Wednesday, February 10, 2016

Hilangnya Kasih bukan karya klise



Hilangnya Kasih
Hilangnya Kasih
KISAH mengenai perkahwinan sering kali dipersembahkan di dalam karya drama mahupun filem. Namun lambakan karya adaptasi daripada novel sering memaparkan kisah perkahwinan yang diatur keluarga dan juga kahwin kontrak.
Ingin lari daripada karya stereotaip seperti itu, Tanah Beris Film Production Sdn Bhd mempertaruhkan telefilem Hilangnya Kasih, yang akan  menemui penonton di slot Skrin Di 9, 22 Februari ini, jam 8.30 malam.
Menampilkan gandingan pelakon seperti Fezrul Khan, Janna Nick, Normah Damanhuri, Hilal Azman, Balqis Semundur Khan, telefilem ini turut dibintangi pelakon baharu, Eqbal Eisid.
Menurut penerbit dan juga pengarah, Shuhaimi Lua, telefilem ini adalah hasil tulisan skrip Shahremy Ikmal dan olahan Zyza Backy.
"Sebagai penerbit dan pengarah, saya bukannya mahu memuji Hilangnya Kasih kerana ia adalah telefilem yang diterbitkan dan diarahkan oleh saya.Tetapi telefilem ini sememangnya ada sesuatu yang istimewa.
"Ia membawa penonton melayari dugaan satu pasangan ini selepas mereka berkahwin kerana tragedi yang tidak terduga," katanya kepada Zass.
Menjalani penggambaran di sekitar Pekan dan Pantai Sepat, Pahang, pertengahan Januari lalu, Shuhaimi berkata, konflik dan jalan cerita yang berlainan memberi kelebihan kepada telefilem ini.
"Hilangnya Kasih adalah sebuah lagi kisah masyarakat yang perlu ditonton dan diteliti.
"Hari ini, jarang mengenai kisah yang membawa konflik mengenai perkahwinan dan bukan berpunca daripada orang ketiga atau keluarga diketengahkan di dalam naskhah telefilem, drama atau filem.
"Malah saya juga bukan bermain dengan isu tetapi juga bermain dengan kecantikan sinematografi di kawasan Pekan dan Pantai Sepat.Apa yang pasti, saya menjanjikan ia adalah sebuah karya air mata.
"Saya berharap penonton akan menyukainya dan ini merupakan antara karya yang saya suka," katanya yang sebelum ini pernah mengarahkan drama hebat seperti Maaf Jika Aku Tak Sempurna, Rebah Taubat, Perempuan Tanpa Rahim, Beruk Tok Ayah, Ramadhan Jangan Tinggal Kami dan Nasuha.
Tak menyesal pilih Janna
Bercerita lanjut mengenai pembikinan telefilem ini, Shuhaimi berkata, dia tidak mengalami masalah atau cabaran kerana segalanya diaturkan lebih awal.
Katanya, dia juga bersyukur kerana kesemua pelakon memberikan komitmen tinggi.
"Saya mengamalkan sikap bekerja lebih awal menerusi pre-produksi di mana saya akan tinjau kawasan, bincang dengan penaja dan juga pelakon sebelum menjalani penggambaran.
"Jadi tidak ada masalah dan semua pelakon beri apa yang saya mahu dan saya juga beri kebebasan kepada mereka untuk bawakan watak ikut cara mereka," katanya.
Tambahnya, dia juga menyifatkan pemilihan Janna di dalam telefilem ini sebagai tepat kerana pelakon baharu itu memberikan hasil lakonan yang cukup baik.
"Janna adalah seorang pelakon yang ada method berlakon. Dia macam pelakon lama seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud, Sheila Rusly, dan ramai lagi pelakon hebat yang tidak peduli kecantikan di depan kamera.
"Dia juga mampu menitiskan air mata dengan cara semula jadi dan saya memang tak menyesal pilih dia," katanya.
Hilangnya Kasih mengisahkan Qaisara (Janna) yang berkahwin dengan Fuad (Fezrul) yang juga seorang anak yatim.
Bagaimanapun satu tragedi berlaku menyebabkan Fuad menghidap penyakit skizofrenia. tahap permulaan.
Faktor kerja membuatkan Qaisara terpaksa meninggalkan Fuad bersama ibu bapanya biarpun keputusan itu membuatkan Fuad memberontak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: