Thursday, January 15, 2009

Ako Mustapha dan Tina Dengarnya Akhiri Zaman Bujang



Ako Mustapha dan Tina

SELASA lalu, sewaktu Cik Normah baru sampai ke pejabat, tiba-tiba kawan sepejabat Cik Normah menghulur kad kahwin. Nampaknya sebulan dua ini, banyak betul kad jemputan ke majlis perkahwinan yang Cik Normah terima.

Lalu, Cik Normah pun membuka sampul dan teruja juga nak tahu siapalah pula artis yang nak kahwin kali ini. Nak kata kawan Cik Normah yang bertubuh montok dan berkulit putih gebu, rasanya dia sudah lama bagi kad kepada Cik Normah. Pelakon Sariyanti yang nak kahwin minggu ini pun sudah memberi kad undangan kahwinnya dengan Eddy Casmady.

Bila Cik Normah belek, di kad itu tertulis nama Muhaizad Ahmad Mustapha yang akan berkahwin dengan Kartina Abdullah pada 17 dan 18 Januari ini. Mula-mulanya terpinga-pinga juga siapa pula Muhaizad? Seingat Cik Normah tidak ada pelakon bernama Muhaizad.

Akhirnya kawan sepejabat Cik Normah yang berdarah manis tadi memberitahu Muhaizad itu adalah nama sebenar pelakon Ako Mustapha.

Alhamdulillah, Cik Normah menarik nafas lega, jadi juga Ako kahwin dengan kekasihnya. Sebelum ini, cintanya dengan aktres Jue Aziz kecundang di tengah jalan.

Biarpun mendapat kad undangan pada saat akhir daripada Ako dan majlis itu akan dijalankan di Sandakan Sabah, Cik Normah awal-awal lagi nak minta maaf sebab tak dapat hadir kerana ada urusan keluarga. Majlis Sariyanti pun Cik Normah tak dapat hadir. Sayang pula kaftan yang Cik Normah tempah tak boleh digayakan, tapi mungkin juga Cik Normah boleh pakai masa Anugerah Juara Lagu ke-23 Ahad nanti.

Cik Normah dapat tahu, hubungan Ako dengan gadis Bajau pilihannya itu sudah menjangkau dua tahun. Sepatutnya sejak Oktober lalu mereka sudah berkahwin namun disebabkan kesibukan Ako, ia ditunda hingga ke bulan ini.

Cik Normah ada juga terdengar kisah yang mengatakan kononnya kekasih Ako ini adalah tunangan orang dan gosip itu hangat diperkatakan. Tapi versi baru yang Cik Normah dengar, kekasih Ako itu bukanlah tunangan orang, sebaliknya adalah bekas kekasih orang lain.

Agaknya bekas kekasih Kartina atau Tina itu masih ada hati dengan Tina. Tapi kalau sudah tahu Tina nak kahwin dengan Ako, maknanya sendiri mau ingatlah ye!

Apa-apa pun Cik Normah nak ucapkan selamat berbahagia kepada Ako, Tina, Sariyanti dan Eddy. Siapa lagi selebriti yang nak kahwin tahun ini, setakat ini hanya Que dan Linda Jasmine saja yang memberi tarikh. Betul ke Emelda dan Adlin pun akan kahwin tak lama lagi?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: