Thursday, June 20, 2013
Pencetak berprestasi tinggi
PENCETAK serba guna atau lebih popular dengan panggilan pencetak AIO (All In One) sebenarnya sinonim dengan dunia perniagaan. Ia juga telah mula digunakan secara meluas oleh pengguna rumah kerana harganya yang mampu milik.
Dengan keupayaan mencetak, mengimbas, menyalin dan turut dilengkapi dengan faksimili, tidak keterlaluan jika dikatakan pencetak AIO merupakan salah satu aset penting dalam dunia perniagaan.
Menyedari kepentingan itu, Fuji Xerox melancarkan pencetak Color C75 Press yang sesuai untuk sektor korporat serta grafik yang memerlukan kapasiti cetakan dan imbasan yang besar.
Antara ciri utama yang terdapat pada Color C75 ialah:
1. Skrin antara muka pengguna
Skrin dengan antara muka pengguna ini memudahkan anda untuk mengakses fungsi imbas dan salin.
Hampir kesemua arahan dan aturan pencetak ini dapat dilakukan secara terus daripada skrin tanpa memerlukan pengguna mengakses perisian pencetak daripada komputer.
2. Feeder kertas berkapasiti tinggi C1-DS/B1-S
Bagi menyokong tugas cetakan yang mencabar, Fuji Xerox menawarkan ruang simpanan tambahan sebagai pilihan bagi menyimpan kertas sehingga 2,000 helai.
Teknologi kawalan pergerakan kertas yang terdapat pada feeder itu mampu mengelakkan pembaziran kertas akibat kesilapan roller (penggulung) menarik masuk kertas.
3. Imej berkualiti tinggi
dengan penjimatan toner
Produk itu menjanjikan hasil cetakan yang berkualiti tinggi dengan resolusi 2400x2400 dpi.
Teknologi emulsion aggregation mampu menghasilkan kualiti imej yang baik dengan penggunaan toner secara optimum sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan.
4. Pengimbas berprestasi tinggi
Tugas pengimbasan dan penyalinan kini telah menjadi bahagian penting dalam aliran sektor korporat. Justeru, C75 menawarkan pelbagai pilihan output imbasan dan lokasi untuk disimpan.
Ia termasuk ke komputer, e-mel (sebagai kepilan dan terus dihantar dalam bentuk e-mel), storan rangkaian atau flash drive USB.
Dengan pilihan resolusi 200x200, 300x300, 400x400 atau 600x600 dpi, pengguna mempunyai pilihan untuk memilih resolusi yang bersesuaian dengan imbasan daripada gambar atau dokumen perniagaan yang dikehendaki.
5. Xerox Standard Accounting (XSA)
Salah satu cabaran yang dihadapi oleh perniagaan adalah kawalan terhadap cetakan yang dibuat. Antaranya, isu cetakan berlebihan yang dilakukan oleh kakitangan.
Ia mungkin disebabkan kesilapan pada cetakan akibat tidak membuat ujian cetakan terlebih dahulu atau kakitangan menyalahgunakan pencetak pejabat untuk membuat cetakan peribadi.
Dengan XSA, pentadbir atau kakitangan teknologi maklumat boleh mendapatkan laporan terperinci tentang penggunaan pencetak seperti tarikh, waktu dan nama pengguna yang membuat cetakan.
Tindakan itu sekali gus memberitahu sumber kos berlebihan dan boleh membuat kawalan atau tindakan yang sewajarnya.
Apa yang pasti, pencetak keluaran Xerox ini hanya sesuai untuk digunakan oleh perniagaan yang benar-benar menggunakan servis cetak, imbas dan salin dalam kuantiti yang banyak.
Selain itu, ruang pejabat yang agak besar diperlukan untuk menempatkan pencetak ini kerana saiznya besar berbanding pencetak AIO berskala kecil.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: