
Tanah adat yang diusahakan dengan tanaman sawah padi. Gambar kecil: Khalid menunjukkan buku rujukan berkaitan pusaka tanah adat milikinya.
KUALA PILAH - Negeri Sembilan memang terkenal dengan pusaka tanah adat diwarisi daripada nenek moyang mengikut suku.
Dikatakan, tanah pusaka adat hanya jatuh ke tangan wanita, namun tidak bertindak zalim terhadap lelaki apabila hasilnya dimanfaatkan bersama.
Menurut Juru Rujuk Adat Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Khalid Bonget, pewarisan tanah adat mengikut suku nan dua belas secara turun-temurun, sejak dahulu, kini, esok, akan datang dan sampai bila-bila.
Katanya, cara tanah pusaka adat diusahakan adalah dengan pertanian seperti sawah padi dan kelapa sawit.
“Tanah adat ini boleh dimajukan kepada bentuk pertanian daripada terbiar begitu sahaja. Setidaknya jika diusahakan, ada juga hasilnya.
“Mesti ada satu badan seperti Risda atau Felcra yang boleh memajukan tanah pusaka adat yang terbiar misalnya ditanam dengan kelapa sawit dan tanam-tanaman kontang seperti jagung dan buah naga.
“Kalau ada sumber air yang cukup boleh dibuat kolam ikan. Paling penting ditekankan pemberian tanah pusaka adat kepada golongan wanita tidak bertentangan dengan agama. Sebab ia telus dan tidak bercanggah kerana ia telah diwakafkan sebagai Wakaf Zuri,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, tanah pusaka adat tidak boleh dibuat pembangunan, sekiranya dibuat pembangunan perlu ditukar syarat kerana ia adalah milik perseorangan.
“Pertukaran perlu dibuat melalui kelulusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan pemilik tuan tanah,” katanya.
Sementara itu, Khalid menambah, pembahagian tanah pusaka adat adalah sama rata dan tidak boleh dipecahkan lotnya.
“Sebab tidak boleh dipecahkan lotnya kerana tanah pusaka adat tidak lebar. Seperti yang disebut dalam perbilangan adat luas sekangkang kera, lebar selebar jala.
“Pembahagian tanah pusaka adat dilakukan melalui perbicaraan yang dijalankan di Pejabat Daerah dan Tanah. Luak Berundang pula seperti di Rembau sahaja yang perbicaraannya dijalankan di Balai Undang Luak Rembau.
“Proses perbicaraan dijalankan oleh Datuk Lembaga bersama Penolong Pegawai Tadbir Tanah Daerah atau Penolong Pegawai Daerah. Kata pemutus adalah daripada Datuk Lembaga dan sekiranya ada bantahan perbicaraan itu akan ditangguhkan dan diadakan semula pada tarikh ditetapkan,” katanya.
Ataupun katanya, dalam keadaan genting umpama tiada pewaris yang akan mewarisi pusaka.
“Maksudnya jika keluarga itu pupus istilahnya 'pusaka gantung' maka tanah itu boleh dijual waris lelaki.
“Tetapi perlu dijual kepada suku sama contohnya kalau Suku Biduanda orang Suku Biduanda sahaja yang boleh membelinya,” katanya berharap agar Datuk Lembaga, anak-anak buah lebih memahami pewarisan harta pusaka bagi mengelak berlaku perbalahan antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: