Thursday, July 3, 2014

Tomok Rancang Tambah Anak Kedua


Tomok bersyukur perkahwinannya bersama isteri sudah memasuki tahun ketiga.
PETALING JAYA: Penyanyi Tomok bersama isterinya,  Rahayu Abbas (Ayu) bersedia untuk untuk mendapatkan anak kedua selepas anak sulung mereka kini berusia tiga tahun.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 30, berkata, sudah tiba masanya untuk dia menambah bilangan keluarga memandangkan anak sulungnya iaitu Arrianshah Akid semakin membesar.

"Insya-Allah saya dan isteri sudah bersedia untuk menambah bilangan keluarga kami dengan anak kedua pula. Arrian pun dah besar dan rasanya dia juga memerlukan seorang adik.

"Cuma sehingga kini kami belum ada rezeki lagi. Saya percaya dengan penambahan ahli keluarga pasti akan sempurnakan hidup kami," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Tomok meluahkan rasa syukur apabila pada Selasa (semalam) merupakan sambutan ulang tahun perkahwinannya dengan Ayu yang ketiga.

Foto Tomok bersama isteri dan anaknya ketika bercuti di London baru-baru ini.

Katanya, walaupun sudah lapan tahun bercinta dan kemudiannya tiga tahun bersama mendirikan rumah tangga, Tomok menyifatkan dia dan isteri sudah saling memahami antara satu sama lain dan ia memudahkan lagi kehidupan mereka sebagai pasangan suami-isteri.

"Alhamdulillah, perjalanan kami sebagai suami isteri sangat lancar. Tetapi diakui ada juga pasang surutnya dan itu adalah benda normal dalam mana-mana perhubungan sekali pun.

"Kami pun sudah memahami antara satu sama lain dan yang penting, kejujuran dan cara menyelesaikan masalah dengan matang mampu menguatkan lagi perhubungan.

"Bagaimanapun, kami belum membeli apa-apa hadiah. Mungkin selepas sambutan Aidilfitri nanti kami akan bercuti ke Legoland, Johor," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Tomok bakal muncul dengan sebuah album terbaharu berjudul, Tomok Aku Datang dengan memuatkan sebanyak tujuh buah lagu yang akan dipasarkan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: