|
JIKA anda bersiar-siar melihat keunikan bangunan lama di Jalan Tokong, berdekatan Jalan Jonker di Melaka pasti pandangan mata anda tertancap pada sebuah kafe yang sangat unik hiasan dalamannya.
Kafe tersebut menjual pelbagai minuman yang terdiri daripada kopi dan kek buatan sendiri pada harga antara RM7 hingga RM15 segelas.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk, pengunjung pasti tergamam melihat sebuah van model lama Volkswagen yang menjadi titik tarikan di Mods Cafe.
Van itu digunakan sebagai tempat barista membancuh kopi selain dijadikan tempat juruwang.
Sama seperti namanya, hiasan dalamannya menggunakan seni budaya yang berasal dari London, England yang bermula sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an.
|
“Saya memang meminati aliran Mod dan lokasinya di Banda Hilir amat sesuai dengan suasana yang tenang dan relaks,” kata pemilik Mods Cafe yang hanya mahu dikenali sebagai A-bert Khow.
Nama panggilan Mod diambil daripada singkatan Modernist (Modernis) yang mempunyai signifikan elemen fesyen, muzik dan motor skuter.
Simbol budaya Mod yang menggunakan lambang Tentera Udara Diraja British turut menjadi logo Mods Cafe. Bukan setakat lambang, gaya retro jelas kelihatan pada keseluruhan hiasan dalaman.
Dalam subbudaya ini, motor skuter seperti Vespa dan miniatur kenderaan tersebut kelihatan di rak-rak di dalam bangunan itu.
Peralatan makanan seperti bekas air gula juga menggunakan botol lama dengan mengekalkan logo syarikat lama.
Muzik Mod juga jelas terserlah menerusi irama muzik yang berkumandang selain bola kaca yang digantung di tengah-tengah kafe.
Menurut Khow, penyerapan subbudaya Mod berakar umbi daripada budaya kedai kopi Beatnik yang menjadi tumpuan pelajar sekolah seni pada waktu itu.
Kebanyakan pelajar tersebut terdiri daripada mereka yang menjadi pengikut radikal aliran Bohemian di London.
Walau apa pun polemik yang ditimbulkan, Mods Cafe yang terletak di Jalan Tokong itu merupakan tempat yang sesuai untuk pencinta seni menyelami seni Mod sambil menikmati secawan kopi yang menyegarkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: