Thursday, January 15, 2009

LIYANA, Que Haidar dan Sherry semakin menyerlah




Berbeza haluan tetapi filem Maut yang mula ditayangkan hari ini menyatukan harapan mereka

FILEM Maut, garapan sutradara disegani, Bade Haji Azmi, menyatukan tiga bakat muda yang kian menampakkan sinar dalam dunia lakonan tanah air - Que Haidar, Liyana Jasmay dan Sherry Ibrahim.

Muda dan berbakat, ketiga-tiganya menjadikan bidang lakonan sebagai karier yang bukan hanya menjulang nama di kalangan peminat, bahkan periuk nasi yang boleh diharap.

Pada ketika yang sama, Que, Liyana mahupun Sherry, bagai sudah berjanji apabila hati masing-masing sama ada sudah terisi ataupun dikhabarkan sedang mengenali hati budi seseorang saat ini. Andainya Que dan Sherry sudah diketahui ramai mempunyai teman istimewa masing-masing, Liyana pula masih berteka-teki mengenai jejaka mana yang berjaya menawan hati.

Tanggal 14 Februari ini, Que dan pereka tari terkenal, Linda Jasmine, bakal menaiki pelamin sebagai raja dan ratu sehari. Selepas berbulan-bulan menyulam kasih, mereka tampil memaklumkan percintaan kepada umum beberapa minggu lalu. Kini, semuanya hampir tersimpul rapi apabila Hari Memperingati Kekasih bakal menjadi tarikh indah menyatukan pasangan ini.

Apabila tarikh bersejarah kian menghampiri, tentunya peminat ingin sekali mengetahui apakah Que dan Linda sudah pun bersiap-sedia menyambut hari itu nanti?



"Setakat ini, boleh saya katakan sebanyak 50 peratus persiapan sudah pun dilakukan. Rakan dan kenalan pula sungguh bermurah hati untuk membantu, dengan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan perkahwinan kami, sama ada di ibu kota pada bulan depan mahupun di Johor, 15 Mac ini.

"Kami memilih melakukan majlis akad nikah dan majlis resepsi di Bora Ombak, Ampang, berikutan kawasannya yang lapang. Ia bukan saja melegakan tetamu, malah membolehkan rakan media melakukan kerja mereka dengan sebaiknya. Kami akan dinikahkan di atas pentas, jadi semua yang datang dapat menyaksikan acara itu dengan jelas.

"Jika di sini majlisnya bertemakan perkahwinan Bali, di Felda Taib Andak pula, temanya berkemungkinan besar ialah diraja. Persiapan di Johor banyak diusahakan oleh kakak saya. Dia jugalah yang menguruskan kad jemputan yang khabarnya berjumlah 2,000 keping kesemuanya," cerita Que mengenai persiapan menyambut hari bahagia.

Ditanya mengenai baju pengantin bagi detik bersejarah itu, pelakon itu memberitahu, ramai pereka menyatakan kesudian bekerjasama dengan mereka sempena hari pernikahan dan persandingannya. Pada majlis akad nikah di ibu kota, dia akan mengenakan persalinan rekaan Datin Sharifah Kirana yang turut mereka baju pengantin bagi acara bersanding di Johor.

LIYANA, Que Haidar dan Sherry semakin menyerlah dalam bidang lakonan.

Manakala pada acara memotong kek di Bora Ombak, Calvin Thoo menjadi pereka yang bertanggungjawab menyediakan gaun dan baju pengantin, sementara acara bersanding di tempat sama menyaksikan Que mengenakan rekaan Lord's Tailor dan Linda dalam rekaan Syaiful Baharim. Kesemua material disediakan gedung fabrik terkemuka, Jakel.

Kata Que, dia ingin sekali mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada mereka yang sudi sama-sama menjayakan majlis perkahwinannya termasuk The Blooming Cake, Bora Ombak, Tiar Zainal, Ala Dancer, Camwork, jurukamera Khairul, Saiful dan Noramizan.com, Zuraida Ahmad, Az Salon & Bridal House Johor Bahru, Pusat Kad Jemputan Ternama JB dan Polka Dot Creative Solution (pemiliknya, Jeslina Hashim ialah perancang perkahwinan mereka di Kuala Lumpur).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perasaannya beberapa minggu lagi sebelum bergelar suami, pemuda berusia 29 tahun itu berkata, dia cukup teruja untuk memulakan hidup berkeluarga. Namun pada masa yang sama, dia tetap gementar, apatah lagi inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke alam perkahwinan.

"Alhamdulillah, sehingga kini dugaannya tidak banyak. Sekadar salah faham itu, biasalah. Kata orang, lagi dekat tarikh perkahwinan hendak sampai, lagi banyak perselisihan yang akan mendatang. Namun, kami selalunya akan cuba menyejukkan keadaan supaya kedua-duanya dapat menghadapi tekanan dengan lebih tenang," katanya.

Liyana perjelas hubungan

SEJAK akhir-akhir ini, kerap kali juga pihak media merakam foto mesra antara pelakon manis Liyana Jasmay dan penyanyi muda yang kian meningkat naik, Aizat. Persahabatan yang ketara itu ada kala disalah erti oleh sesetengah pihak sebagai percintaan. Sekerap mana kedua-duanya tampil memberikan penjelasan, namun tetap ada peminat yang degil mengatakan mereka sebenarnya bercinta.

Liyana pula hanya ketawa apabila berkali-kali disoal perkara sama.

Katanya, dia tidak terfikir pun peminat dan pihak media akan mengaitkan mereka berdua kerana apa yang nyata, dia dan Aizat sekadar teman biasa. Mereka saling mengenali sejak akhir tahun lalu. Kerana kedua-duanya masih muda, maka lebih mudah untuk Liyana mahupun Aizat menjadi sahabat setia.

"Malah, Aizat juga mengenali rakan-rakan lelaki saya yang lain. Yang nyata, Aizat bukanlah teman istimewa. Saya masih muda dan berkawan dengan ramai orang. Takkan saya hendak fikir soal kahwin pada usia sebegini muda? Jika kita serius dengan mana-mana lelaki pun pada masa ini, apabila tiba masa hendak berkahwin nanti, belum tentu kita berkahwin dengannya. Bukankah begitu selalunya?

"Hati saya diisi dengan begitu banyak kasih-sayang daripada rakan-rakan," katanya sambil ketawa kecil.

Menurut pelakon yang dijangka terus bersinar sepanjang 2009 ini, dia menyenangi Aizat dek sikapnya yang kelakar dan tenang.

"Dia tahu saya akan bergelar penyanyi sedikit masa nanti. Jadi, dia banyak memberikan petua serta tunjuk ajar sebelum lahir dengan album sendiri.

"Bagi saya, Aizat ialah seorang sahabat sejati," kata pelakon filem Histeria ini yang juga bakal muncul bersama filem Papadom dan Duhai Si Pari-Pari tidak lama lagi.

Mengenai karier barunya sebagai penyanyi, artis berusia 20 tahun ini memberitahu, jika tiada aral melintang, dia akan muncul bersama album EP mengandungi lima lagu pada Februari. Pada awalnya dia dijadualkan muncul bersama album single tiga lagu saja, tetapi penerbit Ajai berasakan, lebih baik Liyana hadir bersama sebuah EP.

"Ketika ini, tiga lagu sudah pun siap dirakam iaitu Tak Percaya Cinta, Aku Jatuh Cinta dan Pelik. Saya sudah pun mendapat material keempat untuk dirakam pada minggu ini. Lagu kelima juga mungkin disiapkan dalam minggu yang sama," kata Liyana yang berkemungkinan besar muncul dengan single pertama, Tak Percaya Cinta, ciptaan Ajai sedikit masa lagi.

Berterus-terang, Liyana mengaku keyakinannya untuk bergelar penyanyi belum mencapai tahap tertinggi. Begitupun dengan latihan dan pendedahan yang semakin banyak diterima, dia mengumpul kekuatan untuk berdepan peminat dengan karier keduanya selepas mencipta nama sebagai pelakon.

Sherry tidak mahu terburu-buru

BAGI Sherry Ibrahim, hubungannya dengan pelakon Ashraf Muslim sememangnya sudah menjadi pengetahuan umum. Begitupun dia tidak mahu tergesa-gesa mencari titik sudah kepada hubungan itu, dengan melangkah ke alam perkahwinan kerana masing-masing masih lagi mahu mencari tapak lebih kukuh dalam bidang seni.

Mengambil sikap berhati-hati dan mengikut saja arus, kedua-duanya percaya, jika ada jodoh, mereka berdua pastinya akan berakhir dengan gelaran suami-isteri. Sehingga saat itu tiba, Sherry ingin menapak lebih jauh dalam dunia lakonan yang sudah beberapa tahun diceburi. Masakan dia tidak teragak-agak untuk meninggalkan alam pekerjaan sebagai pramugari seandainya dia tidak berkeyakinan dunia lakonan mampu memberikan rezeki yang baik.

Filem Maut pula pastinya menjadi titik tolak untuk dia memahat nama dalam lakonan filem, setelah beberapa drama mula melonjakkan namanya di kaca TV. Drama bersiri Lara Rindu Mahsuri tayangan TV3 dan siri komedi Renjis siaran Astro Ria antara projek yang mendekatkan lagi dirinya kepada khalayak.

Dalam Maut, pelakon cantik ini berlakon dalam cerita yang sama bersama Que, Nana dan Awal Ashaari. Kononnya, mereka remaja black metal yang terbabit dalam kegiatan tidak sihat seperti suka mabuk, kaki parti dan pelbagai kegiatan liar lain.

"Saya mungkin tidak dapat melupakan babak ketika kumpulan kami terbabit dalam kemalangan apabila kereta terhumban ke sungai. Ketika babak itu dilangsungkan, saya cukup gementar kerana itulah kali pertama beraksi di filem. Apatah lagi lagak ngerinya kami lakukan sendiri.

"Biarpun sudah diberikan penerangan mengenai apa yang akan terjadi pada babak terbabit, tetapi saya tetap gementar melakukannya. Bayangkan kereta kami naiki digolekkan, lalu masuk ke sungai. Airnya pula sangat busuk, sehinggakan Que sendiri sampai hendak muntah ketika melakukannya. Tetapi, ia pengalaman yang berbaloi buat kami semua," ujar Sherry.

Menyentuh soal pemotongan beberapa babak dalam filem terbabit, Sherry berkata, pastinya pihak berwajib mempunyai sebab tersendiri bagi menyunting babak berkenaan. Namun dia berharap, suntingan itu tidak akan mematahkan semangat orang ramai untuk menonton garapan sutradara yang dikenali ramai itu.

Maut muncul filem Melayu pertama yang menemui penonton pada 2009 apabila membuka tayangan hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: