KUANTAN –  Pasangan pengantin yang diraikan dalam Program Jom Nikah Volume 2 menganggap inisiatif ijab kabul beramai-ramai dapat menjimatkan kos dan memudahkan golongan muda membina rumah tangga.
Mereka turut menyifatkan cara itu juga membantu pasangan kurang berkemampuan menikmati kemeriahan acara perkahwinan bersama keluarga dan pasangan lain.
Mohd Azmi Abdul Kadir, 23, dan pasangannya, Nur Nadwa Mohd Zaid, 21, berpendapat majlis ijab kabul beramai-ramai adalah inisiatif terbaik kerana mampu menjimatkan perbelanjaan perkahwinan.
Mohd Azmi berkata, penganjuran itu memudahkan pasangan muda berkahwin, sekali gus mengurangkan kos persiapan yang kini semakin meningkat.
“Sebagai pasangan yang baru memulakan kehidupan berkeluarga, kami perlu perbelanjaan besar tetapi usaha ini dapat bantu berjimat hingga RM10,000,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Jom Nikah Volume 2 di sini, kelmarin.
Menurutnya, kesemua pasangan dapat menikmati keseronokan berganda kerana kemeriahan perkahwinan beramai-ramai yang dirasai.
Seorang lagi pengantin, Rubiah Ali, 30, pula berpendapat perkahwinan beramai-ramai perlu diteruskan bagi membolehkan pasangan berpendapatan rendah dan sederhana menguruskan majlis mereka.
Katanya, dia mengetahui mengenai program itu menerusi laman sosial, Facebook dan tidak mahu ketinggalan menyertainya.
Menurutnya, mendirikan rumah tangga bukan mudah dan mungkin setiap individu mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing.
“Sekiranya saya tak sertai program macam ini, saya masih berpeluang berkahwin, tetapi faktor kewangan antara punca utama sukar meneruskan hasrat berkahwin,” katanya.
Isteri seorang operator mesin, Mohd Shahrizad Ismail, 30, itu berkata, dia bersyukur kerana majlis berjalan lancar walaupun ada ahli keluarga tidak hadir termasuk bapa angkat yang menjaganya sejak kecil kerana masalah kesihatan.
Rubiah dan Mohd Azmi adalah diraikan bersama 18 pasangan lain yang disandingkan dalam satu majlis dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu dalam program Jom Nikah Volume 2 anjuran Kelab Kerjayanita Kuantan dan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Tanjung Lumpur di Masjid Kampung Peramu di sini, semalam.
Setiausaha Kelab Kerjayanita Kuantan, Nor Ngah berkata, penganjuran kali ke dua itu bertujuan memberi peluang kepada pasangan kurang berkemampuan melangsungkan perkahwinan.
Program yang dirasmikan Adun Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Shariff itu hanya mengenakan bayaran RM2,000 untuk kos akad nikah, persalinan pengantin, kad jemputan, barangan cenderahati, majlis jamuan, acara memotong kek
“Program ini dilaksanakan bagi mengurangkan perbelanjaan selain menggalakkan mereka berkahwin tanpa beban hutang,” katanya.
Kelab itu turut merancang mengadakan majlis membabitkan kira-kira 50 pasangan di masjid negeri, di sini pada Oktober depan.