Tuesday, July 8, 2014

Makan sini lagi senang


TERDAPAT tiga pakej yang ditawarkan bagi perkhidmatan penghantaran makanan bawah jenama Makan Sini ini.


PERKHIDMATAN penghantaran makanan ke rumah dan pejabat selalunya didominasi oleh restoran makanan segera seperti piza dan KFC tetapi kini, anda boleh menikmati makanan tempatan melalui perkhidmatan penghantaran makanan yang disediakan sebuah syarikat bumiputera, Ezfas Food Sdn. Bhd.
Faktor kekangan masa menyebabkan mereka yang bekerja lebih gemar membeli sahaja makanan di gerai. Tetapi adakalanya makanan itu kurang berkualiti malah mungkin tidak sedap.
Menurut Pengarah Ezfas Food, Badri Jaafar, melihatkan situasi berkenaan, pihaknya menawarkan khidmat penyediaan makanan yang mudah, cepat, sedap dan praktikal.
“Sebenarnya perkhidmatan seumpama ini sudah lama popular di luar negara seperti England, India dan Singapura.
Tukar menu
“Ia sangat praktikal kerana selain menjimatkan masa, kami juga ingin menggalakkan masyarakat makan secara sihat melalui saiz hidangan yang betul.
“Pelanggan bukan sahaja dapat menggunakan perkhidmatan ini untuk pesanan terus ke rumah, malah ke pejabat atau lokasi lain dengan harga yang murah,” ujarnya sambil berkata, perkhidmatan itu ditawarkan pada harga serendah RM5.50 sehari mengikut pakej yang disediakan.
Jelasnya, perkhidmatan itu menawarkan menu makanan tempatan berasaskan nasi serta lauk-pauk seperti ayam masak lemak cili api, sambal terung, kari ikan, ayam masak kurma dan ikan gulai nanas.
Tambahnya, pilihan menu akan ditukar setiap hari. Kesemua menu tersebut merupakan hasil air tangan Cef Borhanudin Ahmad yang berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang kulinari.
“Selain menu makanan tempatan, kami turut menyediakan masakan Barat, Nyonya, India dan Cina.
“Terdapat tiga pakej yang ditawarkan bagi perkhidmatan penghantaran makanan bawah jenama Makan Sini ini dan kami turut menawarkan penghantaran secara percuma.
“Pelanggan boleh memilih untuk membeli pakej selama lima hari, 10 hari atau 20 hari. Malah, mereka boleh menambah minuman sekiranya mahu,” jelasnya yang setakat ini membuat penghantaran sebanyak 200 pek makanan sehari.
Katanya, saiz hidangan yang disediakan mencukupi untuk seorang. Pelanggan boleh membuat tempahan pada waktu bekerja seelok-eloknya dua hari sebelum penghantaran.
“Konsep Makan Sini ini dapat menjimatkan masa selain menjadikan waktu rehat lebih panjang kerana mereka tidak perlu keluar membeli makanan di kedai tetapi sebaliknya kami yang menghantarnya kepada mereka.
Aplikasi telefon

CEF Borhanudin menunjukkan contoh hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan.


“Setakat ini, kami menumpukan lokasi penghantaran di Lembah Klang sahaja iaitu pada setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum,” katanya yang turut membuka tempahan untuk perkhidmatan katering.
Menurut Cef Borhanudin, kesemua resipi yang ditawarkan merupakan resipi yang diolahnya sendiri dan kesemua juadah terbabit disediakan di syarikatnya yang beroperasi di Seksyen 26, Shah Alam, Selangor.
“Oleh sebab itu, kami menyediakan menu yang berbeza-beza setiap hari bagi memberikan kelainan.
“Malah, selain menu makanan tempatan, kami turut menyediakan menu makanan Barat pada hari tertentu.
“Sajian ini merupakan saiz hidangan lengkap dan seimbang,” jelasnya sambil memberitahu, pelanggan hanya dapat menikmati menu sama pada setiap tiga bulan sekali.
Beritahu Badri, istimewa sempena Ramadan, pihaknya menawarkan pakej bagi set lauk-pauk sebanyak tiga jenis tanpa nasi untuk tiga orang makan pada harga RM13.99 manakala RM25.99 untuk enam orang makan.
“Waktu penghantaran bermula pukul 4 petang sepanjang Ramadan,” tambahnya.
Jelasnya, pihaknya menyasarkan untuk membuat penghantaran makanan sebanyak 10,000 pek sehari berikutan sambutan yang menggalakkan.
“Kami merancang untuk meluaskan pasaran ke seluruh Malaysia pada tahun depan selain menjadi syarikat penghantaran makanan tempatan pertama di Malaysia.
“Malah, kami juga sedang berusaha mewujudkan aplikasi Makan Sini pada telefon pintar dalam masa terdekat bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan,” katanya sambil memberitahu, tempahan juga boleh dibuat secara online.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: