Sunday, June 16, 2013

Deanna kembali kerana skrip



DARI kiri: Remy Ishak, Deanna Yusoff dan Beto Kusyairy bersatu dalam naskhah CEO arahan Razaisyam Rashid.



KEJELITAAN masih kekal pada raut wajah wanita berketurunan Inggeris ini walaupun usianya kian bertambah.
Deanna Yusoff yang pernah mencipta nama menerusi beberapa naskhah layar lebar seperti Selubung pada tahun 1991, Abang 92 (1993) dan Ringgit Kasorrga (1995) masih menampilkan wajahnya yang sama ketika dia berada pada zaman tersebut.
Namun, tampil sedikit perubahan pada figuranya yang kelihatan semakin matang tatkala meniti usia 46 tahun.
Sambil mengucapkan syukur kerana masih dikurniakan tubuh badan yang sihat, Deanna yang ditemui ketika pelancaran filem CEO di Ampang, Selangor baru-baru ini berkongsi rahsia tentang dirinya.
"Saya tidak mengamalkan petua-petua tertentu. Cuma memberi perhatian kepada amalan pemakanan yang sihat, memperbanyakkan minum air masak, tidak terlalu bekerja keras dan memberi ruang untuk berehat selain tidur yang cukup.
"Mengunjungi gimnasium adalah perkara yang saya tidak suka. Saya lebih gemar bersenam di rumah dengan berlari di atas treadmill selain mengamalkan yoga dan suka menari," cerita Deanna yang gemar berfikiran positif dan menjauhi anasir negatif.
Pelakon pembantu dalam filem Hollywood, Anna And The King itu yang kali terakhir muncul menerusi filem Chermin pada 2008 bakal kembali ke layar perak apabila terlibat dalam filem CEO arahan pengarah muda, Razaisyam Rashid.
Deanna yang meletakkan syarat tertentu pada diri sendiri jika mahu berlakon semula dalam filem, menerima tawaran itu dengan hati terbuka atas sikap profesional yang ditunjukkan oleh pihak produksi.
"Pada usia sebegini dan pengalaman berlakon lebih 20 tahun, pastinya saya akan membuat pilihan. Saya mahu terlibat dalam sebuah produksi yang profesional. Pastinya, seorang pelakon lama seperti saya mahu bekerja dalam kumpulan yang tidak mengamalkan cara bekerja 20 tahun lalu.
"Selepas proses membaca skrip dan latihan, saya dapat merasakan Razaisyam mampu menggalas tanggungjawab sebagai pengarah walaupun itu merupakan filem pertamanya. Saya menerima tawaran itu (berlakon) kerana skrip yang bagus dan wataknya yang berbeza," kata pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-10 menerusi filem Selubung.
Deanna turut menjawab persoalan mengapa dia tidak lagi aktif di pentas lakonan.
"Bukan tidak ada tawaran langsung. Cuma kebanyakan daripadanya tidak kena dengan jiwa saya. Banyak yang ditawarkan pada saat-saat akhir iaitu dua hingga tiga hari sebelum penggambaran bermula.
"Mungkin saya ditawarkan pada ketika itu kerana untuk mengganti tempat pelakon lain yang telah menolaknya," ujarnya berseloroh.
Dalam perkembangan sama, Deanna yang masih aktif sebagai penyanyi dan pengacara majlis-majlis korporat turut bergelar ahli perniagaan apabila menjadi pengedar coklat berjenama Grandjean dari Switzerland sejak tiga tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: