KUANTAN - "Setiap seekor ada nama yang diberi malah memahami kata-kata yang diucapkan Mak. Apabila Mak datang, kumpulan monyet ini akan mengerumuni wanita itu kerana tidak sabar untuk melihat apa makanan yang dibawa untuk mereka hari itu".
Itulah rutin Jamiah Jantan, 55, yang lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Mak, sejak tujuh tahun lalu iaitu memberi makanan kepada monyet-monyet yang ada di kawasan pelancongan Pantai Teluk Cempedak.
Menurutnya, terdapat kira-kira 200 monyet yang diberi makanan sama ada pagi atau petang bergantung pada jadual kerjanya yang bekerja mengikut syif.
“Buah-buahan, sayur dan  roti antara makanan yang sering Mak bawa untuk ‘anak-anak’ ini.
“Biasanya Mak beli semua itu di pasar raya tetapi sejak kebelakangan ini, rezeki ‘anak-anak’ ini sangat murah kerana banyak pihak yang beri secara percuma seperti roti yang hampir tarikh luput begitu juga dengan buah-buahan dan sayuran,” katanya ketika ditemui di Pantai Teluk Cempedak, hari ini.
Jamiah yang tinggal di Sungai Isap itu berkata, harinya tidak akan lengkap jika tidak berjumpa dengan ‘anak-anak’ kerana bimbang jika mereka kelaparan.
Katanya, dia sangat masak dengan perangai setiap seekor namun apabila di marahi, monyet itu akan faham.
“Ramai pengunjung takut dengan monyet-monyet ini kerana mereka bertindak agresif, tetapi mereka bertindak begitu kerana lapar.
“Saya akan  memberi mereka makan sehingga kenyang. Biasanya saya akan datang ke sini jam 7 pagi sehingga 9 pagi untuk memberi makanan kepada mereka,”katanya.
Jamiah berkata, setiap kali dia datang untuk memberi makan, pengunjung yang ada juga turut tertarik malah turut sama-sama memberi makan.
“Ada beberapa  monyet yang rapat dengan Mak mati kerana dipukul dan dicederakan. Ada seekor monyet yang dilibas dengan parang baru-baru ini. Mak sedih bila tengok ‘anak-anak’ diperlakukan sebegitu rupa oleh orang yang tidak berperikemanusiaan,”katanya.