Thursday, January 15, 2009

bekas seorang peserta rancangan realiti tangan panjang?


KISAH artis yang sifatnya ala Plasticman, iaitu tangan panjang, bukanlah perkara baru dalam dunia seni kita ini. Yalah, kalau sudah ramai-ramai itu, tentu ada yang punya perangai pelik-pelik. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain OK!

Antara penyanyi tangan panjang yang Cik Normah baru diberitahu ialah bekas seorang peserta rancangan realiti. Boleh tahan juga popularnya penyanyi ini. Selepas beberapa tahun, kiranya nama dia masih bertahan dan dia sendiri pun berbakat juga. Sayangnya, kalau betullah cerita yang sampai ke telinga Cik Normah ni, kecewa jugalah Cik Normah dibuatnya.

Khabarnya, penyanyi ini kerap juga terambil barang-barang orang lain apabila berhimpun di sesuatu tempat macam fotografi, persembahan dan sebagainya. Dalam satu kejadian itu, duit rakan-rakan sendiri pula hilang apabila masing-masing bertembung pada satu sesi fotografi. Apabila si mangsa mula bercerita pada yang lain, maka timbullah kes-kes terdahulu yang turut membabitkan insan yang sama.

Selain penyanyi berbakat ini, khabarnya seorang lagi penyanyi realiti turut mempunyai sifat serupa - suka mengambil barang orang lain. Pada satu insiden, baju show pun diangkutnya sekali. Kesian si mangsa apabila dia bersiap-siap, alih-alih baju yang baru dipakainya untuk persembahan sudah pun masuk ke beg artis tadi.

Cik Normah tak nak cakap panjang lebar perbuatan yang tak elok ni. Kepada yang masih suka mengamalkan tangan panjang tu, sudah-sudahlah ya. Sebabnya, esok lusa awak akan bertemu juga dengan orang yang barangnya awak curi tadi. Ketika itu, mana hendak letak muka? Kalau pandai berlakon dan buat selamba, macam artis yang pertama tu, lainlah cerita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: