Edy (tengah) dan Norazizah (dua, kanan) bersama tenaga kerja Edy Delicia Pastry di hadapan Bengkel Pemprosesan Makanan PBU Asahan
SIAPA sangka seorang penoreh getah mampu bertukar kerjaya sebagai usahawan bakeri dan membina namanya sendiri dalam bidang berkenaan dalam tempoh empat tahun.
Mohd Zaidi Mohd Sahidan, 27, seorang anak peneroka Felda Jelai 1, berkata, dia pada mulanya hanya ingin mengisi masa lapangnya pada waktu petang memandangkan bekerja sebagai penoreh getah pada sebelah pagi.
Menurutnya, dengan bermodalkan RM1,400, dia mula membeli mesin pengadun pada penghujung 2011 dan menghasilkan roti goreng sebanyak 60 biji untuk dipasarkan di sebuah kilang terletak berdekatan rumahnya di Gemas.
“Sebaik tamat sekolah menengah, saya berhijrah keluar dari Jelai bagi menambah pengalaman dan bekerja dalam bidang perhotelan, kilang dan akhirnya selama dua tahun saya bekerja di sebuah bengkel roti di Seremban dengan gaji bulanan hanya sekitar RM500.
“Setiap hari saya adun roti dan akhirnya saya nekad pulang ke kampung halaman bagi membantu kedua ibu bapa saya menoreh getah.
"Pada masa itu, harga getah sangat tinggi dan lebih besar dari jumlah gaji bulanan yang diterima saya sebagai pekerja kilang roti,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Bengkel Pemprosesan Makanan Pusat Bimbingan Usahawan (PBU) Asahan, di sini, semalam.
Zaidi atau lebih mesra dengan panggilan Edy berkata, bermula dengan hanya roti goreng, permintaan bagi produknya itu semakin menggalakkan sehingga ada kalanya dia sanggup bersengkang mata selama setahun membuat roti goreng dari petang hingga ke malam bagi memenuhi permintaan.
“Saya tiada peralatan canggih, cumanya mesin pengadun yang memerlukan masa lima jam untuk adunan roti kembang bagi menghasilkan kira-kira 50 roti goreng. Jadi, selepas melihat sambutan begitu menggalakkan, saya memberanikan diri membuat permohonan kepada Jabatan Pertanian bagi mengembangkan lagi perniagaan bakeri saya ini.
“Saya diberi peluang untuk memanfaatkan kemudahan di Bengkel Pemprosesan Makanan PBU ini sejak empat tahun lalu dan kini saya mampu menghasilkan sekitar 400 ke 1,500 produk roti pelbagai jenis bergantung kepada permintaan ke lapan sekolah di sekitar Gemas dan Gemencheh," katanya.
Edy berkata, selain menghasilkan produk bakeri utama iaitu roti di bawah jenama Edy Delicia Pastry, dia juga menerima tempahan melalui media sosial Facebook dan WhatsApp bagi produk seperti kek dan juga kuih raya.
“Saya belajar melalui internet saja bagaimana caranya menghasilkan kek. Sebaik menjadi usahawan di bawah bimbingan Jabatan Pertanian, saya berpeluang untuk menyertai kursus membuat kek bagi menambah kemahiran," katanya.
Bahkan, katanya, dia kini turut ditawarkan menjadi salah seorang tenaga pengajar bagi kursus berkaitan roti, kek dan lain-lain lagi di bawah anjuran Jabatan Pertanian serta Mara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: