Friday, January 23, 2009

Artis diberi peluang buat perangai


KELMARIN SS menerima panggilan telefon daripada seorang kru produksi yang kedengaran suaranya seperti tengah marah.

Sebelum dia terus bercakap, SS minta dia bertenang kerana dalam keadaan marah, SS tak berapa faham dia hendak bercerita pasal apa dan siapa.

Selepas keadaannya sedikit tenang barulah SS dapat 'tangkap' yang dia marahkan seorang pelakon senior ini yang tidak datang ke lokasi penggambaran drama.

Cuba teka siapa? Masa muda dulu, pelakon ini memang jelita. Sekarang pun masih cantik, tetapi sedikit berisi. Namun siapa dia, biarlah SS saja yang tahu.

Pelakon itu kata dia mahu buat 'come back' selepas sekian lama tidak berlakon.

Dan kalau tak salah SS selepas bertahun-tahun menjanda, pelakon itu berkahwin baru.

Selama ini pun bukannya pihak produksi itu yang mencarinya untuk berlakon drama terbitan mereka, tetapi dia yang sibuk minta peluang berlakon.

Kesimpulannya, kalau kita dah minta kerja dengan orang, janganlah buat perangai.

Selepas kru dan pelakon tunggu berjam-jam di lokasi batang hidungnya pun tak nampak.

Apabila kru telefon ke rumahnya, anaknya yang menjawab panggilan.



Apabila ditanya di mana ibunya, langsung si anak mendiam seribu bahasa. Pengarah pening kepala kerana sejak mula dia yang hendak berlakon sangat, sudahnya tak muncul.



Sebagai orang lama dalam dunia seni, sikap pelakon itu sangat tidak profesional. Kasihan pelakon lain menunggu, satu kerja pun tak jadi.

Kalau tiba-tiba terpaksa ada urusan lain, beritahulah pihak produksi awal-awal supaya boleh buat babak lain dulu. Kos buat drama bukannya murah. Tak ada ratusan ribu ringgit, jangan mimpi hendak jadi tauke drama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: