...bukan kecil bangsa kita Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita Kerana rupanya selain memerdekakan Mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara. |
DEMIKIAN antara bait puisi berjudul Perjuangan Yang Belum Selesai yang dibacakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi perdana menteri pada 1996 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Meneliti empat baris itu saja, betapa kuat semangat dan harapan untuk melihat negara ini kekal merdeka dan tidak diganggu gugat kuasa lain sebagaimana yang sedang melanda Palestin.
Di Semenanjung Gaza itu juga banyak jiwa yang tidak bersalah terkorban akibat serangan Israel.
Justeru, sebagai negara yang mengecapi kemerdekaan lebih lima dekad, masyarakat seharusnya bersyukur dan beruntung dengan keamanan yang dinikmati.
Malah, bagi mewujudkan kesedaran itu sudah pasti kita perlu menelusuri sejarah perjuangan yang ditinggalkan pejuang kemerdekaan terdahulu seperti Tan Sri Hajjah Zainun Mushi Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain.
Menyedari bahawa tokoh hebat sebegini tidak wajar hilang dalam lipatan sejarah, Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), CTRA Production dan Istana Budaya mengambil inisiatif mengkaji sejarah hidupnya secara lebih mendalam. Hasil kajian itu diterjemahkan dalam pementasan teater Muzikal Ibu Zain yang dipentaskan di Istana Budaya, Ogos tahun lalu.
Ternyata pementasan itu banyak membuka mata anggota masyarakat perihal kehebatan Ibu Zain.
Banyak sejarah penting mengenai tokoh ini diperoleh melalui persembahan itu. Ia banyak membantu terutama generasi muda mengenai pentingnya mendekati sejarah negara.
Atas sambutan dan permintaan yang menggalakkan pementasan sama kembali dipentaskan di MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur daripada 13 hingga 22 Mac ini. Pementasan ini dianjurkan secara bersama dengan Aman Malaysia.
|
Penerbitnya, Siti Rohayah Attan berkata pementasan semula itu diadakan dengan harapan dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan bangsa terutama di kalangan orang Melayu supaya semangat jati diri mereka terus kukuh.
|
|
“Ini kerana banyak insiden terkini yang memperlihatkan bahawa orang Melayu seakan-akan cuba dipermain dan diperkotak-katikkan.
“Kita harus melihat Melayu dan perjuangan Melayu ini dari perspektif sejarah, aspek yang benar serta didokumentasikan bukan sekadar tuduhan dan fitnah tidak berasas.
“Berdasarkan tindak balas daripada penonton, teater ini juga amat sesuai disaksikan oleh generasi muda hari ini supaya mereka mendapat gambaran yang jelas mengenai kesukaran menuntut kemerdekaan,” katanya.
Pementasan selama lebih dua jam itu mengetengahkan kisah hidup Ibu Zain sejak lahir, zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan sehingga berjaya menuntut kemerdekaan.
Digambarkan juga kegetiran hidup Ibu Zain membela anak yatim pada zaman Jepun di samping serangan peribadi berunsur fitnah di zaman Inggeris.
Kemuncak kejayaan Ibu Zain selain merdeka ialah berjaya menubuhkan Kolej Puteri Tunku Ampuan Mariam di Johor Bharu iaitu sebuah sekolah yang menitikberatkan soal dunia dan akhirat.
“Kebanyakan guru yang menonton teater ini berasa amat tersentuh kerana apa yang dipaparkan mengenai perjuangan kaum Guru amat bermakna. Begitu juga perjuangan Ibu Zain dalam bidang politik.
“Dia adalah orang yang bertanggungjawab memujuk Datuk Onn supaya tidak meninggalkan Umno demi kepentingan orang Melayu yang terlalu inginkan kemerdekaan pada zaman itu,” kata Rohayah yang turut mendapat kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Antara pelakon yang dijangka menjayakan persembahan itu ialah Liza Othman, Datuk Rahim Razali, Ava Vanja, Nur Fatimah Abd Wahab, Hisham Ahmad Tajuddin, Tania Zalina Zainal Abidin, Sherry Syed Abdullah, Tengku Iezahdiyaha Tengku Alaudin, Farah Adila Apandi, Hamzah Tahir dan 60 pelakon yang lain.
Muzikal Ibu Zain yang memuatkan 20 lagu yang dicipta oleh Nik Nizam Jaffar mengisahkan perjuangan Zainun Munshi Sulaiman (Ibu Zain) dalam tiga bidang utama iaitu pendidikan, persuratan dan politik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: