Saturday, January 24, 2009

Apa Ke Halnya santai tapi padat informasi


PENAMPILAN tiga personaliti, Shamsul Ghau Ghau, Mr Os atau Mohd Yusof Abdul Hamid serta Din Beramboi ketika mengendalikan program Apa Ke Halnya setiap hujung minggu ternyata mempunyai tarikan tersendiri.

Program bual bicara yang disiarkan selama sejam di TV9 setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 10.30 pagi bukan sahaja membincangkan isu semasa, malah padat informasi terkini.

Disamping berjenaka yang mampu mencuit hati penonton, gandingan trio itu turut membincangkan pelbagai isu semasa selain penyertaan tetamu jemputan yang diundang ke studio.

Program yang membuka tirai 2009 untuk stesen televisyen itu pada dasarnya mengikut loghat negeri Perak berbunyi ‘Ape Ke Heynyer?’.

Penampilan Mr Os selaku teraju program itu dengan pengalamannya dalam membintangi hampir 14 filem selain bidang penerbitan drama, tidak mengecewakan.

Dia pernah meraih anugerah Pelakon Komedi Terbaik pada Filem Festival Malaysia Ke-7 pada 1987 dan 1997 diberi kepercayaan menerajui program terbaru itu.

Begitu juga Shamsul dan telatah lucu Din Beramboi yang membingitkan suasana pagi itu. Kini program itu diserikan dengan penampilan juara program realiti, Gadis Melayu, Khairul Noormaidah Zali sebagai hos bersama pada setiap Ahad.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran dan memperkenalkan program baru TV9 baru-baru ini, Khairul Noormaidah atau lebih mesra disapa Aida berkata tawaran sebagai pengacara bersama adalah langkah awal baginya berkecimpung dalam dunia pengacaraan di stesen televisyen itu.

“Segalanya bermula selepas saya menjadi tetamu jemputan program itu pada 18 Januari lalu. Saya kemudian dimaklumkan pihak penerbitan untuk turut serta bersama personaliti yang sedia ada mengendalikan program itu. Memang berita itu sesuatu yang mengejutkan memandangkan saya belum bersedia.

“Begitupun saya bangga dan bersyukur kerana diberi peluang seterusnya dapat bekerja dengan mereka yang berpengalaman dalam bidang ini seperti Abg Din, Mr Os dan Shamsul.



Apatah lagi program berkenaan mempunyai konsep tersendiri yang lebih santai dan bersahaja. Sedikit sebanyak mengurangkan tekanan ketika tampil menjayakan program itu.



“Sebagai pendatang baru dalam bidang ini sudah tentu tawaran berkenaan sesuatu yang mengejutkan dan masih baru buat saya selepas dinobatkan juara Gadis Melayu, Khamis lalu,” katanya.

Shamsul yang cukup sinonim dengan program bual bicara berkata kehadiran Aida sedikit sebanyak dapat memantapkan lagi program itu.

“Menerusi program ini setiap daripada kami mempunyai karakter tersendiri. Mr Os sebagai pemandu teksi, Din Beramboi (mekanik) dan saya sebagai tuan punya bengkel.

“Setiap kami memainkan peranan masing-masing ketika membincangkan mengenai sesuatu topik. Kami bukan menampilkan lawak jenaka yang dibuat-buat atau merepek ketika membincangkan sesuatu perkara.

“Sebaliknya dengan karakter yang ada kami menampilkan pengisian tersendiri. Setiap isu yang dibincangkan dikupas dengan karakter masing-masing secara santai.

“Kehadiran Aida pula mungkin dengan karakter akauntan atau pelanggan tetap untuk program itu. Kami juga berasakan ada eloknya dan lebih baik ada sekuntum bunga daripada kumbang bertiga seterusnya menyerikan lagi program itu,” katanya.

Program berkenaan mempunyai tiga segmen iaitu membincangkan mengenai topik isu semasa yang dipetik daripada keratan akhbar seperti masalah kenaikan dan penurunan harga minyak, harga barangan, kebersihan dan penyakit.

Selain itu, Mr Os juga akan melakonkan semula watak lucu pelanggan yang pernah menggunakan khidmatnya.

Segmen kedua pula menampilkan kamera tersembunyi yang diletakkan dalam teksi dan seorang daripada mereka akan berlakon dan bertanya soalan berkaitan isu semasa dan melihat gelagat mereka menjawab secara spontan.

Di samping itu, program berkenaan turut mengundang selebriti terkenal tempatan dan VIP sebagai tetamu untuk membincangkan isu semasa dalam keadaan rehat dan santai supaya ia tidak dilihat begitu protokol dan serius.

Menerusi segmen ini, tiga pengacara itu akan membincangkan masalah pengguna dan isu semasa tanpa adanya tekanan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: