Saturday, January 24, 2009

Anugerah 12 artis untuk peminat


DALAM kelesuan industri muzik tanah air kini, merakamkan album bagi kebanyakan penyanyi kita mungkin hanya tinggal impian dan harapan, lantaran sikap berhati-hati syarikat rakaman yang lebih berminat memasarkan album kompilasi.

Namun, kerjaya seni mereka harus berkembang dan satu caranya ialah dengan kemunculan album baru.

Atas dasar ingin membantu rakan seangkatan dalam bidang seni, penyanyi yang pernah mengecapi populariti tahun 80-an, Kairel Khamis mengambil inisiatif mengumpul artis baru dan lama yang pernah menghasilkan lagu single.

Lagu terbabit kemudian dikumpulkan dan disisipkan dalam satu album berjudul album Kompilasi Anugerah. Langkah itu juga diambil demi membantu mereka memasarkan lagu masing-masing kerana tanpa sokongan syarikat rakaman, sukar untuk mengetengahkan lagu itu kepada pendengar.

Semua lagu itu siap sepenuhnya di mana bajet menghasilkan lagu itu dibiayai artis itu sendiri.

Tanpa rakaman semula, semua lagu itu dimuatkan dalam album berkenaan.

Album terbitan GM Sdn Bhd dan LFI Event & Entertainment itu menampilkan 12 lagu baru nyanyian artis baru dan lama.

Mereka adalah Salwa Abdul Rahman dengan lagu Kerana Kamu, Ayati Tasrip (Teman), Zainal Cugat (Besame Macho), Syajiry (Sampai Nanti), Ani Mayuni (Mencapai Impian), Anis Aneesa (Abadi Selamanya), Fairuuz FM (Tiada Penghujungnya) dan Kairel sendiri (Cahaya Permata).

Tidak ketinggalan lagu dari bintang Akademi Fantasia seperti Rizal AF5 (Suatu Ketika Dulu), Salima AF4 (Kisah Kasih), Aidil AF3 (Give Me A Chance), Akma AF3 (Tetap Menanti) serta lagu duet Kairel dengan Fairuuz, Anugerah.

Kairel berkata, idea menghasilkan album kompilasi itu timbul apabila dia mendapat tahu ramai artis membuat lagu single, tetapi sukar untuk dipasarkan termasuk dirinya sendiri.



"Ada juga antara lagu itu sudah dimainkan di radio, tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Setiap lagu baru perlu dipromosi namun tiada pihak yang tampil untuk mempromosikannya apatah lagi jika ia lagu single.



"Tanpa bantuan syarikat rakaman, mereka sukar bergerak sendiri. Lalu saya terfikir alangkah bagus sekiranya saya dapat mengumpulkan mereka dalam satu album kompilasi.

"Namun usaha itu tidak tercapai dalam sekelip mata. Selain menyanyi saya ada berlakon drama jadi sambil itu saya bertanya sama ada sesiapa yang berminat dengan projek saya ini," katanya.

Kairel mengakui, dalam mencari sokongan pihak lain dia berjumpa pihak dari Gemilang Mirza Sdn Bhd (GM) dan LFI Event & Entertainment. GM syarikat mengeluarkan produk kesihatan daripada sarang burung manakala LFI berkecimpung dalam bidang pengurusan acara.

"Dalam pertemuan itu, saya nyatakan hasrat untuk menyatukan artis yang sudahpun membuat lagu single dalam satu album. Namun tiada yang berminat. Syukur GM dan LFI selepas itu menerima idea saya lalu bekerja untuk menghasilkan album kompilasi ini.

"Di samping menerbit, mereka akan memasar dan mempromosikan album itu. Cara itu lebih senang dan artis boleh bekerjasama mempromosikan lagu masing-masing.

"Kebanyakan lagu itu sudah lama dirakamkan, tetapi tiada pihak yang ingin menerbit dan memasarkannya. Tahu sajalah keadaan pasaran sekarang yang masih perlahan.

"LFI yang mengendalikan pelbagai majlis dan acara hiburan secara tidak langsung dapat mengundang artis yang terbabit dalam album kompilasi ini untuk membuat persembahan.

"GM pula yang mengeluarkan produk kesihatan mempunyai ramai ahli. Sehingga kini album itu sudah ditempah sebanyak 30,000 unit oleh ahli GM sendiri. Album itu tidak dijual di kedai. Kepada mereka yang ingin mendapatkan album ini boleh hubungi GM, LFI atau pengedar produk kesihatan itu.

"Di samping membantu artis meneruskan kelangsungan kerjaya mereka dalam bidang seni, sebahagian daripada hasil jualan itu akan disumbangkan kepada badan kebajikan dan pihak yang memerlukan. Jadi sambil menghiburkan peminat, artis juga dapat beramal jariah," katanya.

Cerita Kairel, ramai artis berminat untuk menyertai projek itu, tetapi buat permulaan, dia terpaksa memilih 12 artis. Katanya, kekuatan album itu bukan saja terletak pada lagunya, tetapi juga gabungan artis baru dan lama yang mempunyai peminat tersendiri.

"Insya-Allah saya bersama GM dan LFI bercadang menghasilkan Album Kompilasi Anugerah kedua tidak lama lagi dengan menggabungkan artis lain pula.

"Kasihan pada mereka, walaupun keadaan industri seni suara masih suram namun usaha mesti diteruskan kerana itu minat dan periuk nasi mereka," katanya.

Salwa, antara artis yang terbabit dalam projek album kompilasi itu bersyukur kerana usaha Kairel, GM dan LFI, dia dapat mempromosikan lagu barunya.

Katanya, lagu Kerana Kamu sudah lama siap, tetapi dia buntu untuk mengedarkannya.

"Dengan tawaran Kairel, hati saya berbunga kembali. Walaupun ia adalah album kompilasi, tetapi hasrat saya untuk ada album baru tercapai juga.

"Tambah seronok apabila dapat bekerjasama dengan artis baru dan kawan lama seperti Ayati Tasrip mempromosikan lagu kami bersama-sama. GM dan LFI juga menyediakan PR (Pegawai Perhubungan Awam) jadi kerja mempromosikan album itu menjadi mudah kerana ada pihak yang menguruskannya.

"Saya lihat usaha Kairel ini perkara yang baik untuk membantu artis meneruskan bakat dan minat dalam bidang seni. Siapa pun boleh buat lagu single, tetapi sukar mencari pengedar apatah lagi untuk satu lagu saja.

"Sekarang album penuh memuatkan 10 lagu susah hendak dijual.

"Kos penerbitan tinggi, tetapi tak pulang modal. Jadi dengan keadaan sekarang, cara perkongsian seperti ini lebih bagus.

"Apabila buat promosi semua artis boleh turun padang dan penonton boleh datang memberi sokongan kepada artis pujaan mereka. Yang lain pun akan dapat merasa tempiasnya. Kami saling memberikan sokongan untuk berjaya.

"Apabila berpeluang semula mempromosikan album dan ada PR yang mengatur jadual, saya terasa seperti di zaman 80-an. Tidaklah rasa diri terumbang-ambing. Sekarang kalau hendak bertemu wartawan ada PR yang mengatur janji temu.

"Rezeki saya juga apabila dilantik menjadi duta produk kesihatan GM selama setahun. Harap dalam kegawatan ekonomi, masih ada ruang untuk anak seni seperti kami bernafas mencari rezeki," katanya.

Rizal juga berkongsi rasa sama dengan Salwa kerana selepas agak lama menyepi dari arena seni, dia tampil dengan album kompilasi. Jejaka yang berasal dari Kuching, Sarawak itu berkata selepas dia keluar dari Akademi Fantasia (AF) hampir dua tahun lalu, kerjaya seninya bergerak perlahan.

"Kalau adapun saya buat album raya dan sesekali berlakon. "Antara lakonan saya dalam drama Bulan Bertemu Matahari, pegang watak jahat. Selain itu terbabit dalam program Gempak Desa dan Gempak Selebriti Astro.

"Terasa sedih melihatkan perjalanan kerjaya seni saya yang agak suram. Jadi tahun ini saya berazam untuk bekerja keras bagi mengukuhkan tapak dalam arena seni suara dan lakonan. "Apapun terjadi saya tidak pernah patah semangat kerana impian saya menyertai AF untuk menjadi artis berjaya. "Untuk itu saya sanggup kumpul wang bagi menghasilkan lagu single ini.

"Untuk merakamkan satu lagu bukan murah, paling kurang RM5,000. Saya harap album kompilasi ini dapat membantu saya aktif semula dalam bidang nyanyian. Pada masa sama, berlakon pun masih diteruskan di mana terbaru saya akan berlakon drama Cintaku di Mukah. Penggambaran drama itu akan dibuat di Mukah, Sarawak, Februari ini," katanya.

Aidil yang mempertaruhkan lagu Inggeris dalam album kopilasi itu juga mengharapkan ia membawa tuah kepadanya. Aidil yang kelihatan semakin berisi juga aktif menggubah lagu untuk artis baru dan lama.

"Saya kini menjadi komposer dengan syarikat M Nasir, Luncai Emas. Saya juga mempunyai studio sendiri di rumah. Minat menyanyi masih ada dan tawaran dari Kairel itu diterima dengan hati terbuka.

"Sebagai persediaan untuk menjadi komposer yang disegani pula, selepas keluar daripada AF tiga tahun lalu, saya menyambung pengajian peringkat Ijazah Muzik dan Komunikasi di ICOM (International College of Music) selama tiga tahun.

"Saya sengaja memuatkan lagu Inggeris dalam album ini untuk mencari kelainan dan harap lagu ini akan popular. Sebenarnya lagu ini sudah diputarkan di radio sejak tahun lalu, tetapi kerana tiada promosi, peminat muzik tidak begitu menyedari kehadiran lagu itu," katanya.

Aidil yang ingin menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi juga banyak berlakon drama antaranya Penawar Kedua, Gerak Khas (episod), Dan Ombak Pun Beralun, Impian L, Pria, Memeluk Maut dan Seroja Senja yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

1 comment:

  1. entahlah aku engak ngerti nak komen lagu ni. Mana yang sedap aku dengar, itu la yang aku minat.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: