Wednesday, August 31, 2016

Datuk Red Tidak Akan Cerai Isteri-Isterinya Untuk Kahwin Lain



Datuk Red dan Adira yang kini hamil dua bulan.
PETALING JAYA: Ahli perniagaan Datuk Seri Adnan Abu menafikan dakwaan kononya sudah bercerai dengan isteri kedua iaitu penyanyi Adira Suhaimi untuk berkahwin dengan pelakon baharu Ruhainies.
Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 38, berkata, dia tidak akan menceraikan isteri-isterinya semata-mata untuk berkahwin lain.

"Lawak betul, saya sayangkan Adira dan dia pun sedang mengandungkan anak saya, macam mana gosip keluar kami bercerai pula, sibuk betul orang bercakap tentang saya ya.

"Saya tidak akan buang isteri-isteri saya, tapi kalau tambah saya mahulah," ujarnya.
Laman sembang gosip yang hangat mempersoalkan hubungan Adira dengan suaminya Datuk Red berakhir.
Datuk Red menjawab berita di ruangan laman sembang gosip bahawa dia sudah menceraikan isteri keduanya Adira dan merancang untuk berkahwin dengan pelakon baharu Ruhainies.

Datuk Red turut mempunyai seorang isteri yang dikenali sebagai Sharifah atau Datin Red.

Sementara itu, ditanya tentang Ruhainies ke kedai barangan kemas, dia enggan mengulas dan meminta bertanya kepada pelakon itu sendiri.

Sementara itu, mengulas tentang keadaan Adira yang kini sudah memasuki kehamilan dua bulan, katanya, penyanyi lagu Ombak Rindu itu masih mengalami alahan dan muntah-muntah.

"Dia sihat dan sekarang masih muntah-muntah. Saya suruh dia berehat tapi dia degil, sekarang sibuk dengan persiapan untuk persembahan di Festival Filem Malaysia 28 tidak lama lagi," ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Red berkata, dia kini sedang mencari nama yang sesuai untuk bayi tersebut biarpun masih belum mengetahui jantinanya.

"Bukan Saya Yang Nak Kahwin" - Tasha Mansahar



Tasha Mansahar kini menjadi guru di sebuah sekolah rendah di Melaka.
PETALING JAYA: Penyanyi Tasha Mansahar menjelaskan tindakannya menulis dalam ruangan komen di beberapa Instagram milik perancang majlis perkahwinan bukanlah untuk dirinya.
Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 23,berkata, sebaliknya, ia adalah untuk membantu rakan baiknya yang ingin mendirikan rumah tangga dan mengadakan sebuah majlis.

"Betul saya ada bertanya tentang pakej-pakej perkahwinan di beberapa laman Instagram pengurus majlis, namun bukanlah saya yang nak kahwin tetapi kawan baik saya.

"Saya ni kadang-kadang lupa saya ni artis itu yang komen tanpa fikir panjang sehingga ada menyangka saya pula yang ingin berkahwin.

"Saya tolong kawan saya kerana dia tidak berapa aktif laman sosial," ujarnya kepadamStar Online.

Tasha menjawab khabar angin bahawa dia bakal menamatkan zaman bujang dan sedang merancang untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan.
Antara komen-komen Tasha yang menjadi perhatian.
Tambah penyanyi lagu Ragu-Ragu ini berkata, buat masa ini dia masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin terutama dalam masa terdekat.

Jelas Tasha, dia masih lagi cuba untuk menyesuaikan diri dengan jadual baharu selepas memulakan tanggungjawab sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Melaka.

"Saya akan berkahwin tapi bukan dalam masa terdekat ini. Sekarang belum masanya kerana saya terlalu sibuk dengan kerja.

"Saya masih menyesuaikan diri dengan tugasan hakiki sebagai guru dan masa sebagai penyanyi. Biasanya hanya hujung minggu sahaja yang boleh untuk aktiviti nyanyian," ujarnya.

Bagaimanapun, Tasha berkata, jika benar ingin berkahwin, dia tidak akan merahsiakan perkara baik itu kepada umum.

Imej Bertudung Halang Mia Ahmad Lakonkan Watak Jahat



Mia Ahmad dilantik sebgai duta saluran Tonton. Foto dari Instagram Mia Ahmad
PETALING JAYA: Pelakon Mia Ahmad memberitahu kebanyakan penerbit dan pengarah drama tidak yakin menawarkannya memegang watak antagonis biarpun ia menjadi idamannya.
Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 28 berkata, dia berasa agak terkilan kerana tidak ramai penerbit ataupun pengarah mahu menawarkan watak sebegitu kepadanya hanya kerana penampilannya yang betudung.

"Kalau ditanya tentang watak impian, jujur saya katakan saya mahukan lakonkan peranan antagonis yang mampu membuatkan timbul rasa benci dikalangan penonton.
"Pun begitu tidak ramai pengarah yang berani menawarkan saya dengan watak sebegitu kerana imej saya bertudung dan berwajah lembut.

"Disebabkan perkara itu, saya merasakan bakat lakonan terhad kerana peranan sedemikian sebenarnya memberi impak kepada seseorang pelakon itu dan ia juga sebagai kepuasan diri," katanya.

Mia ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Duta Tonton VIP bersama pelakon Saharul Ridzwan di Desa Balqis Beach Resort, di sini, Sabtu lalu.

Portal yang boleh diakses menerusi tonton.com.my itu menyediakan pelbagai filem dan drama tempatan serta antarabangsa di mana kedua-dua selebriti ini dilantik sebagai duta  untuk program Bahasa Malaysia.
mStar Default Image
Mia Ahmad ketika memenangi Anugerah Pilihan Online anjuran mStar pada April lalu.
Tambah Mia lagi, pihak produksi seharusnya lebih terbuka kerana realitinya tidak semua wanita bertudung melambangkan peribadi yang positif dan sebaliknya.
"Mentaliti segelintir masyarakat kita seringkali menilai pada luaran tetapi hakikatnya tidak semua seperti dibayangkan dan saya ingin cuba menzahirkan perkara itu menerusi watak antagonis sekiranya diberi peluang," katanya.

Menjelaskan perlantikannya sebagai duta Tonton VIP bersama Saharul Ridzwan, Mia yang pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta bersama pelakon itu suatu ketika dahulu tidak pernah meletakkan hal-hal peribadi sebagai penghalang untuk dia bersikap profesional dalam bekerja.

"Kalau boleh usah diungkit cerita lama apa lagi sahabat saya ini bakal melalui alam perkahwinan tidak lama lagi dan saya turut gembira dengan berita tersebut selain berharap majlis yang dirancang itu lancar dan dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu Mia ketika ditanya mengenai status hubungan cintanya dengan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan lebih selesa mengambil sikap untuk tidak berkongsi hal tersebut.

“Apa yang boleh saya jelaskan sekarang, saya tidak ada masalah dengan siapa-siapa sekarang dan tidak mahu mencipta masalah dengan memberi kenyataan-kenyataan yang boleh membuatkan orang jadi lebih salah faham,” katanya.

Alif Satar Kongsi Kisah Seram Penggambaran 'Aliff Dalam 7 Dimensi'



Alif Satar
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Alif Satar berkongsi pengalaman seram apabila dia diikuti oleh makhluk halus semasa dalam perjalanan pulang dari lokasi penggambaran filem Aliff Dalam 7 Dimensi yang dilakukan di sebuah bangunan tinggal di Bangi, Selangor.
Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 26, berkata, dia yang menunggang motosikal terpisah dari rakan pelakon Izzue Islam yang ketika itu mengekorinya dari belakang.

"Saya tidak pernah cerita perkara ini kepada orang lain kerana saya tidak mahu ia menjejaskan penggambaran atau menimbulkan perasaan takut pada pelakon atau kru penggambaran.

"Selalunya setiap kali pulang saya akan konvoi dengan Izzue, dia naik kereta mengekori saya dari belakang kerana saya naik motor. Selepas itu ada simpang yang tiba-tiba membuatkan kami terpisah.

"Ketika melalui simpang itu agak sunyi dan menakutkan sehingga saya nampak ada yang mengekori saya sepanjang perjalanan itu ," ujarnya.
Barisan pelakon Aliff Dalam 7 Dimensi.
Alif ditemui pada sidang media filem Aliff Dalam 7 Dimensi yang diadakan di Pavilion, di sini, malam Isnin.

Tambah Alif, ia merupakan salah satu pengalaman menakutkan selain mengakui berasa seram dengan beberapa kawasan lokasi penggambaran.

"Tempat itu agak seram kerana bangunan tidak siap dan tinggal lama. Kami pula penggambaran pada waktu malam sampai ke pagi baru habis," ujarnya.

Selain Alif, beberapa perkara pelik turut dialami oleh kru penggambaran yang melihat beberapa lembaga berdiri berdekatan lampu dan terbang di atas khemah.

Pengambaran filem genre aksi seram mistik ini dijalankan di sekitar Lembah Klang selama 25 hari dan diarahkan oleh pengarah Faisal Ishak.

Filem Aliff Dalam 7 Dimensi ini turut dilakonkan oleh Izzue Islam yang membawa watak sebagai Aliff, Juliana Evans dan Kaka Azraff.

Filem ini mengisahkan seorang remaja bernama Aliff yang mempunyai kuasa untuk melihat dan berlawan dengan kuasa ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Aliff Dalam 7 Dimensi ini juga menggunakan sebayang 30 peratus kesan khas visual (CGI) dalam menghidupkan lagi adegan pertarungan yang membabitkan imej-imej seperti entiti saka.

Filem ini akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 8 September ini.

Ezam (EYE) Hilang 13 Tahun Kerana Sertai Tabligh



Wajah terbaharu Ezam daripada kumpulan EYE yang pernah popular pada tahun 1990-an.
PETALING JAYA: Penyanyi yang pernah popular bersama kumpulan EYE pada tahun 1990-an, Ezam menjelaskan kehilangannya selama 13 tahun daripada industri muzik adalah kerana ingin mendalami ilmu agama.
Ezam atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad, 47, berkata, sepanjang tempoh itu dia banyak menghabiskan masa mempelajari ilmu agama Islam di masjid-masjid selain menyertai kumpulan tabligh.

"Saya tinggalkan dunia seni pada tahun 1999 dan ketika itu saya nekad untuk menumpukan perhatian kepada mendalami ilmu agama.

"Bagaimanapun hidayah yang saya terima bukan serta merta tetapi sebaliknya empat tahun kemudian dan saya berasa sangat bersyukur diberi peluang untuk berubah ke arah lebih baik.

"Sejak itu juga saya banyak mendalami ilmu agama daripada ustaz di masjid selain menyertai kumpulan tabligh yang berdakwah dari rumah ke rumah bagi menyampaikan dakwah," katanya.
Ezam kembali aktif menyanyi sejak 2014.
Ezam ditemui pada majlis rakaman takbir raya bersempena Hari Raya Aidiladha bersama 60 lagi penyanyi lelaki di IDCC Shah Alam, baru-baru ini.

Penyanyi itu turut mengakui antara punca lain dia meninggalkan bidang nyanyian kerana berasa kecewa dengan industri muzik ketika itu.

Bagaimanapun dia enggan mengenang kisah tersebut kerana ia sudah lama berlalu.

Dalam pada itu, Ezam berkata, sepanjang tempoh itu juga, dia mula bergiat aktif dalam bidang perniagaan dan mengeluarkan produk minyak wanginya sendiri iaitu EYE Quality Perfume.

Meskipun pada awalnya dia pernah bergelut untuk memajukan perniagaan itu namun bersyukur ia kini sudah berkembang maju dan mempunyai rangkaian stokis termasuk di Singapura.

"Selepas ambil keputusan tinggalkan nyanyian saya akui ada beberapa masalah dan ujian yang terpaksa saya tempuhi.

"Namun Alhamdulillah Allah bukakan rezeki saya menerusi perniagaan dan ia kini semakin berkembang maju," kata bapa kepada tujuh cahaya mata ini.

Sementara itu, Ezam berkata, dia tidak pernah melupakan bidang nyanyian kerana menganggap ia sudah sebati dengan dirinya.

Malah dia tidak pernah melihat penghijrahannya sebagai satu halangan untuk kembali bergiat aktif asalkan ia tidak bercanggah dengan Islam.

"EYE tidak pernah bubar seperti sangkaan sesetengah pihak malah kesemua anggota asal kembali bergabung selain aktif mengadakan persembahan.

"Malah album terbaharu kami juga sudah siap dan hanya menunggu masa sesuai untuk dilancarkan," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ezam memberitahu, dia ada menerima pelawaan untuk menyertai musim terbaharu program Gegar Vaganza namun buat masa ini belum ada sebarang pengesahan daripada pihak produksi.

Jelasnya, jika dia terpilih ia adalah platfrom terbaik untuk memperkenalkan kembali namanya di kalangan peminat.

"Insya-Allah jika ada rezeki tetapi masih belum pasti diterima atau pun tidak kerana saya persaingan pada tahun ini hebat-hebat belaka.

"Pilih Barang Kemas Tiada Kaitan Dengan Datuk Red" - Ruhainies



Ruhainies tidak mahu dikaitkan dengan lelaki.
PETALING JAYA: Pelakon kontroversi Ruhainies menafikan dakwaan kononnya dia mempunyai rancangan untuk berumah tangga dengan ahli perniagaan yang digosipkan dengannya iaitu Datuk Seri Adnan Abu atau dikenali sebagai Datuk Red.
Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, berkata, dia memuat naik gambar di sebuah kedai emas jenama terkenal adalah memenuhi undangan bagi pihak tersebut sempena majlis sambutan Hari Kebangsaan.

"Gambar yang saya muat naik ketika di kedai Habib Jewels itu kerana saya diundang untuk majlis mereka baru-baru ini dan mereka minta untuk promosikan di laman sosial Instagram saya.
Gambar Ruhainies di kedai barang kemas yang menimbulkan tanda tanya peminat.
"Ia tiada kaitannya dengan Datuk Red atau siapa-siapa lelaki pun, bukan saya sahaja, malah ramai artis lain yang turut sertai majlis tersebut," ujarnya.

Ruhainies menjawab berita di ruangan laman gosip bahawa dia merancang untuk berkahwin dengan suami penyanyi Adira Suhaimi itu selepas memuat naik gambar di sebuah kedai barangan kemas terkenal pada Sabtu lalu.

Tambah pelakon Menantu TingTong  ini, dia tidak tahu mengapa gambar tersebut dikaitkan dengan ahli perniagaan itu berikutan dia sudah pun menjelaskan keadaan sebenar kontroversi yang mengaitkan lelaki berkenaan.

"Saya tidak tahu kenapa dikaitkan lagi dengan dia (Datuk Red), mereka buat cerita ni tak takut dosa ke?

"Semua sudah reda dan tiada yang komen negatif, saya tidak mahu lepas ni hangat balik cerita-cerita tidak betul seperti ini," ujarnya.
Datuk Red bersama isteri keduanya Adira Suhaimi.
Sementara itu, Ruhainies menambah, dia juga tidak mempunyai hubungan cinta dengan mana-mana lelaki termasuk pelakon gandingannya dalam Menantu TingTong iaitu Azrel Ismail.

Katanya, hubungannya dengan aktor tersebut sekadar rakan baik sahaja dan belum sampai tahap bercinta.

"Dia seorang yang baik dan saya selesa berkawan dengan dia, tapi belum sampai lagi tahap ada hubungan istimewa.
Ruhainies turut dikaitkan dengan pelakon Azrel Ismail.
"Semua hubungan dengan lelaki ada batasnya dan saya belum lagi bersedia untuk bercinta," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang kerjaya lakonanya selepas dihimpit pelbagai gosip buruk, Ruhianies berkata, dia bersyukur ia tidak memberi kesan negatif.

Bagaimanapun, dia akan tetap berhati-hati dalam setiap perkara yang ingin dilakukan agar tidak menimbulkan kontroversi sekali lagi.

"Berdebar Urus Persiapan Kahwin Berbanding Akad Nikah" - Saharul Ridzwan



Saharul Ridzwan dilantik sebagai duta saluran Tonton. FOTO dari Instagram Saharul Ridzwan.
MELAKA: Pelakon Saharul Ridzwan mengakui tidak mendapat tidur yang cukup apabila terlalu memikirkan mengenai persiapan perkahwinannya dengan Deen Emir Mohamed Akif Emir, 28 yang bakal berlangsung pada 16 September depan.
Saharul, 27, malah berkata, tekanan dalam memastikan majlis itu nanti berjalan lancar melebihi debaran bagi menghadapi majlis akad nikahnya dengan pengusaha butik pakaian muslimah itu.
"Ini bukan perkara main-main dan tidak keterlaluan untuk saya katakan, debarannya melebihi dari memikirkan untuk majlis akad nikah sehingga membuatkan saya tidak tidur lena.
"Bagiamanapun Alhamdulillah 90 peratus persiapan menjelang majlis itu nanti sudah siap," katanya.

Saharul ditemui di majlis pengumumannya sebagai Duta Tonton VIP bersama pelakon Mia Ahmad di Desa Balqis Beach Resort, Melaka, Sabtu lalu.
Saharul Ridzwan bakal berkahwin pada 16 September ini.
Pasangan itu bakal disatukan dalam sebuah majlis akad nikad di Masjid Tuanku Zainal Abidin Putrajaya pada pukul 9 pagi sebelum diraikan dalam majlis resepsi Dewan Sri Siantan Putrajaya.

Pelakon itu turut bercadang untuk mengadakan satu lagi majlis yang akan ditentukan kemudian lokasi dan tarikh untuk peminat dan media.
Dalam pada itu, Saharul menegaskan dia tidak akan meninggalkan bidang lakonan selepas bergelar suami kerana dunia seni sudah sebati dengan dirinya.
"Berhenti berlakon itu tidak namun saya mempunyai perancangan untuk lebih aktif dalam lapangan perniagaan selepas ini seperti mengusahakan perniagaan berkonsepkan pemakanan atau protein, namun semuanya itu masih dalam perancangan," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta Tonton VIP, Saharul menganggpa ia sebagai rezeki bakal pengantin baharu.

Menerusi pakej VIP  serendah RM3 itu, penonton ditawarkan program siaran langsung, saluran premium dan arkib video tonton melebihi 23,000 jam tanpa henti tanpa sebarang iklan.

Pelan VIP ini bermula dari RM3 (sehari), RM5 (seminggu), RM10 (sebulan) dan RM96 (setahun).

Dalam perkembangan lain, Saharul  bakal tampil dengan sebuah telefilem merdeka berjudul Kapchai Ayah (TV3) selain sedang menjalani penggambaran dua buah drama bawah produksi  JS Pictures Sdn. Bhd iaitu Jalan Balik Surau dan Kehebatan Ilahi.
Saharul dan bakal isterinya Deena Emir.
Katanya, menerusi dua telefilem itu, dia sekali lagi dicabar pelakon Sheila Rusly untuk memegang dua peranan yang berat berbanding watak yang pernah dilakonkannya sebelum ini.
"Ini bukan kali pertama saya menyahut cabaran beliau namun bezanya watak kali ini lebih berat dan perkara ini sebenarnya membuatkan saya teruja untuk membuktikan kemampuan saya," katanya.

Zamani Tepis Dakwaan Hasrat Kahwin Dapat Tentangan Keluarga



Zamani enggan belakangi keluarga verita soal kahwin.
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Slam iaitu Zamani menolak dakwaan kononnya hubungan cinta dengan seorang wanita yang ingin dikahwininya mendapat tentangan keluarga.
Bagaimanapun Zamani, 44, mengakui, masalah jadual seni yang padat membuatkan dia dan wanita itu belum membuat sebarang perbincangan secara serius bersama ahli keluarga untuk meneruskan niat berumah tangga.

"Buat masa ini saya betul-betul sibuk, tapi ia bukan bermakna saya tolak tepi soal kahwin.
Zamani akan beritahu tentang perkahwinanya lepas capai keputusan keluarga.
"Cuma, buat masa ini tiada apa-apa perbincangan serius daripada kedua-dua belah pihak antara keluarga saya dan dia," ujarnya.
Zamani ditanya tentang perkembangannya untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita yang masih dirahsiakan identitinya.
Tambah penyanyi laguGerimis Mengundang ini, dia enggan memberi ulasan yang boleh dianggap membelakangi keluarganya selagi tiada keputusan rasmi daripada kedua-dua pihak keluarga.

"Saya bukan tak mahu jawab tentang hal kahwin, ia melibatkan keluarga dan saya tidak mahu kenyataan saya akan membelakangi keluarga.

"Kalau boleh saya mahu jaga hati kedua-dua belah pihak, saya tidak berani nak cakap," ujarnya.

Tambahnya, dia akan membuka mulut tentang hal berkaitan perkahwinannya selepas ada keputusan yang telah dicapai.

Pada Jun lalu, Zamani pernah mengeluarkan kenyataan untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita yang telah lama dikenalinya.

Jamilul Hayat Pernah Disangka Sudah Meninggal Dunia



Jamilul Hayat rancang kembali aktif.
PETALING JAYA: Penyanyi era 80-an, Jamilul Hayat berharap kemunculan semula dia dalam insdustri seni tanah air dapat menepis tanggapan segelintir pihak bahawa dia sudah meninggal dunia.
Jamilul Hayat atau nama sebenarnya Hayat Abdillah Mohd Ali, 55, berkata, dia menghilangkan diri hampir 20 tahun selepas terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya.

"Saya terlibat dalam kemalangan jalan pada tahun 1995 dan dua minggu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital.

"Selepas itu saya menghilangkan diri daripada industri seni.

"Ramai peminat yang tertanya-tanya tentang keadaan saya sehingga keluar berita-berita tidak sepatutnya di internet bahawa saya sudah meninggal dunia, tapi saya tiada cara untuk menerangkan kepada mereka," ujarnya.

Jamilul Hayat bakal terlibat dalam konsert Tiga Suara bersama abangnya Datuk Jamal Abdillah, Ameng Spring dan Zamani Slam pada 22 hingga 25 September depan di Istana Budaya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Mawar Putih Tanda Perpisahan itu, berkata, dia bersyukur menerima peluang menyanyi di pentas berskala besar bersama-sama tiga penyanyi popular tanah air.
Menerusi konsert Tiga Suara, Zamani bakal bergandingan dengan Ameng, Jamal Abdillah dan Jamilul Hayat.
Katanya, ia merupakan salah satu cara untuk dia kembali berkecimpung dalam industri hiburan tanah air.

"Sudah lama saya rancang untuk kembali semua tapi tiada peluang dan sekarang adalah satu peluang yang saya tunggu-tunggu.

"Lagi pula nyanyian sudah sebati dalam diri saya dan tidak pernah berkubur biarpun saya sudah lama tidak aktif," ujarnya.

Dalam pada itu, keluarga terutama anak-anaknya antara yang memberi galakan untuk dia kembali menyanyi.

Katanya, enam anaknya mengetahui tentang kerjaya nyanyiannya empat tahun lalu menerusi internet.

"Anak-anak suka sangat kalau saya kembali menyanyi. Mereka dapat tahu saya seorang penyanyi sejak empat tahun lalu.

"Saya tidak pernah beritahu, mereka sendiri tahu selepas membacanya di internet," ujarnya.

Bercerita tentang konsert Tiga Suara, Hayat berkata, dia akan membuat persiapan dari segi stamina untuk menyanyi empat buah lagu pada malam persembahan berkenaan.

"Insya-Allah, saya akan mula berlatih dan saya yakin masih boleh membawa sepuluh lagu dalam masa satu malam itu," ujarnya.

Miley Cyrus & Liam Hemsworth Dilaporkan Berkahwin Secara Rahsia




Miley dan Liam dilaporkan sudah berkahwin secara rahsia.
PENYANYI Miley Cyrus dilaporkan sudah berkahwin dengan teman lelakinya, Liam Hemsworth secara rahsia baru-baru ini.

Aceshowbiz melaporkan penyanyi itu dilihat memakai cincin perkahwinan di jari manis tangan kirinya ketika keluar makan malam bersama Liam di Malibu.
Pasangan itu dilihat berpegangan tangan dan ceria walaupun kehadiran mereka dikerumuni oleh paparazi yang mengejar mereka.

Malah Miley turut membatalkan kehadirannya pada Anugerah MTV yang berlangsung pada malam Ahad lalu dipercayai ingin mengelak daripada ditanya mengenai berita perkahwinan tersebut.

Bagaimanapun pasangan itu enggan mengulas mengenai dakwaan terbaharu itu.

Marcell Beri Kebebasan Anak Pilih Agama




Marcell dan Rima Melati bersama tiga cahaya mata.
PENYANYI Indonesia, Marcell Siahaan memberi kebebasan kepada anak-anaknya untuk menganuti agama yang mereka yakini.
Marcell, 38, berkata, dia tidak memaksa untuk anak-anaknya mengikuti agama yang dianuti oleh dia dan isterinya Rima Melati Adams.

Katanya, dia mahu anak-anaknya belajar sendiri tentang sesebuah agama berikutan ia adalah hak setiap individu.

"Kalau soal agama, biarkan sahaja mereka pilih sendiri. Kalau memaksa takut dia tidak mengerti apa yang dipilihkan untuknya.

"Malah, dia beragama atau tidak itu hak mereka, saya tidak mahu meracuni pemikiran mereka," ujarnya.

Marcell kini mempunyai tiga cahaya mata daripada dua perkahwinan.

Penyanyi lagu Semusim ini dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Kristian, kemudian dia menganuti agama Buddha.

Namun, Marcell kini menukar agama kepada seorang muslim selepas berkahwin dengan Rima.

Red Velvet Tukar Warna Rambut Untuk Album Baharu




Red Velvet
KUMPULAN Red Velvet terpaksa berjalan dengan menutup kepala bagi merahsiakan penampilan baharu mereka sehingga kemunculan album terbaharu dalam masa terdekat.
Baru-baru ini, tersebar beberapa foto ahli kumpulan itu yang menggunakan hoodie dan topi bagi mengelakkan penampilan mereka dikesan peminat.

Menurut sumber, ahli kumpulan iaitu Wendy mengubah warna rambut kepada warna kelabu, Joy pula warna perang, Seulgi menukar warna coklat muda, manakala Yeri berwarna merah.
Red Velvet rahsiakan penampilan baru mereka.
Selepas foto-foto beredar, peminat mula tidak sabar untuk menunggu kemunculan mereka dan meminta agensi mengeluar sebaran kenyataan atau poster terbaharu Red Velvet.

"Tidak sabar untuk melihat penampilan baharu mereka, agensi mohon percepatkan pelancaran album baharu," ujar netizen.

'Doctors' Tamat, Park Shin Hye Berat Hati Ucap Selamat Tinggal




PELAKON utama drama Doctors Park Shin Hye berat hati untuk mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya selepas siri drama popular tersebut sudah berakhir Selasa lalu.
Menerusi agensinya, Shin Hye memuat naik beberapa foto dalam drama tersebut dengan memperlihatkan pelbagai ekspresi seperti serius, sedih dan tersenyum.

Aktor tersebut turut menulis kapsyen bahawa dia berat hati meninggalkan peminat-peminatnya yang menggemari siri drama tersebut.

"Empat bulan sangat berharga bagi saya, saya berterima kasih dan sangat bahagia.

"Saya ingin berkata jujur bahawa sangat berat untuk mengucapkan selamat tinggal," ujarnya.

Bagaimanapun, Shin Hye harus berasa bangga kerana episod akhir drama itu berjaya meraih rating tinggi sejak ditayangkan sepanjang empat bulan lalu.

8,000 pengunjung hadir ke PJ Fair 2016



8,000 pengunjung hadir ke PJ Fair 2016
MERIAH! Hanya itu ungkapan sesuai untuk menggambarkan kemeriahan Festival Petaling Jaya (PJ Fair 2016) yang berlangsung kelmarin.
PJ Fair 2016 diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-10 Petaling Jaya sebagai Bandar Raya.
Sepertimana penganjuran sebelum ini, Pusat Bandar Seksyen 52 sekali lagi menjadi lokasi tetap festival selaras dengan hasrat  Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menceriakan Pusat Bandar ini melalui pelbagai program dan aktiviti sosial  dan seterusnya menyokong pelaksanaan Projek 'PJ Liveable City @ Seksyen 52.
Diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu, PJ Fair 2016 turut menggamit pengunjung dengan konsert yang menggabungkan barisan artis popular tanah air.
Antara artis-artis tempatan yang menjayakan festival 'The Colors of PJ' adalah seperti Amy Search, Zamani Slam, Altimet, Amir Jahari, Hunny Madu, Eto Blues Gang, De Fam, Adeline Tsen dan Mr.5k.
Kira-kira 8,000 pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menonton persembahan istimewa ini.
Sudah pasti kemunculan dua bintang ternama Zamani Slam dan bintang rock tempatan, Amy Search antara yang ditunggu-tunggu peminat setia mereka.
Dengan rangkaian lagu-lagu Amy Search seperti Isabella, Rozana, Aku Dah Bosan dan Kerja Gila, Amy ternyata menghiburkan pengunjung yang hadir.
Begitu juga Zamani yang mendendangkan lagu-lagu seperti Kembali Merindu, Kembali Terjalin, Nurkasih dan Gerimis Mengundang.
Ternyata aura kedua-dua penyanyi ini menghangatkan suasana malam konsert tersebut.
Sementara itu Datuk Bandar Petaling Jaya, Tuan Mohd Azizi Mohd Zin melahirkan rasa syukur kerana PJ Fair 2016 berlangsung dengan dengan jayanya, ditambah tahun ini ia mencipta kelainan tersendiri.
"Kami warga MBPJ menyahut seruan kerajaan Negeri untuk menjadikan Bandar Petaling Jaya ini sebagai kota seni bagi melahirkan masyarakat sentiasa hidup dengan interaksi sihat melalui aktiviti seni, kebudayaan dan intelektual.
"MBPJ akan terus komited memberikan yang terbaik untuk festival seperti ini dan menambah baik pengisian program akan datang agar sentiasa segar dan mengikut ‘trend’ semasa keinginan masyarakat setempat mahupun rakyat Malaysia," katanya.
Tidak hanya itu, PJ Fair 2016 mencatat kejayaan tersendiri apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records apabila gambar wefie beramai-ramai berjaya dirakam.
Dengan rekod bilangan teramai iaitu 1,502 pengunjung, lebih manis gambar wefie yang dirakam telah dipegang sendiri oleh Tuan Mohd Azizi bersama para pengunjung di sana.
Acara kemuncak Malam PJ FAIR 2016 di rasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Antara aktiviti lain sepanjang festival PJ Fair 2016 ini berlangsung  adalah seperti persembahan .busking, persembahan kebudayaan, Pertandingan Peragaan fesyen kanak-kanak, Flea market, Food truck, Perarakan Mini, booth jualan baju dan pakaian sukan, pameran makanan antarabangsa yang dibawa khas dari negara  Hungary, Indonesia, Sudan, Kazakhstan, dan Bangladesh.
Selain itu, turut diadakan sesi ceramah bersama Ustaz Azhar Idrus yang dihoskan pelawak Ajak Shiro.

Lelaki paling tua di dunia 'mahu mati'



Lelaki paling tua di dunia 'mahu mati'
Dokumen pengenalan diri Mbah Gotho (gambar kecil)
JAWA TENGAH - INDONESIA. Seorang lelaki yang mendakwa dirinya 'lelaki paling tua di dunia' sudah tidak mahukan apa-apa lagi selain daripada bersedia untuk mati.
Menurut dokumen dari kerajaan Indonesia, Mbah Gotho dilahirkan pada 31 Disember 1870 dan kini sudah berusia 145 tahun.
Laporan Liputan 6 mengatakan ramai anak Mbah Gotho sudah meninggal dunia sebelum dirinya.
"Apa yang saya mahu cuma kematian. Cucu-cucu saya semuanya sudah besar," kata Mbah Gotho kepada Liputan 6.
Salah seorang cucu Mbah Gotho, Suryanto sudah membuat persiapan untuk kematian Mbah Gotho ketika usianya 122 tahun, namun umur Mbah Gotho masih panjang.
"Batu nesan tersebut dibuat pada 1992. (Ini bermakna) sudah 24 tahun berlalu," kata Mbah Gotho.
Walaupun kakitangan di jabatan rekod Indonesia mengesahkan tarikh lahir dan umur Mbah Gotho, beliau masih belum diklasifikasikan sebagai 'lelaki paling tua di dunia'.
Badan bebas perlu mengesah kesahihan rekod Mbah Gotho sebelum beliau boleh digelar 'paling tua di dunia'.

Tuesday, August 30, 2016

Along Cham cerai Zila talak satu



Along Cham cerai Zila talak satu
SUBANG - Pelakon dan pelawak, Along Cham sah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Zila Seeron, sebentar tadi.
Talak itu dilafazkan tepat jam 10.40 pagi selepas Hakim Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Abd Halim Abu Samah membenarkan permohonan yang difailkan oleh Along.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, 33, bernikah dengan penyanyi itu pada 23 Januari 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ahmad Danial, 5.
Along selaku plaintif memfailkan permohonan cerai itu terhadap zila atau nama sebenarnya Nur Azilah Seeron, 27, pada pagi ini mengikut Seksyen 47 Enekman Undang- Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Selain cerai, Along turut memfailkan nusyuz terhadap zila pada 12 Mei lalu.
Along itu diwakili peguam, Roshdan Sujak Rafie manakala Zila diwakili  Nurul Aini Yusuff.

HotFM@LRT terus dekati masyarakat



HotFM@LRT terus dekati masyarakat
BEBERAPA stesen sistem transit aliran ringan (LRT) terpilih tidak lagi dalam keadaan 'senyap dan sunyi' selepas HotFM@LRT dilancarkan mulai 1 September ini.
HotFM@LRT merupakan inisiatif terbaharu yang diperkenalkan Rapid KL, Big Tree Outdoor Sdn Bhd (Big Tree) dan HotFM.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata, HotFM@LRT menampilkan pengisian muzik serta informasi di stesen LRT yang terpilih demi memenuhi halwa telinga pengguna LRT.
"Idea ini merupakan hasil daripada perbincangan bersama yang bertujuan untuk menambahkan ‘keceriaan’ pengguna LRT sendiri.
"Kerjasama seumpama ini adalah satu usaha yang baik dalam memberikan pengguna LRT satu pengalaman baharu," katanya kepada Zass selepas merasmikan HotFM@LRT, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (Pride), Datuk Mohd Zahir Zahur Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Big Tree, Jeff Cheah.
Bagaimanapun, katanya, HotFM@LRT hanya terdapat di lima stesen terpilih iaitu KLCC, KL Sentral, Masjid Jamek, Wangsa Maju dan Bank Rakyat Bangsar.
"Kita dapati stesen-stesen ini menjadi pilihan pengguna LRT yang paling tinggi. Jadi, kita bermula dengan lima stesen ini dahulu.
"Namun, jika kita menerima maklum balas yang positif, kita tiada masalah untuk ‘meneruskan’ di stesen yang lain pula.
"Mungkin kita akan membuat kaji selidik selepas enam bulan beroperasi bagi tujuan penambahbaikan," katanya.
Tampil berbeza
Bagi mencipta kelainan, kata Seelan, pengisian serta hiburan yang disajikan menerusi HotFM@LRT adalah berbeza daripada frekuensi radio tersebut.
"Perbezaan paling ketara adalah apabila pendengar tidak akan mendengar suara celoteh penyampai radio.
"Pengguna LRT sebaliknya hanya dihiburkan dengan pelbagai sajian lagu terpilih seawal dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.
"Kita juga akan menyelitkan pesanan keselamatan daripada LRT yang dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad,” katanya.
Menurutnya lagi, pengguna LRT dihiburkan dengan sajian lagu pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Korea dan Hindi.
"Buat masa ini, kita akan lebihkan lagu. Berdasarkan data yang diperoleh, kita mendapati 65 peratus pengguna LRT adalah Melayu, selebihnya berbangsa lain.
"Pemilihan genre muzik ini dilakukan atas pemerhatian tren dan demografi pengguna LRT semasa yang menjangkau 500,000 penumpang harian.
"Namun, dari masa ke masa, kita akan jalankan proses penambahbaikan terhadap pengisian ini," katanya.
Beri lebih nilai
Tambah Seelan lagi, inisiatif ini juga membuka ruang dan peluang kepada pengiklan.
"Memandangkan pengguna LRT adalah tinggi dan masa tertakluk kepada waktu menunggu tren, usaha ini juga berhubung secara langsung dalam mempromosi produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.
"Inisiatif ini dijangka mampu mencapai sasaran pasaran yang merangkumi latar belakang sosial yang pelbagai," katanya.
Dalam pada itu, teruja dengan hasil pengenalan HotFM@LRT, Seelan turut menyifatkan kerjasama yang terjalin sebagai sesuatu yang menarik.
Bahkan, adalah menjadi harapannya agar perkhidmatan seumpama ini dapat memberi lebih ‘nilai’ kepada pengguna LRT.
"Kita menghargai kolaborasi ini dan pada masa sama, inilah masanya untuk HotFM berkembang sebagai medium perantaraan yang menyalurkan pengisian serta muzik terbaik kepada pengguna.
"Kita juga seronok apabila perkhidmatan ini akan menjadikan perjalanan pengguna LRT lebih senang dan terhibur serta berinformasi," katanya.

Terjemahan 'Wan Suraya': Nabila Huda sahut cabaran



Terjemahan 'Wan Suraya': Nabila Huda sahut cabaran
WAN Suraya, wartawan yang ditugaskan menyiasat kes pembunuhan secara tidak sengaja telah bertemu Ejim @ Tombiruo.
Ejim yang tidak pernah bertemu wanita sepanjang hidupnya merasakan Wan Suraya seorang wanita yang cantik.
Begitulah antara terjemahan watak Wan Suraya di dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi daripada novelis terkenal, Ramlee Awang Murshid.
Menerusi filem ini, Nabila yang mesra disapa dengan panggilan Abil bukan sahaja perlu berlakon di dalam hutan, bahkan perlu mempelajari cara dan penyampaian seorang wartawan TV.
"Sejujurnya saya tidak pernah membaca novel tersebut kerana saya bukan seorang yang boleh menghabiskan masa membaca novel, sebab saya ada perangai yang suka baca muka surat akhir.
"Jadi untuk filem ini, saya baca skrip, dapatkan terjemahan dari Ramlee sendiri dan juga bimbingan dari pengarah, Nasir Jani.
"Lagi pula, Wan Suraya ini digambarkan dari bandar dan dia lebih moden.
"Saya tidak ambil rujukan dari mana-mana, cuma saya ingat cara rakan-rakan wartawan ketika bekerja.
"Di dalam filem ini, saya menjadi wartawan TV, iaitu Sinar TV dan lebih banyak bergerak dengan kamera yang saya rakamkan sendiri," ujarnya.
Tambah Nabila, di dalam filem ini, dia digambarkan sebagai seorang wartawan yang pentingkan kedudukan dan kejar berita yang eksklusif untuk menaikkan nama.
"Bagaimanapun segalanya berubah selepas bertemu Ejim dan dia cuba untuk menjadi seorang wartawan yang menegakkan keadilan," katanya.
Ditanya apa yang membuatkan dia menerima tawaran berlakon di dalam filem ini, ibu kepada Keisha Laila ini berkata, kelainan watak dan jalan cerita yang menarik, telah menariknya ke dalam filem ini.
"29 tahun dahulu, papa (Amy Search) telah bekerja dengan Nasir Jani dan kini anaknya pula. Ia menjadi salah satu faktor saya menerima juga.
"Selain itu, jalan cerita yang menarik serta kelainan watak yang diberikan membuatkan saya tertarik untuk terlibat di dalam naskhah ini.
"Saya juga rasa teruja dan dalam masa saya, filem ini memberi cabaran yang tersendiri buat saya kerana penggambaran banyak dijalankan di dalam hutan dan saya perlu banyak berlari," katanya.
Nabila berkata, filem ini juga tampil dengan sebuah cerita yang mempunyai mesej mendalam untuk difahami bersama.
"Tapi apa pun saya rasa sangat menarik dan lain daripada lain, saya tak sabar menunggu hasilnya nanti," ujarnya.
Tak mengharap
Sementara itu, ditanya harapannya selepas tercalon di dalam Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) menerusi kategori Pelakon Filem Wanita Terbaik, Nabila berkata, setiap kali tercalon, dia tidak meletakkan harapan besar.
"Saya memang jarang berlakon filem, sebelum ini saya pernah dicalonkan dalam kategori sama pada FFM22 menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.
"Pada waktu itu juga saya tidak mengharap dan begitu juga kali ini. Bagi saya kalau menang ia ibarat satu bonus.
"Lagi pula yang tercalon sama semuanya hebat-hebat dan ada peluang untuk menang," katanya.
Tambah Nabila, dia amat berterima kasih kepada Syamsul kerana sekali lagi membawa namanya ke pencalonan FFM.
"Saya berikan sepenuh jiwa dan raga saya untuk karakter Maria di dalam filem Munafik dan saya rasa pengorbanan saya itu berbaloi," akhirinya.

Mural Rajinikanth tarik pelanggan



Mural Rajinikanth tarik pelanggan
Sambil menikmati sarapan roti bakar arang, pelanggan boleh mengambil gambar secara percuma dengan mural lukisan Rajinikanth.

GEORGETOWN - Wajah bintang dan pelakon popular India, Rajinikanth kini diabadikan pada dinding sebuah kedai roti bakar popular di Jalan Transfer, di sini.
Mural bintang filem Kabali itu dilukis oleh pelukis komik terkenal, Azmi Hussin yang sebelum ini terkenal dengan komik Little Mamak.
Pemilik Kedai Roti Bakar Naina, Naina Mohamed, 38 berkata, mural yang dilukis di kedainya itu sebagai penarik perhatian pelanggan.
“Siapa tak kenal dengan pelakon tersohor India, Rajinikanth, semua orang kenal, jadi kami sengaja lukis mural beliau di sini sama seperti warga Pulau Pinang sedang menikmati sarapan pagi berserta roti bakar dan juga telur.
“Ini juga untuk menceriakan kedai selain membuatkan pelanggan lebih gembira,” katanya.
Sementara itu Azmi, 32 berkata, dia mencari ilham untuk lukisan mural itu apabila melihat wajah pelakon utama Kabali itu berada di mana sahaja.
“Orang ramai menggilai filem ini. Di Internet, saya lihat kereta turut dihiasi dengan wajah pelakon Kabali dan pesawat Air Asia juga dicat dengan iklan Kabali.
“Jadi saya fikir apa salahnya meletakkan wajah dia menjadi mural,” katanya yang juga salah seorang peminat Rajinikanth.
Kedai Roti Bakar Naina itu dikunjungi pelanggan bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari dan uniknya kedai ini menghidangkan roti bakar menggunakan arang.
Naina berkata, dia sudah menjalankan perniagaan berkenaan sejak 16 tahun dahulu.
Menurutnya, penduduk di negeri ini sememangnya menggemari roti Benggali untuk dijadikan sarapan tidak kira di cicah ataupun dibakar.
“Tetapi kami menggunakan cara istimewa iaitu membakar roti yang disapu planta menggunakan arang dan jarang dibuat oleh peniaga lain.
“Roti ini juga boleh dihidangkan dalam pelbagai cara termasuk meletakkan telur separuh masak di atasnya ataupun di cicah dengan susu, itulah cara pelanggan kami suka,” katanya.
Lokasi gerai yang terletak hanya kira-kira 300 meter dari Pasar Chowrasta mencecah lebih daripada 300 pelanggan sehari dan terdiri daripada pelbagai bangsa.
“Boleh dikatakan orang luar juga menjadikan gerai saya sebagai lokasi utama mereka untuk makan.
“Selain murah dan berpatutan, ia lain daripada yang lain,”  katanya
.

Satu kilometer kejar pencuri



Satu kilometer kejar pencuri
Motosikal yang disasar empat sekawan terbabit. Pencuri yang berjaya ditangkap.
REMBAU - Empat sekawan tidak sempat mencuri motosikal apabila niat mereka disedari penghuni rumah dalam kejadian di Kampung Baruh, Chengkau, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.15 pagi itu, penghuni rumah mengejar empat sekawan berkenaan sejauh kira-kira satu kilometer menggunakan kereta dan berjaya menangkap seorang daripada mereka.
Menurut penghuni, Azlye Azwan Rosie, 30, ketika kejadian, dia bersama empat ahli keluarganya masih belum tidur kerana mereka sekeluarga menonton televisyen bersama-sama.
“Tiba-tiba kami dengar bunyi motor dan tiba-tiba enjin motor dimatikan.  Kami intai dari dalam rumah dan nampak empat lelaki menghampiri rumah serta kawasan tempat motosikal kaNOR AINNA HAMZAHmi di parkir kereta.
“Kami terus suluh dengan lampu dan mereka cuba melarikan motosikal di rumah kami. Tanpa lengahkan masa, kami kejar dengan menaiki kereta dan berjaya menangkap seorang daripada mereka berhampiran pekan Chengkau.
“Kami terus hantar pencuri berkenaan ke Balai Polis Kota," katanya kepada di sini, semalam.
Azlye berkata, tiga lari rakan pencuri bagaimanapun berjaya melarikan diri, seorang daripadanya lari ke dalam semak kawasan kelapa sawit, manakala dua lagi tidak dapat dikesan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif mengesahkan kejadian.
Beliau berkata, lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Perlukan dana bagi pembedahan jantung berlubang anak



Perlukan dana bagi pembedahan jantung berlubang anak
Norlida menunjukkan bibir Qarl Muhammad yang sudah kebiruan sambil diperhatikan suaminya, Abdul Hafiz di kediamanya di Indera Mahkota di sini.
KUANTAN - Sepasang suami isteri memerlukan sekurang-kurangnya RM120,000 bagi membiayai pembedahan anak lelakinya berusia setahun dua bulan yang menghidap jantung berlubang di Institut Jantung Negara (IJN) dalam tempoh segera.
Norlida Othman, 34, berkata, dia hanya mempunyai tempoh kurang daripada tiga minggu untuk pembedahan  segera bagi menampal lubang sebesar duit 20 sen pada jantung kiri dan kanan anaknya, Qarl Muhammad Ziqri Abdul Hafiz dan pemasangan stent (belon) juga diperlukan untuk merawat saluran pernafasan tersumbat.
Menurutnya, doktor yang merawat anaknya itu menjelaskan, anaknya itu perlu segera menjalani pembedahan tersebut kerana keadaannya semakin serius dan tanda  kebiruan pada mulut, tangan dan kaki juga sudah kelihatan.
"Saya risau duit masih tak cukup. Sekarang duit yang ada sekitar RM1,000 hingga RM2,000. Doktor cakap pembedahan ini dah tak boleh tangguh lagi.
"Ada duit ke tak ada, pembedahan tetap akan dilakukan. Buat masa sekarang ini saya tunggu panggilan dari IJN bagi dapatkan tarikh dan dijangka pembedahan ini  akan dibuat sebelum tiba Hari Raya Haji," katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota di sini, hari ini.
Norlida menjelaskan, masalah jantung yang dialami Qarl Muhammad mula dikesan ketika dia berusia 42 hari.
Ujarnya, pada ketika itu, kelihatan biru pada tangan, kaki dan mulut Qarl Muhammad selain mengalami batuk teruk.
"Bila tengok tanda itu, saya bawak anak ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan pihak hospital mengesahkan anak saya mengalami masalah jantung berlubang serta terus dihantar ke IJN untuk pemeriksaan lanjut.
"Bila ke IJN Qarl Muhammad  terpaksa menjalani pembedahan pada bulan awal Oktober 2015 bagi membuka saluran pernafasan, manakala pembedahan kedua dilakukan pada 2 Ogos lalu bagisebelum memasang stent dilakukan dalam masa terdekat.
"Untuk dua-dua pembedahan tersebut saya telah membelanjakan hampir RM40,000 demi memastikan anak saya kembali sihat," katanya.
Ujarnya, meskipun wang masih belum mencukupi, dia terpaksa meneruskan pembedahan tersebut demi memastikan anak ketiganya itu tidak terus menderita sakit.
Norlida hanya bekerja sebagai pembantu ditadbir di pejabat Tanah di daerah ini mempunyai pendapatan bersih sekitar RM900 manakala suami, Abdul Hafiz Mohd Asri, 24, bekerja sebagai buruh dan mempunyai pendapatan sekitar RM850 sebulan tidak mampu mengumpul wang sebanyak itu.
Katanya, selain Qarl Muhammad Ziqri, mereka juga turut menanggung  dua lagi anaknya Muhammad Idham Shahril Hakim, 15, dan Nurul Emilia Natasha Shahril Hakim, 13, yang masih bersekolah.
"Banyak komitmen yang kami berdua terpaksa pikul. Kos bagi perbelanjaan Qarl Muhammad  mencecah RM1,000 sebulan termasuk susu formula khas.
"Selain itu kos ubatan-ubatan dan kos ulang alik ke IJN tiga bulan sekali turut menelan belanja lebih RM700 setiap kali pergi ke Kuala Lumpur. Saya pasrah dengan ujian ini," katanya.
Dalam pada itu, Nolida memberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) ada menyalurkan bantuan bulanan RM300 bagi membantu anaknya itu.
Orang ramai yang boleh menyalurkan bantuan menerusi  akuan Bank Rakyat milik Norlida, 221131136782 atau akuan Maybank 156012393383 atas nama Abdul Hafiz.

Warga sekolah hasilkan Jalur Gemilang 60 meter



Warga sekolah hasilkan Jalur Gemilang 60 meter
Jalur Gemilang sepanjang 60 meter siap dihasilkan dan bakal digantung di bangunan sekolah.
KUALA TERENGGANU – Jalur Gemilang sepanjang 60 meter berjaya disiapkan dalam tempoh hampir lima jam, hasil kerjasama daripada 40 kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, termasuk 25 orang pelajarnya.
Jalur Gemilang yang dihasilkan di atas kain putih sepanjang 60 meter itu adalah sumbangan sebuah institusi perbankan Islam, Koperasi Co-Opbank Persatuan Malaysia Berhad cawangan Terengganu dalam usaha memupuk semangat cintakan negara Malaysia dalam kalangan pelajar.
Ketua Pemasaran dan Pembiayaan Koperasinya, Ahmad Ikram Zakaria berkata, mereka memulakan aktiviti berkenaan sejak 9.30 pagi dan berakhir jam 2 petang tanpa rasa penat, sebaliknya teruja untuk melihat hasilnya.
Menurut Ahmad Ikram, program bersama komuniti yang dilakukan di sekolah itu adalah langkah permulaan bagi memperkenalkan institusi perbankan yang baharu bertapak di Terengganu pada Januari lalu kepada masyarakat.
Ahmad Ikram berkata, setakat ini hampir 1,000 pelanggan telah berurusan dengan institusi berkenaan termasuk dalam perkhidmatan pinjaman peribadi, pelaburan dan Ar Rahnu.
Sementara itu, Pengetua SMK Sultan Ahmad, Salim Ab Ghani berkata, pihak sekolah menyambut baik usaha koperasi itu untuk menjadi rakan kongsi di dalam acara Pelancaran Kempen Jalur Gemilang peringkat sekolah.

300 rusa mati serentak dipanah petir



300 rusa mati serentak dipanah petir
Bangkai rusa bergelimpangan di Hardangervidda, Norway selepas dipanah petir
OSLO - NORWAY. Lebih 300 ekor rusa ditemui mati bergelimpangan di kawasan pergunungan Hardangervidda, Jumaat lepas.
Menurut laporan Dailymail, kejadian dipercayai berlaku ketika ribut petir melanda kawasan tersebut.
Lima ekor rusa pula ditemui masih hidup tetapi cedera parah dan terpaksa dikorbankan.
Jurucakap agensi hidupan liar dan alam persekitaran Norway, Kjartan Knutsen berkata kematian haiwan akibat dipanah petir adalah sesuatu yang biasa.
"Tetapi kejadian Jumaat lepas merupakan sesuatu yang mengejutkan kerana melibatkan jumlah yang sangat besar," kata Kjartan.
Kumpulan rusa tersebut dipercayai antara kumpulan haiwan yang bermigrasi merentasi kawasan pergunungan Hardangervidda akibat perubahan musim.
Pada tahun 2005, 68 ekor lembu terbunuh di sebuah ladang ternakan tenusu di Australia akibat dipanah petir.

Wanita Islam dihalau dari sebuah restoran mewah



Wanita Islam dihalau dari sebuah restoran mewah
Seorang wanita dihalau keluar dari sebuah restoran mewah di Perancis.
PERANCIS - Sebuah restoran mewah Perancis dianggap sebagai Islamophobia selepas didakwa enggan untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan Islam dengan alasan semua penganut agama itu sebagai pengganas.
Menerusi rakaman video yang disebarkan secara meluas di Perancis, dua orang wanita Islam dilihat tidak menerima layanan daripada sebuah restoran dikenali sebagai Le Cenacle yang terletak berhampiran Tremblay - en - France.
Difahamkan, seorang lelaki yang merupakan chef di restoran terbabit enggan memberi layanan dan mendakwa bahawa semua umat Islam merupakan pengganas dan dia berhak untuk memberi pendapat memandangkan Perancis merupakan sebuah negara sekular.
Wanita terbabit ternyata terkejut dengan dakwaan chef itu dan menjelaskan bahawa mereka tidak mahu menerima layanan daripada seorang yang rasis.
Chef tersebut kemudiannya mengarahkan dua wanita terbabit untuk meninggalkan restoran tersebut.
Wanita itu kemudiannya meninggalkan restoran terbabit selepas menerima layanan buruk daripada chef berkenaan.
Bagaimanapun, Le Parisien melaporkan bahawa chef terbabit telah disiasat oleh polis berikutan daripada tindakan diskriminasi kaum yang ditunjukkan olehnya ke atas dua wanita itu.
“Saya terlepas cakap dan saya minta maaf. Sahabat saya meninggal dalam serangan di Bataclan dan saya benar-benar tidak percaya apa yang saya katakan sebelum ini kepada mereka.
“Kenyataan saya tidak mencerminkan apa yang saya fikir,”kata chef terbabit kepada media tempatan.
Masyarakat Islam tempatan di sana turut berkumpul di luar restoran tersebut pada hujung minggu lalu bagi menuntut permohonan maaf di atas insiden yang berlaku tersebut.
Selain itu, Jawatankuasa Menentang Islamophobia di Perancis (CCIF) turut mengeluarkan kenyataan bagi menyokong kedua-dua wanita berkenaan dan berjanji untuk memberi sokongan undang-undang kepada mereka.
Ketegangan di Perancis semakin meningkat sejak beberapa minggu ini selepas larangan memakai burkini dikenakan ke atas umat Islam di sana.
Beberapa bandar di Perancis telah mengharamkan pemakaian burkini di kawasan pantai khususnya melibatkan wanita Islam.

Remaja 18 tahun cipta rekod keliling dunia secara solo



Lachlan Smart
Lachlan Smart
SYDNEY - AUSTRALIA. Remaja Australia, Lachlan Smart, mencipta sejarah sebagai individu termuda terbang mengelilingi dunia secara solo dengan pesawat enjin tunggal.
Smart, 18, dari Queensland mendarat di Lapangan Terbang Maroochydore di Sunshine Coast, lokasi sama ketika dia mula berlepas 24 Julai lalu.
“Dapat berada di sini selepas terbang mengelilingi dunia sejauh 24,000 batu nautika, sangat melegakan,” katanya.
Remaja itu berhenti di 24 lokasi dan 15 negara sepanjang tujuh minggu pengembaraannya. Malah, dia menyifatkan keadaan cuaca dan komunikasi dengan pengawal trafik udara asing adalah cabaran terbesarnya.