Mohd Asri (tiga, kiri) turut sama bermain lumpur sambil menarik pukat.
PASIR MAS - Cuaca panas yang melanda negeri ini kesan daripada fenomena El Nino tidak menghalang ahli Komuniti Kampung Jintan dan Alor Piah menyertai Pesta Tarik Pukat di Tasik Danau Tok Uban, di sini.
Buktinya, hampir 300 ahli dari semua peringkat umur berkumpul bagi memeriahkan acara, membuatkan kawasan yang sebelum ini sunyi sepi, digegarkan dengan bunyi teriakan setiap kali pukat ditarik ke darat.
Hidupkan semula tradisi
Bagi warga emas, Che Man Che Kassim, 78, usaha dilakukan Komuniti Jintan dan Alor Piah itu dapat menghidupkan semula tradisi menangkap ikan di kawasan itu.
Menurutnya, dia bangga apabila amalan tradisi lama dihidupkan semula untuk tatapan generasi baharu.
“Saya tahu ada anak muda tidak tahu cara menangkap ikan menggunakan pukat tarik. Dengan adanya program ini, mereka bukan sahaja dapat melihat, malah merasai sendiri pengalaman mengendalikan pukat tarik,” katanya.
Sehubungan itu katanya, dia berharap acara itu dapat diteruskan, walaupun kaedah itu tidak lagi diguna pakai sekarang.
Sanggup cuti untuk tarik pukat
Seorang siswa di sebuah kolej di Perak, Mohd Irwan Mohd Rosdi, 20, mendedahkan dia sanggup mengambil cuti semata-mata mahu menyertai pesta tersebut.
“Setiap kali pesta ini berlangsung, saya akan ambil cuti. Pada saya, pesta ini amat baik kerana melibatkan semua peringkat umur. Secara tidak langsung dapat memperkukuhkan lagi hubungan golongan muda seperti saya dengan mereka yang lebih tua,” katanya.
Selain itu katanya, dia dapat mempelajari cara menangkap ikan menggunakan pukat tarik yang merupakan amalan tradisi penduduk.
Erat perpaduan penduduk
Pesta yang menjadi acara tahunan itu turut dimanfaatkan sebaik mungkin pihak komuniti bagi memperkukuhkan hubungan penduduk.
Pengerusi Komuniti Jintan dan Alor Piah, Mohd Asri Pah berkata, acara tersebut disertai pelbagai lapisan usia tanpa mengira perbezaan ideologi politik.
“Perpaduan ini dapat dilihat apabila hasil diperoleh dimasak secara bergotong-royong, menjadikan acara lebih meriah.
“Inilah yang kita mahu. Bukan mudah membentuk hubungan kukuh dalam kalangan masyarakat, namun melalui program ini, hasrat itu dapat dilaksanakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: