|
KARI kepala ikan memang enak lebih-lebih lagi jika dimasak dengan ikan segar. Lazimnya, jika bercerita dengan rakan-rakan tentang keenakan menikmati hidangan itu di sesebuah restoran tertentu, mereka juga berkeinginan untuk menikmati hidangan tersebut.
Bagi mereka yang berkunjung atau melawat anak-anak yang belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor apa kata anda singgah ke Pak Lah Cafe untuk menikmati hidangan kari kepala ikan.
Kafe yang terletak di Scholars Inn U9 Kolej Perdana itu menawarkan hidangan kari kepala ikan yang dijual pada harga antara RM8 hingga RM20 bagi satu hidangan.
Pemilik kafe berkenaan, Abdullah Che Awang atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, 65, memberitahu, beliau hanya menggunakan ikan segar seperti jenahak, merah, ebek, kaci dan siakap dengan ramuan rempah istimewa. Bahkan, Pak Lah juga tidak menggunakan santan untuk memasak kari.
Menurut beliau, kari kepala ikan di kafenya dimasak dengan sentuhan orang utara dan mamak.
“Saya mula menyediakan hidangan kari kepala ikan ini sejak berniaga di UTM pada tahun 1997. Sambutan daripada para pelanggan sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Secara purata, Pak Lah menyediakan 10 kepala ikan setiap hari.
|
Tumpuan ramai
Permintaan kari kepala ikan ini biasanya meningkat pada hujung minggu kerana ramai orang luar datang ke UTM.
Bukan sahaja terkenal dengan keenakan kari kepala ikan, pengunjung yang datang ke Pak Lah Kafe juga sering memesan hidangan nasi beriani Johor.
Pak Lah memberitahu, nasi beriani kambing yang dijual di kafenya menggunakan beras Moghul atau Kashmir.
Nasi beriani itu ditawarkan setiap hari pada harga RM6 sepinggan. Dianggarkan sebanyak 10 hingga 15 kilogram beras digunakan setiap hari khas untuk menyediakan permintaan nasi beriani.
Pak Lah Cafe menghidangkan sebanyak 50 jenis lauk setiap hari merangkumi hidangan tempatan, Barat dan Asia Barat. Kafe tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan para pelajar UTM dan penduduk tempatan malah para tetamu yang menginap di Scholars Inn. Scholars Inn merupakan sebuah hotel butik yang diusahakan oleh UTM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: