MENGGALAS tugas di meja berita tidak kira di media cetak atau elektronik mungkin sesuatu yang megah pada pandangan umum. Namun, ramai yang tidak tahu kemegahan profesion itu datang dengan pelbagai pengorbanan.
Jika anda sedang berseronok menonton TV di rumah, mereka yang berada di sebalik kaca TV sebenarnya perlu bekerja walaupun pada musim perayaan. Kepada mereka, memuaskan hati audiens adalah keutamaan sebagai penyalur maklumat.
Sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, pembaca berita Mandarin saluran NTV7, Tiang Kah Chee dan penerbit berita Mandarin serta hos program Siasat Mandarin, Wong Loke Tung juga terpaksa bekerja. Bagi Kah Chee, ini bukan pengalaman pertama kerana dia sudah bekerja di bilik berita sejak tahun 2005.
Namun, Loke Tung yang sebelum ini aktif dengan program Siasat Mandarin diberi cuti semasa menyambut Tahun Baru Cina. Ingin ketahui perasaan, pengalaman dan memori mereka berdua, Kosmo! mengambil peluang untuk bertemu mereka di Hotel One World, Bandar Utama baru-baru ini.
Loke Tung merindui zaman kecil
Menyertai keluarga NTV7 pada tahun 2001, Loke Tung memulakan tugas sebagai wartawan penyiaran sebelum diserap ke program Siasat Mandarin pada tahun 2003. Kini dia bertindak sebagai penerbit berita Mandarin 7 dan juga hos Siasat Mandarin yang bersiaran setiap Sabtu pukul 6.30 petang.
|
|
Tugasnya sebagai penerbit di meja berita memerlukan jejaka berusia 33 tahun itu bekerja sehingga hari ketiga Tahun Baru Cina sebelum bercuti selama empat hari.
"Dulu semasa saya bekerja untuk Siasat Mandarin, masa saya lebih fleksibel. Saya hanya mempunyai satu projek setiap minggu dan ia boleh disiapkan lebih awal daripada waktu siaran.
"Namun, kini sebagai penerbit Mandarin 7 yang bersiaran sebanyak dua kali setiap hari, saya perlu bekerja dari pukul 1 petang sehingga 10 malam. Jadi ini merupakan kali pertama saya perlu bekerja pada Tahun Baru Cina," jelasnya.
Berasal dari Klang, Selangor, Loke Tung, bagaimanapun, tidak kisah apabila disuruh bertugas pada raya Cina. Ini kerana dia masih sempat balik dan makan malam besar sehari sebelum raya Cina bersama ahli keluarganya.
"Disebabkan rumah saya hanya terletak di Klang, saya masih boleh beraya bersama keluarga. Nenek saya yang berusia 90 tahun tinggal bersama kami sekeluarga. Jadi sanak saudara lain akan datang beraya di rumah kami," jelasnya yang pernah menjadi penari tarian singa selama enam tahun.
|
|
Gemar mengikut rakan-rakannya bersembahyang di tokong pada hari pertama Tahun Baru Cina, Loke Tung percaya cara itu dapat merahmati seseorang sepanjang tahun. Namun, yang pelik ialah keluarganya tidak mempunyai sebarang pantang larang.
"Kami tidak perlu pakai baju baru pun pada hari pertama Tahun Baru Cina. Ibu saya juga tidak seperti keluarga lain yang tidak boleh menyapu sampah pada hari raya pertama.
"Dia tidak mempercayai semua itu dan keluarga kami juga tidak menjalankan sebarang upacara sembahyang pada Tahun Baru Cina," tambah Loke Tung yang akan melawat sanak saudara sebelah ibu pada hari raya pertama.
Merindui zaman kanak-kanak terutama perasaan menanti ketibaan Tahun Baru Cina, Loke Tung juga menyukai kuih bakul yang dibuat neneknya dulu. Semua itu sudah tinggal kenangan tetapi pengacara itu berpendapat kemeriahan tahun ini lebih dirasai berbanding tahun lalu.
"Dulu saya sangat menyukai kuih bakul yang dibuat nenek. Tetapi sekarang nenek sudah tua dan sudah 'pencen'. Dulu duit ang pau saya juga lebih banyak berbanding sekarang.
"Perasaannya sudah berbeza sekarang tetapi tahun ini dilihat lebih meriah walaupun dengan kegawatan ekonomi dunia," tambah anak kedua daripada empat beradik itu.
Kah Chee amat sedih
Pernah bekerja pada hari raya Cina dua tahun lalu, Kah Chee telah melalui pengalaman menyambut Tahun Baru Cina bersama rakan-rakannya di Kuala Lumpur ketika itu. Tahun ini dia juga akan menyambut perayaan itu bersama rakan-rakannya sebelum pulang ke Sitiawan, Perak pada raya ketiga.
|
|
Kah Chee mengakui dia amat sedih mengenangkan dirinya yang terpaksa menyambut tahun baru bersama kawannya dan bukan dengan ahli keluarga.
"Nasib baik saya tidak menyambut seorang diri. Disebabkan perlu kerja bergilir dengan pembaca berita lain, saya hanya akan pulang ke kampung pada hari ketiga," katanya yang akan bercuti selama empat hari.
Menyertai NTV7 sebagai wartawan penyiaran pada tahun 2005 sebelum ditugaskan membaca berita pada tahun 2007, Kah Chee memberitahu keluarganya makan malam besar lebih lewat berbanding orang lain.
"Keluarga kami membuka restoran di Sitiawan. Maka kami hanya akan makan malam selepas pukul 10 malam. Ini kerana kami perlu menunggu pelanggan kami habis makan di restoran. Justeru, selalunya makan malam kami akan berlarutan sehingga tengah malam," katanya.
Perlu menemani adik perempuannya membeli-belah sebelum raya, Kah Chee merindui sambutan Tahun Baru Cina semasa kecil. Dia menyukai situasi orang ramai yang membuat kuih di hadapan rumah dan keadaan riuh-rendah remaja menaiki motosikal.
|
|
"Sekarang kawasan kampung kami sudah tiada situasi sebegini. Namun, kampung kami ada hiburan baru. Setiap tahun saya akan bergegas pulang untuk menyaksikan orang kaya bertanding kehebatan bunga api masing-masing. Itulah hiburan baru kami," tambah Kah Chee, 26.
Kah Chee yang belum berkahwin mengakui masih menerima ang pau dan neneknya akan memasukkan duit syiling dalam setiap ang pau sebagai tanda panjang umur.
"Semakin dewasa, jumlah ang pau saya semakin meningkat. Tetapi nenek ada tradisi untuk memasukkan duit syiling. Selain daripada tradisi itu, kami juga perlu memakai baju baru dan tidak dibenarkan menyapu rumah sama sekali.
"Keluarga kami menjalankan perniagaan dan percaya menyapu rumah pada hari pertama Tahun Baru Cina bagaikan menyapu keluar kekayaan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: