Sunday, January 25, 2009

30 sen ke RM37, 000




SEBELUM episod kemenangan dan diangkat sebagai hero pada malam Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL 23) hujung minggu lalu, Meet Uncle Hussain menyimpan seribu satu cerita pedih untuk mencapai puncak tertinggi itu.

Band yang pada awal kelahiran mereka digawangi oleh Alan, Taja, Kudux, Afat dan Jipie sebagai pemain undangan ini hidup melarat. Itu realitinya.

Malah sehingga malam sebelum Lagu Untukmu dijulang sebagai terbaik, band yang kini tinggal dianggotai tiga orang iaitu Taja, Alan dan Afat serta Bakri selaku pemain drum undangan juga berhutang sebanyak RM5,050 demi memastikan persembahan yang diberi mampu memberi pulangan.

Jika tidak, mereka harus mencari jalan untuk melunaskan hutang yang dibuat. “Nasib baik menang. Alhamdulillah, ini rezeki kami selepas sekian lama tidak pernah muncul di mana-mana persembahan,” ujar Taja bersyukur.

Petang usai fotografi, bicara kami banyak memperkatakan sisi hitam. Siapa menyangka, gah pada populariti tidak bermakna mereka hidup selesa. Ini lumrah kehidupan anak band tempatan. Populariti yang dikecapi tidak selari dengan pengiktirafan karya yang diberi khalayak.

Afat yang lebih banyak berdiam tanpa segan memaklumkan: “Masa nak bertanding malam itu, kami tak ada duit.

“Dah lama tak ada show. Baju malam itu pun kami cari di kedai bundle. Malam itu kami hanya bergantung kepada kekuatan Lagu Untukmu untuk menang.”


Dari kiri, Taja, Afat, Alan dan Bakri mahu menghasilkan karya yang lebih bermutu demi memartabatkan seni muzik tempatan.


Itulah yang dinamakan tuah. Itu juga bayaran kepada kesetiaan mereka menanti hasil daripada karya yang dipercayai sebagai bermutu. Maka penantian tersebut tidak sia-sia.

Malaysia mengiktiraf karya hebat mereka. Malah diangkat pula sebagai penyumbang ‘arus elektrik’ muzik generasi baru tempatan paling baik.

Daripada pernah dibayar hanya sebanyak 30 sen untuk sebuah persembahan, hari ini mereka yang juga sinonim dengan gelaran MUH menggenggam wang tunai bernilai RM37,000 hasil kredibiliti sebagai anak seni.

Mereka senyum. Senyum yang bercampur bangga dan kepahitan yang cukup kelat ditelan. Apatah lagi bila mengenangkan kemenangan ini tidak membawa makna sekiranya masalah dalaman yang sedang menghantui mereka tidak mampu diselesaikan.

Tetapi tidak seorang pun anak-anak band ini membuka mulut tentang dilema yang mereka hadapi saat ini. Sempat pula Afat kemudian mengusik: “Mungkin kalau temu bual kami pada bulan mendatang, baru tahu kenapa.”

Namun MUH optimis. Hidup mesti diteruskan. Muzik generasi baru harus disemarakkan. Mereka tidak boleh mengaku kalah. Menyerah begitu sahaja bukan prinsip mereka. Alang-alang sudah lali melalui liku yang sukar, mereka perlu bebas terbang tinggi.

Jika tidak masakan sehingga kini, tanpa duit dan kepastian tentang penerimaan kehadiran mereka dalam pasaran arus perdana, MUH tetap bertahan.

“Semua kami dah lalui. Dibayar 30 sen bukan satu penghinaan, tapi pengalaman,” kata Alan ringkas.

Tambah Taja pula: “Kami pun tak mahu salahkan mereka hanya kerana dibayar 30 sen. Tanpa bayaran 30 sen itu, kami tak akan mampu memperdengarkan karya yang kami ada.


MUH terpaksa berhutang untuk buat persembahan pada Anugerah Juara Lagu.


“Sementelah, kami faham komuniti gig, berapa sen sangat mereka dapat kalau nak bayar kami mahal-mahal. Jadi kena kompromi dan bersabar. Ada banyak hikmah.”

Dan hikmah itu diperoleh melalui pentas paling berprestij muzik tempatan iaitu AJL. Duit RM37,000 sewaktu diperdebatkan, kata MUH berseloroh, harus diguna untuk membayar hutang dahulu.

Kemudian mereka pasti memasang mimpi untuk memiliki album perdana. Kerana ironinya, Lagu Untukmu yang menjulang mereka sebagai juara itu dihasilkan empat tahun lalu dan hanya dimuatkan dalam E.P mereka pada tahun 2006.

“Tuah lagu itu. Tempoh empat tahun ini barangkali bukti kekuatan Lagu Untukmu. Memang kami punya keinginan untuk menggarap album studio pertama. Hanya tunggu masa,” kata Alan serius.

Menerobos angin

Menyelak kehidupan lalu, mereka akui bermain muzik sekadar satu hobi. Taja, misalnya, sebelum bergelar komposer dan pemain gitar, dia merupakan bekas inspektor polis.

Alan, si vokalis yang disifatkan Taja sebagai mempunyai vokal seribu dalam satu ini pula pernah menjual air mineral dan menjadi ketua tukang masak.

Biarpun pernah berasa patah hati saat E.P telah disiapkan tetapi tidak diberi peluang syarikat rakaman untuk memasarkannya pada tahun 2006 lalu, mereka masih bertahan. Semuanya hanya kerana berpegang kepada sebuah keyakinan.

“Sebab kami yakin dengan apa yang kami lakukan, maka kami harungi semua halangan. Kami yakin pada karya kami, hanya menanti masa bila mentaliti khalayak umum akan menerima kami,” ulas Taja.

Bakri yang duduk di sebelah Taja kemudian menambah setiap anak band, memang bermula dengan sebuah mimpi kosong sebelum dibalut cita-cita yang baik apabila sedar bahawa muzik yang dihasilkan bermutu.

Malah, katanya, jika penerimaan umum ini dibuka kepada band-band sealiran mereka yang lain seperti Republic of Brickfields atau Koffin Kanser, misalnya, mereka juga pasti mahu berada pada posisi MUH sekarang.

“Namun mungkin kerana tidak punya peluang dan muzik yang dimainkan tidak mempunyai nilai komersial yang mampu diterima meluas, jadi komuniti peminat mereka terhad.”




“Tapi saya percaya, jika peluang ada, mereka juga mahu bertanding di pentas besar dan menyebarkan muzik mereka dengan lebih meluas,” kata Bakri, ‘orang lama’ arus indie yang pernah menganggotai Flop Poppy dan Gerhana Ska Cinta tidak lama dulu.

Vokal Alan, muzik MUH, wajah Bakri

Saat ditanya tentang perasaan selepas menang, mereka hanya tersenyum dan menjawab tak berasa apa. Namun mereka akui impak kemenangan itu sudah dirasa.

“Sudah ramai kawan lama yang hilang, telefon semula,” kata Afat bersahaja dan Bakri pula berkata: “Sudah rasa impaknya bila mula banyak tawaran persembahan datang. Banyak income masuk.”

Taja dan Alan pula tersenyum sambil menyifatkan tekanan juga datang kerana khalayak menantikan sesuatu yang lebih baik selepas mereka menjadi juara.




Menjawab isu sama ada menjadi popular itu enak, Alan menepis sambil berkata: “Mungkin popular buat kami dan karya dikenali. Tapi pada sudut lain, banyak mata yang memerhati dan mencari kesalahan kami.

“Itu bahaya. Jadi kami harus berhati-hati dan saya akui, saya sendiri perlu lebih banyak belajar berkomunikasi dengan baik dan menjaga tingkah laku.”

Ditanya apa yang dikejar dan cuba dijual MUH kini, pantas dalam seloroh Taja memberitahu:

“Kami jual muka Bakri.” Taja dan semua yang lain ketawa. Dia menyambung lagi: “Taklah, secara profesional, kami menjual karya kami. Kemudian kami jual vokal unik Alan. Dan ini semua harus jalan seiring.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: