Zulkifle berjaya menangkap ikan dalam salah satu acara sukan rakyat yang diadakan di Kampung Lubuk Batu.
PASIR PUTEH - Bendang kering selepas padi dituai menjadi gelanggang kepada pelbagai acara sukan rakyat di Kampung Lubuk Batu, Bukit Merbau dekat sini, semalam.
Program julung kali diadakan itu juga sebagai medium mendekatkan pemimpin dengan rakyat selain mengukuhkan silaturahim penduduk kampung berkenaan dan kampung berhampiran.
Adun Selising, Zulkifle Ali yang meluangkan masa sembilan jam bersama penduduk berkata, beliau berbangga kerana berpeluang menyertai pelbagai acara yang disediakan.
Katanya, beliau mengabaikan tugasan lain bagi memastikan misi bersama penduduk itu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Saya gembira walaupun terpaksa bermain lumpur dalam acara mencari ikan, penduduk juga bergembira menjayakannya dan saya percaya, hadiah bukan matlamat utama mereka.
Penyertaan saya dalam program ini menjadi kenangan yang tidak akan saya lupakan sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat Selising,” katanya.
Antara acara yang diadakan adalah perlumbaan motosikal roda tiga, permainan kucing buta, tarik upih pinang, kail botol, lari dalam guni, futsal bendang dan mencari ikan.
Zulkifle menarik perhatian ke bendang berkenaan dengan menunggang motosikal roda tiga bersama penduduk serta berpakaian ala orang kampung.
Beliau berkata, program itu juga sebagai usaha ‘menghidupkan’ semula permainan tradisional yang terlalu asing kepada generasi baharu.
“Saya berharap aktiviti seperti ini dapat dijadikan acara tahunan di setiap kampung kerana ia melibatkan keseluruhan masyarakat tanpa mengira kaum dan fahaman politik.
“Saya menganggap ini satu kejayaan besar yang menjadi kebanggaan kita bersama, kesepakatan dan kerjasama tinggi penduduk menjadikan program ini mendapat sambutan amat memberangsangkan,” katanya.
Menurutnya, semua pemimpin masyarakat terutama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) diwajibkan menyertai acara yang dipertandingkan bersama rakyat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: