Sunday, June 16, 2013

Pecah perut tonton parodi Nang Nak



KESETIAAN Mak dengan Nak mampu membuatkan penonton berasa sebak dalam beberapa babak romantis mereka.



NASKHAH komedi seram hasil garapan pengarah filem Shutter (2004), Banjong Pisanthanakun ini wajib ditonton oleh peminat filem komedi. Biarpun menampakkan latar berunsurkan seram, namun elemen humor menguasai keseluruhan perjalanan filem Pee Mak.
Ia mengisahkan tentang era pemerintahan kerajaan Rattanakosin pada penghujung tahun 1700-an apabila kebanyakan lelaki dikerah menjadi anggota tentera termasuklah Mak. Dia tiada pilihan selain meninggalkan isteri yang sarat mengandung bersendirian di rumah.
Sejurus perang tamat, Mak pulang ke kampung halamannya di Phra Khanong bersama-sama empat orang sahabat perangnya, Ter, Aey, Shin dan Puak.
Mak memperkenalkan isterinya, Nak kepada sahabat-sahabatnya itu yang menumpang sebuah rumah usang yang terletak bertentangan dengan rumah mereka. Kedua-dua rumah itu dipisahkan oleh sebatang sungai.
Pelbagai situasi mencemaskan timbul dalam kalangan rakan-rakan Mak itu setelah mereka menyedari sesuatu yang tidak kena sementelah khabar angin orang kampung yang menyatakan bahawa Nak mati bersalin bersama anaknya, Dang.

PEE MAK menemui penonton di panggung seluruh negara sejak 6 Mac lalu.


Meskipun jalan ceritanya hampir dapat diagak buat mereka yang sinonim dengan kisah legenda Thailand, Nang Nak yang pernah difilemkan pada tahun 1999, namun penulis skripnya berjaya mengelirukan penonton sehingga timbul andaian sama ada Nak, Dang, Mak dan rakan-rakannya ialah hantu yang sebenar.
Naskhah yang dibintangi oleh Mario Maurer, Nattapong Chatpong, Pongsatorn Jongwilas dan Attharut Khongrasri ini boleh dianggap berjaya mengolah kisah Nang Nak dalam bentuk parodi kerana seisi panggung pasti ketawa sakan melihat lakonan mereka.
Komen Syalmizi: Dalam bergelak ketawa, tetap tersentuh dengan kesetiaan cinta Mak dan Nak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: