan rumah tangga. Jadi kami sudah tidak boleh semesra sebelum ini.
"Dia (Chai Hong) sudah pun bersuami. Dia juga harus mengadakan persiapan Tahun Baru Cina untuk famili.
"Walau bagaimanapun, saya tetap akan mengunjungi Chai Hong pada Tahun Baru Cina ini," tegas Julia.
Amani dan Mui Gee
Lain pula bagi aktres muda berbakat besar, Sharifah Amani Syed Zainal Rashil Al-Yahya atau lebih mesra disapa Nani. Dia berasa amat bertuah kerana perayaan Tahun Baru Cina cukup dekat di hati diri dan keluarganya.
"Nenek saya iaitu Tan Mui Gee atau nama Islamnya Rohani Abdullah, 60-an, merupakan seorang wanita berketurunan Cina yang mengahwini lelaki India Muslim.
"Sejak kecil, saya dan keluarga terbiasa menyambut perayaan ini bersama nenek, datuk dan ahli keluarga lain.
"Memang meriah sangat apabila semua dapat berkumpul dan berbual sambil menikmati hidangan makan besar beramai-ramai.
"Biasanya kami akan menjamu selera di sebuah restoran yang menampilkan hidangan makanan Cina pada malam Tahun Baru Cina bag merasai kehangatan perayaan ini," ujar Nani.
|
|
Gadis yang berusia 22 tahun itu berkata, berhimpun dengan ahli keluarga yang jarang ditemui sebelum ini menjadi pengalaman nan indah untuk diri dan keluarganya.
"Kenangan bernilai ini sememangnya tidak dapat dilupakan sepanjang hidup saya. Sayangnya, untuk mengumpulkan semua ahli keluarga dalam waktu sama bukan lagi menjadi perkara mudah.
"Masing-masing punya kerja dan tanggungjawab sendiri yang harus digalas. Mana mungkin untuk mereka dapat menghadiri majlis makan malam ini. Keadaan sudah tidak macam dulu.
"Begitupun, saya dan keluarga memahami situasi ini. Asalkan ada yang berkumpul, kami tetap bergembira menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama nenek dan datuk," tambah Nani.
Ditanya tentang persiapan yang dilakukan pada Tahun Baru Cina kali ini yang menyambut tahun lembu, ringkas sahaja butir perbualan Nani: "Entahlah, kami sekeluarga masih belum memikirkan mengenainya.
"Biasanya, sambutan ini dilaksanakan pada saat-saat terakhir. Tiada sebarang perancangan awal dibuat."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: