Wednesday, July 2, 2014

Zahiril Adzim Diserang Asma Sehingga Penggambaran Tertangguh


Zahiril Adzim tidak menyangka penyakit asma ditahap yang teruk.
PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim berasa bersalah apabila penggambaran telefilem Tujuh Hari Nak Raya tertangguh kerana dia diserang penyakit asma minggu lalu.

Zahiril berkata, dia mengalami gangguan penafasan yang teruk dan hampir pengsan ketika sedang menjalani penggambaran telefilem tersebut di sekitar Selayang dekat sini.

"Saya diserang asma sebanyak dua kali pada 24 Jun lalu dan pihak produksi bawa saya ke Hospital Selayang dan ditahan selama sehari.

”Selepas keluar hospital, saya terus ke set penggambaran semula kerana saya tak mahu kerana saya, jadual artis lain terganggu dan masa penggambaran akan tertangguh.

"Malangnya saya diserang sekali lagi lebih teruk sehingga saya muntah dan saya ditahan selama dua hari di Pusat Perubatan Pakar Damansara dan menyebabkan penggambaran itu ditangguhkan beberapa hari," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Tambah Zahiril, serangan asma kali ini adalah yang terburuk buat dirinya sehingga dia terpaksa bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan dan gas selama berada di hospital.

Dia menghidap penyakit asma sejak berusia belasan tahun lagi, namun tidak menyangka perkara tersebut boleh memudaratkan jika tidak berhati-hati.

"Saya memang ada penyakit ini sejak kecil tetapi biasanya saya boleh kawal dan tidak pernah pula sampai seteruk ini, saya sangka ia tidak terlalu teruk.

"Doktor menasihatkan saya lebih berhati-hati dan peka dengan persekitaran terutamanya tempat yang berdebu dan keadaan cuaca yang jerebu," katanya.

Sementara itu, Zahiril berkata, dia kini kembali bekerja dan menghabiskan penggambaran drama yang bakal ditanyangkan pada Hari Raya pertama di TV3.

Tambahnya, sepanjang bulan Ramadan ini, dia akan menghabiskan sebuah lagi telefilem sebelum bercuti panjang bagi membuat persapan Hari Raya.

"Alhamdulillah saya sudah sihat sikit dan habiskan baki penggambaran yang tertangguh, Insya-Allah ada satu lagi telefilem yang perlu dihabiskan sebelum bercuti untuk menyambut Hari Raya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: