TEMPOH tujuh tahun bukanlah jangka masa singkat buat seorang anak seni membina nama dalam industri hiburan tanah air.
Selain memiliki pakej lengkap dan kualiti lakonan yang mantap, kejayaan pelakon juga bergantung pada kerja keras dan rezeki yang menyebelahinya.
Biarpun terpaksa mengambil masa lama, namun demi minat dan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya, Nur Dayana Kamsun atau Dayana Roza yakin suatu hari nanti segala impiannya bakal terlaksana.
Sehinggalah naskhah Asam Pedas Untuk Dia yang diadaptasi daripada novel terbitan Alaf 21 berjaya mengangkat namanya apabila lakonan sebagai Ainin Sofiya berjaya mencuri tumpuan peminat drama tempatan.
Sejak itulah, Dayana menjadi ikutan peminat sekali gus karier lakonannya juga melangkah ke satu tahap yang lebih baik.
“Sepanjang karier saya, Asam Pedas Untuk Dia memang memberi impak yang besar kepada saya sehingga ke hari ini.
“Biarpun hampir setahun berlalu, namun sehingga sekarang orang masih mengingati drama itu dan boleh dikatakan kehidupan saya juga berubah.
“Walaupun sebelum ini saya sudah banyak berlakon, tapi orang masih belum kenal siapa Dayana Roza sehinggalah kejayaan drama ini, mereka mula mengenali saya,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Bukan hanya semakin di kenali di kalangan peminat, dari sudut kerjayanya pula Dayana akui sering diberi peluang untuk memegang watak yang lebih besar.
“Alhamdulillah, akhirnya hasil kerja keras saya selama ini mula nampak hasilnya daripada pelbagai sudut. Boleh dikatakan, beberapa pihak produksi dan stesen televisyen mula memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang watak yang lebih besar.
“Bagi saya ini adalah platform terbaik untuk saya terus mengembangkan bakat dalam bidang ini sekali gus membuktikan karier saya sudah melangkah lebih jauh,” katanya.
Watak berat
Biarpun begitu, pelakon berusia 25 tahun ini bagaimanapun enggan meletakkan dirinya dalam zon selesa kerana baginya perjalanan meniti kerjaya lakonan itu masih jauh.
“Masih banyak perkara yang harus saya belajar dan kalau boleh saya tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian saya hari ini.
“Sebagai seorang pelakon, saya tidak harus cepat puas tetapi sentiasa memberikan yang terbaik untuk pergi lebih jauh. Bagi saya peningkatan karier ini adalah sebagai satu permulaan untuk saya buktikan lebih banyak lagi bakat saya dalam bidang ini,” ujarnya bersemangat.
Dalam perkembangan terbaharu, Dayana memberitahu dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Satu Cinta tanyangan slot khas Ramadan terbitan GS Pictures bersama barisan pelakon lain seperti Azrel Ismail, Julia Farhana, Zarina Zainuddin dan Azza Elite.
“Kali ini saya sekali lagi diberikan watak berat iaitu seorang gadis bernama Umaira. Pada awalnya saya meminta untuk membawa watak antagonis untuk memberi kelainan dalam lakonan namun pihak stesen lebih selesa untuk saya bawa watak gadis baik.
“Memandangkan ia watak yang memerlukan saya untuk bermain dengan emosi, buat masa ini saya terpaksa tumpukan sepenuhnya terhadap lakonan ini semata-mata,” katanya.
Sempat diusik mengenai soal peribadi, Dayana mengesahkan kini dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan jejaka pilihannya.
Apa yang menarik perhatian, bintang Aku Pilih Kamu ini dilihat lebih terbuka berkongsi perkembangan hubungan mereka menerusi laman Instagram.
“Ya, saya sedang bercinta, tapi perkara selebihnya saya tidak dapat kongsi bersama kerana ia privasi buat saya.
“Kalau boleh dalam industri ini saya mahu dikenali dengan kerja bukannya kisah peribadi,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: