Monday, April 4, 2016

Kali pertama tunai umrah Nas Ahmad akui teruja




Nas Ahmad

KALAU kita ada niat, cepat atau lambat pasti ALLAH SWT makbulkan. Saya pegang kata-kata itu,” ujar penerbit rancangan hiburan TV3, Nas Ahmad.
Personalitinya serba ringkas. Hanya berambut panjang ala ‘ketak’, Nas Ahmad antara penerbit rancangan hiburan yang begitu dekat dengan selebriti tempatan.
Namanya dulu sering dikaitkan dengan soalan ‘panas’dan ‘berbisa’. Setelah 12 tahun berkhidmat, inilah pertama kali Nas Ahmad dapat mengerjakan umrah. Lebih manis ia disertai keluarga terdekatnya.
“Hanya ALLAH SWT yang tahu perasaan saya. Begitu sukar untuk saya gambarkan apabila dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci ini.
“Tambahan, bagi orang berpendapatan sederhana dan sekadar cukup makan macam saya memang tak terfikir suatu hari nanti akan mampu menjejakkan kaki beribadah ke Tanah Suci Mekah,” katanya  yang sentiasa berdoa agar dapat mengerjakan umrah suatu hari nanti.
“Doa dan harapan agar suatu hari nanti cita-cita ini akan termakbul. Namun tiap kali bila ada orang atau diri sendiri bertanya bila nak ke Mekah jawapan saya ialah Insya-ALLAH.
Nas Ahmad dan keluarga berangkat pada 21 Mac lalu melahirkan rasa syukur kerana dapat membawa keluarga kerana dipermudahkan urusan tambahan syarikat tempatnya bekerja membuka pendaftaran umrah.
“Pada mulanya saya daftar bersendirian memandangkan syarikat tidak membuatnya kerana ekonomi kurang baik pada ketika ini. Selepas mencari agensi umrah, saya sudah sedia dengan duit deposit, tetapi kuasa ALLAH SWT, syarikat membuat pendaftaran dan terus saya berdaftar.
“Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan. Media Prima membuat kerjasama dengan syarikat Arrayan Travel untuk membawa trip umrah ini,” katanya.
Ditanya pengalaman sepanjang 10 hari di sana, Nas Ahmad melahirkan rasa teruja dengan cuaca di Madinah.
“Di sana, panas tapi berangin, bukan panas terik seperti di Malaysia. Angin sentiasa bertiup agak kuat sampaikan terasa bagai boleh melayang! Sesuatu yang paling penting di Madinah ialah mengerjakan ibadah sekerap mungkin di Masjid Nabawi.
“Mujur jaraknya cuma 150 meter dari hotel penginapan saya iaitu Hotel Royal Dal El Eiman dan cuma perlu berjalan kaki ke  Masjid Nabawi. Makam junjungan kita Nabi Muhammad SAW terdapat di sini di bawah kubah hijau. Syukur saya dapat masuk ke kawasan Raudhah di dalam masjid ini untuk solat sunat, berdoa dan melihat makam Rasulullah SAW,” katanya.
Pengunjung sentiasa ramai dan perlu dibahagikan secara berkumpulan untuk masuk mengikut giliran.
“Kawasan dataran masjid ini menjadi tempat solat berjemaah dan berehat sementara menunggu masuk waktu solat fardhu berikutnya. Jarak waktu terasa bagaikan pantas. Di sekitar laluan dari hotel ke masjid ini pula melalui deretan kedai yang menjual pelbagai cenderahati dan keperluan lain termasuk jubah, peralatan komunikasi dan sebagainya.
Setiap sekali solat di Masjid Nabawi ini mendapat ganjaran seperti 100 kali solat. Kerana itu ramai yang lebih suka berehat di kawasan dataran masjid sementara menunggu masuk waktu solat berikutnya terutama antara solat maghrib ke Isyak yang terasa begitu cepat,” katanya.
Selepas empat hari, rombongan bertolak ke Mekah dengan perjalanan memakan masa hampir enam jam.
“Kami siap berihram dari hotel penginapan dan singgah bemiqat niat umrah di Miqat Bir Ali. Tiba di Mekah sekitar jam 10 malam.
“Selepas daftar masuk hotel di sini, makan malam  dan langsung berjalan kaki sekitar 300 meter ke Masjidil Haram untuk melakukan ibadah umrah buat pertama kalinya dalam sejarah hidup. Hanya senyuman terukir apabila pertama kali melihat Kaabah di depan mata. Terasa suatu kepuasan, ketenangan dan kesyukuran yang sejati di sini.
“Mengerjakan tawaf dan sa’ie diakhiri bertahlul. Syukur Alhamdulillah jam 3 pagi semuanya selesai tanpa sebarang kesilapan atau terlanggar pantang larang umrah,” katanya.
Biarpun cuaca agak panas berbanding Madinah, namun tidak mendatangkan masalah untuk tekun beribadah.
“Keesokannya saya ke sini lagi untuk melakukan tawaf sunat, kali ini di laluan tingkat tiga, di tengah-tengah panas serta berkaki ayam, namun langsung tidak terasa sebarang keperitan atau keletihan.
“Syukur Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Setiap kali hampir masuk waktu solat fardhu juga jutaan manusia dari semua hotel dan kediaman berhampiran sini berpusu keluar menuju Masjidil Haram untuk berjemaah. Jutaan manusia tidak pernah reda di sini. Seringkali jumlah begitu ramai sehingga melimpah dari dalam Masjidil Haram ke kawasan datarannya, di jalan raya sehingga ke hadapan hotel.
“Saya teringat Sabda Rasulullah S.A.W  yang mana setiap sekali bersolat di Masjidil Haram seperti 100 ribu kali bersolat. Bayangkan dari sejak kita lahir sampai sekarang pernah tak kita berpeluang utk bersolat sebanyak 100 ribu kali?. Itu baru satu waktu, kalau sempat solat di sini dua atau tiga atau semua lima waktu sehari tu kalikan dengan 100 ribu lagilah banyak.
“Saat ini pun saya dah terasa dan tertanya pada diri sendiri bila nak datang lagi untuk naik haji pula?”. Ya kalau fikirkan pendapatan saya yang sekadar ‘cukup makan’ memang di luar kemampuan, malah untuk mendaftar tempahan haji juga akan mengambil masa lebih kurang 20 dari sekarang baru dapat tarikhnya, segalanya bagaikan halangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: