JIKA ada stesen radio di Malaysia mengambil langkah untuk mempromosikan stesen mereka dengan mengadakan konsert jelajah di negeri berlainan, Suria FM pula mengambil pendekatan berlainan.
Mahu membantu mereka yang memerlukan di samping memantapkan lagi nama stesen itu, Suria FM telah memilih untuk menjalankan acara lelongan amal bersama artis.
Dikenali sebagai Road Tour Lelong Amal Suria FM, aktiviti yang memanfaatkan itu diadakan pada malam Sabtu lalu di pusat beli-belah Mydin USJ, Subang Jaya. Mengumpul dana untuk Rumah Nur Salam yang membela nasib anak-anak terbiar, acara pada malam itu berjaya mengutip sebanyak RM2,281.
Dijayakan bersama barisan artis seperti Erra Fazira, Dafi, Dayang Nurfaizah, Imran Ajmain, Nubhan, Liyana Jasmay dan Nikki, hampir 1,000 orang menyokong acara itu yang berlangsung selama hampir dua jam.
Mahu tahu barang lelongan artis manakah yang paling mahal? Nampaknya dari segi itu, Erra Faziralah juaranya. Menampilkan barangan lelong termasuk daripada jenama Guess, kesemua barangan Erra yang dilelong mencecah RM850.
"Kami amat gembira kerana kutipan yang diperoleh hari ini melebihi apa yang dijangkakan. Kami hanya menjangkakan kutipan antara RM500 hingga RM1,000. Tidak sangka ramai orang yang datang hari ini amat bermurah hati," kata Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin selepas majlis lelong itu.
Bakal meneruskan acara lelongan itu di Kuala Terengganu pada penghujung Februari nanti, aktiviti amal itu juga akan dijalankan di Pahang, Kedah dan Perak.
"Memang kami merancang untuk menjadikan ini sebagai acara tahunan. Tahun ini kami akan melawat sembilan negeri sehingga bulan Jun nanti. Bagi setiap negeri yang dilawati, dana yang dikutip akan mewakili badan kebajikan berlainan.
"Di Kuala Terengganu, kami akan menyalurkan dana yang dikutip kepada Persatuan Kebajikan Anak Pesakit Aids/HIV Nurul Iman Malaysia (Pernim) untuk untuk anak-anak terbiar HIV positif," tambah Engku Emran.
Mempunyai lebih 600,000 pendengar setiap minggu, idea lelongan amal itu datang daripada Engku Emran sendiri. Katanya, ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu telah membuatkan dia ingin membantu mereka yang memerlukan.
Namun, ketika ini ramai yang sibuk mengutip dana untuk mangsa peperangan Palestin. Maka, timbul persoalan mengapa Suria FM yang berusia dua tahun setengah tidak mengikut trend itu.
"Kami telah membuat perancangan kutipan lelong amal ini sebelum kejadian serangan Gaza. Jadi kami hanya meneruskan perancangan kami. Memang mereka sedang berperang tetapi rakyat Malaysia juga memerlukan bantuan.
"Lagi pula aktiviti lelongan barang ini tidak dapat mengumpul dana yang banyak. Jadi kami tidak memberikan kepada mangsa Palestin. Ditambah pula banyak badan bukan kerajaan (NGO) telah mengumpul dana untuk rakyat Palestin," ujarnya yang bakal bergelar bapa bulan Mac nanti.
Acara itu turut dihiburkan dengan nyanyian oleh Dayang Nurfaizah (Luka), Nikki (Selamat Tinggal), Nubhan (Terima Kasih Cinta) dan Imran Ajmain (Selamat Ulang Tahun Sayang).
Barangan lelongan artis
- Dayang Nurfaizah
Barang lelong: Kasut but (RM70) dan jam Swatch (RM150)
- Nikki
Barang lelong: Beg tangan merah (RM60) dan rantai yang dibeli dua tahun lalu (RM60)
- Liyana Jasmay
Barang lelong: Tas tangan (RM70) dan tas tangan jenama Krizia yang dibeli oleh ibu di Itali (RM130)
- Nubhan
Barang lelong: Topi fedora (RM102) dan kasut yang dibeli dari Australia (RM 301)
- Erra Fazira
Barang lelong: Beg tangan jenama Nine West, majalah perkahwinannya, cenderahati perkahwinan dan baju jenama Guess (RM500) dan cermin mata hitam jenama Gucci, majalah perkahwinannya, cenderahati perkahwinan dan baju jenama Guess (RM350)
- Imran Ajmain
Barang lelong: Kain songket yang dibeli dua tahun lalu (RM120)
- Dafi
Barang lelong: Kemeja T (RM200) dan seluar jean (RM150)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: