|
DRAMA bersiri Geng Bas Sekolah musim kelima mempertaruhkan elemen-elemen komik dan berbeza daripada musim-musim sebelumnya. Ia menampilkan plot penceritaan dan watak-watak baharu sebagai penyambung legasi yang pastinya menjanjikan pengisian yang dapat memberikan hiburan serta pengajaran.
Antara pelakon cilik berbakat besar yang membintangi drama bersiri itu ialah Harris Alif yang berlakon sebagai Jay manakala watak Chempaka digalas oleh Jasmine Jessica Cross.
Brendan Gabriel Lai pula diberi tanggungjawab menghidupkan watak Bobby manakala Muhammad Shahzuan Aiman berlakon sebagai DJ.
Drama bersiri itu turut mengekalkan Azrul Zaidi sebagai Abang Reza yang menjadi pemandu bas sekolah.
Kelainan pada musim ini turut menyaksikan lakonan mantap pelakon kanak-kanak yang diminati ramai iaitu Mia Sara Nasuha yang memegang watak Orked, adik kepada Chempaka.
"Sambutan daripada penonton setia Astro Ceria sangat menggalakkan.
"Kami juga mendapat maklum balas yang sangat positif menyebabkan kami yakin untuk meneruskan program Geng Bas Sekolah ini.
"Ada perubahan barisan pelakon dan beberapa elemen baharu yang kami terapkan kali ini lebih santai dengan cerita yang benar-benar berlaku di sekolah. Ia lebih segar serta menarik untuk ditonton oleh semua peringkat umur," ujar Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin.
Drama itu juga diterima oleh pelbagai lapisan usia kerana ia mempunyai nilai-nilai teladan.
Setiap episod drama itu bersiaran selama 30 minit.
Drama tersebut berkisar tentang pengembaraan yang dilalui oleh Jay, Chempaka, Bobby, DJ dan Orked yang bekerjasama melakukan siasatan berhubung kes-kes yang berlaku di sekolah mereka. Setiap ahli Geng Bas Sekolah mempunyai kelebihan masing-masing ketika melakukan siasatan.
Jangan ketinggalan menyaksikan pengembaraan dan kejutan siri yang akan disiarkan pada setiap Ahad pukul 11 pagi menerusi saluran 611 di Astro Ceria. Selamat menonton!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: