KOTA BHARU - Seorang bapa terkejut selepas mendapati besi berbentuk silinder yang ditemui anaknya di kawasan lapang, di Kampung Bechah Keranji Melor, di sini malam kelmarin, rupanya bom mortar zaman perang.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, kanak-kanak terbabit dipercayai menjumpai besi berkenaan berhampiran tanah pasir yang diratakan, dan dia terus mengambil besi berkenaan untuk dibawa pulang.
Pada mulanya kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu ingin menyimpan besi terbabit untuk dijadikan sebagai tabung syiling, namun niatnya itu dihalang bapanya selepas menyedari besi terbabit disyaki bom mortar peninggalan zaman perang.
Terkejut dengan penemuan itu, bom terbabit kemudiannya dibuang di tepi sawah berhampiran jalan raya di kawasan itu.
Bapa kanak-kanak terbabit kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Melor berhubung penemuan itu.
Sementara itu, seorang saksi, Haikal Hashim, 20, berkata, penemuan bom itu menggemparkan penduduk di kawasan berhampiran selepas ia dibuang di kawasan tepi sawah.
“Sepanjang 10 tahun tinggal di kawasan ini, ia kejadian pertama saya menyaksikan bom zaman perang secara dekat.
“Bayangkan keadaan saya ketika itu yang tidak lena tidur dibuatnya, selepas menyedari bom hanya dalam jarak 50 meter dari rumah,” katanya.
Haikal berkata, dia juga melihat ramai anggota polis berkawal di kawasan itu sejak jam 10 malam kelmarin sehingga pagi semalam, sebelum bom berkenaan dibawa untuk dimusnahkan di kawasan lapang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dihantar ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mengesahkan bom terbabit merupakan mortar, namun masih tidak dapat disahkan sama ada masih aktif atau tidak.
“Kita akan buat pemusnahan mortar itu hari ini (semalam) diketuai Pegawai Turus Unit Pemusnah Bom,” katanya.