Wednesday, June 19, 2013
Gadai emas kerana tekanan kos sara hidup
SURI RUMAH warga Singapura Siti Khadijah Abdul Rahman mempunyai beberapa barangan kemas yang bernilai ribuan dolar, namun peningkatan kos sara hidup menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggadaikannya.
Terbeban dengan perbelanjaan isi rumah termasuk persekolahan kedua-dua anak remajanya, pajak gadai merupakan alternatif terbaik dalam meredakan beban kewangan wanita berusia 49 tahun itu.
Suaminya, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai pendapatan sekitar S$1,500 (RM3,737) sebulan.
"Sekiranya berdepan masalah kewangan lebih baik meminjam di pajak gadai daripada kawan-kawan atau saudara-mara," kata Siti Khadijah.
"Jika mempunyai wang, saya akan menebus semula barang-barang kemas berkenaan."
Dia merupakan salah seorang daripada ribuan rakyat di negara itu yang terpaksa meminjam melalui skim pajak gadai ekoran kenaikan kos sara hidup di negara itu.
Laporan Unit Perisikan Ekonomi baru-baru ini turut menyatakan Singapura kini berada di tangga keenam sebagai negara yang mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia.
Pendapatan isi rumah
Menurut data dikeluarkan pendaftar industri, jumlah pinjaman pada tahun ini meningkat sebanyak 43 peratus, berbanding S$7.1 bilion (RM17.4 bilion) pada 2012.
Berdasarkan populasinya, Singapura melahirkan ramai jutawan tetapi pendapatan isi rumah yang melebihi S$65,000 (RM160,000) di negara itu pada 2012 mewujudkan jurang besar antara golongan kaya dan miskin.
Tiga buah rangkaian perniagaan pajak gadai terbesar di negara itu yang merangkumi hampir 200 cawangan kini menjadi tumpuan peminjam yang menggunakan barangan peribadi mereka sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek.
"Kamu lihatlah di sekeliling, tidak hairanlah mengapa Singapura antara negara yang mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia," kata Derek Da Cunha, seorang pemerhati sosio politik tempatan.
"Berbanding sebelum ini, perkhidmatan pajak gadai menjadi semakin penting termasuk dalam kalangan profesional untuk mendapat pinjaman jangka pendek bagi menampung keperluan mereka."
Menurut perangkaan jabatan statistik, keluarga seperti Siti Khadijah yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah 10 peratus terpaksa berhadapan dengan penurunan 1.2 peratus dalam pendapatan per kapita mereka mengikut kadar inflasi pada tahun lalu.
Kos penjagaan perubatan juga meningkat sebanyak 3.9 peratus pada 2012 mengikut data yang dikeluarkan kerajaan.
Persatuan pengguna berkata purata harga bagi semangkuk mi berserta bebola ikan, kini 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu S$3 (RM7.50).
Harga bahan-bahan asas seperti beras, daging, sayur-sayuran dan produk tenusu juga meningkat mendadak.
Sementara itu, flat-flat awam di kawasan tertentu juga meningkat kepada lebih S$1 juta (RM2.5 juta), manakala pemilik kenderaan juga terbeban dengan cukai tinggi dan sistem kuota kenderaan yang dilaksanakan.
Barangan kemas yang digadai akan dinilai oleh pakar-pakar emas dengan peminjam lazimnya akan dikenakan kadar satu peratus pada bulan pertama dan 1.5 peratus pada bulan berikutnya.
Barangan itu mesti ditebus dalam tempoh enam bulan atau ia tidak boleh ditebus kembali kecuali peminjam memperbaharui perjanjian mereka dengan pajak gadai.
Seorang peminjam yang enggan dikenali berkata, pajak gadai merupakan alternatif terbaik untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek berbanding bank yang memerlukan kertas kerja dan tidak semestinya mendapat kelulusan segera.
"Bagi generasi lama, jika kamu menyimpan barangan kemas, lebih baik meminjam daripada pajak gadai," kata pekerja kilang itu yang memperbaharui pinjamannya dengan kedai pajak gadai berhampiran rumahnya setiap enam bulan sekali.
Rangkaian pajak gadai Valuemax dan pesaingnya MoneyMax juga semakin meningkat sekali gus menyaksikan kedua-duanya terpaksa bersaing sengit dengan Maxi-Cash yang menawarkan pinjaman awam sebanyak S$16.8 juta (RM40.6 juta) walaupun dalam keadaan pasaran yang lemah.
Premis-premis pajak gadai juga telah berubah wajah tanpa jeriji besi yang lazim dilihat sebelum ini di samping pemakaian uniform pekerja yang memberi imej seolah-olah sebuah cawangan bank komersial.
Perubahan itu menyaksikan premis pajak gadai turut dikunjungi golongan muda dan mewah yang kini menjadi faktor utama dalam mempopularkan kembali industri ini selain publisiti meluas dalam kalangan selebriti tempatan.
Kedai pajak berlian
Di samping emas, terdapat juga premis pajak gadai bagi berlian, barangan antik dan jam tangan antik.
Pihak berkuasa di negara itu memberitahu, peningkatan mendadak industri tersebut kini sedang dipantau termasuk kemungkinan kewujudan pinjaman mudah untuk kaki judi di negara yang mempunyai pasaran perjudian ketiga terbesar di dunia di belakang Macau dan Las Vegas.
April lalu, Kementerian Undang-Undang telah diminta untuk mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung cadangan pindaan kepada undang-undang pajak gadai untuk mengukuhkan tadbir urus industri itu.
Bagi Da Cunha, beliau tidak percaya kerajaan akan mengambil sebarang langkah-langkah drastik bagi mengawal industri itu.
"Premis pajak gadai sememangnya sudah tertanam dalam jiwa masyarakat Singapura. Perkhidmatan yang ditawarkan jauh lebih baik daripada jika mereka meminjam daripada peminjam haram tanpa lesen," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: