Noraniza, 46, berkata, suaminya mahu dia menumpukan perhatian dan sama-sama meluangkan masa untuk melakukan ibadah.
"Suami ada meminta saya untuk berhenti menyanyi dan menumpukan perhatian kepada amalan agama. Saya memang ada perancangan kearah itu, tetapi saya minta masa lagi untuk memperjuangkan irama tradisional sehingga berjaya.
"Insya-Allah kalau program Siri Jelajah Zapin Nusantara yang sedang saya jalankan sekarang ini sampai kemuncaknya iaitu Konsert Diraja Akar Kita Zapin akhir tahun ini, saya akan berhenti dan serahkan tugas itu kepada pelapis," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Kalimah Lebaran, di Restoran Puteri, di sini, malam Rabu.
Bagaimanapun tambah Noraniza, dia akan tetap memberi khidmat nasihat dan memantau perjalanan irama tradisional yang diperjuangkannya dari belakang.
"Saya tidak mahu cakap saya mahu bersara terus atau berhenti sepenuhnya, nanti takut bila saya keluar ada pula yang mempertikaikan keputusan tersebut.
"Saya mungkin akan lihat dan pantau daripada belakang sahaja," ujarnya.
Sementara itu, mengulas tentang irama tradisional, Noraniza memberitahu dia memasang impian untuk berkolaborasi dengan penyanyi popular Shila Amzah.
Katanya, hasrat tersebut pernah diluahkan kepada ayah penyanyi itu iaitu ND Lala, namun tidak kesampaian apabila Shila kini mengembangkan kerjaya ke China.
"Saya memang mahu berkolaborasi dengan Shila Amzah, dulu saya pernah beritahu ND Lala dan dia setuju, namun selepas itu Shila pula dapat peluang melebarkan kerjaya di Beijing.
"Apa-apa pun saya harap Shila dapat memperkenalkan lagu Irama Malaysia ke negara tersebut. Saya yakin dia dapat membanggakan negara kita," ujarnya.
Sementara itu, bercakap tentang lagu Kalimah Lebaran ini, Noraniza berkata ia merupakan buah tangannya sempena Hari Raya yang bakal menjelang.
Lagu ciptaan Pak Ngah itu merupakan gabungan suaranya dengan penyanyi popular era 80-an iaitu Razis Ismail dan pendatang baharu Azmir Arif.
"Lagu ini istimewa kerana ia menggabungkan tiga generasi penyanyi berlainan era yang akan menambahkan lagi kemeriahan menyambut lebaran tahun ini," katanya.
Pada majlis tersebut Noraniza turut melancarkan dua single daripada artis baharu Ihab Ismail iaitu Akar Kita Zapin dan Pahlawan Zafrina.
Selain Pak Ngah, turut hadir pada majlis tersebut komposer Datuk M.Nasir dan penaung Siri Jelajah Akar Kita Zapin, Tengku Hishammuddin Zaizi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: