Tuesday, July 8, 2014

Berhati-hati beli juadah berbuka



BAZAR Ramadan sentiasa menjadi tumpuan masyarakat untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.


HARI ini masuk sembilan hari umat Islam di negara ini menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Ibadah puasa bukan sahaja bermaksud menahan diri daripada lapar dan dahaga antara terbit fajar hingga terbenam mentari.
Malah, ia merangkumi semua perkara yang boleh membatalkan ibadah tersebut seperti memasukkan objek ke dalam rongga badan yang terbuka secara sengaja, kedatangan haid, nifas atau kelahiran bagi wanita, menjadi gila dan pitam sepanjang hari.
Ketibaan bulan mulia ini sinonim dikaitkan dengan kewujudan bazar Ramadan yang boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Bazar Ramadan merujuk kepada aktiviti perniagaan di sesuatu lokasi strategik yang menjadi tumpuan pengunjung setempat untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka sama ada moden mahupun tradisional.
PENCEMARAN silang merupakan salah satu faktor berlakunya masalah cirit-birit.


Pembukaan bazar Ramadan ini memudahkan masyarakat terutamanya yang sibuk dengan tugasan seharian untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka seperti air, kuih-muih, lauk-pauk sehinggalah kepada buah-buahan.
Walaupun begitu, kita pasti tidak terlepas daripada mendengar kisah-kisah keracunan makanan yang sering dialami oleh masyarakat selepas menjamah juadah berbuka yang dibeli dari gerai-gerai yang terdapat di bazar Ramadan.
Prof. Madya Mohd. Khan Ayob, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, aktiviti penyediaan makanan yang tidak bersih antara salah satu faktor berlakunya masalah keracunan makanan.
Katanya, kewujudan pencemaran silang seperti tangan dan alatan yang tidak bersih ketika mengendalikan makanan akan menyebabkan wujudnya bakteria staphylococcus.
“Bakteria ini sering terdapat pada bahagian kulit manusia.
“Sekiranya penjual tidak memakai sarung tangan atau tidak membasuh tangan ketika mengendalikan makanan, maka bakteria tersebut akan dipindahkan secara terus kepada makanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, makanan yang tercemar itu sekiranya dimakan, ia akan menyebabkan perut berasa memulas dan cirit-birit.
BAKTERIA salmonella yang terdapat pada daging akan menyebabkan cirit-birit sekiranya tidak dimasak dengan sempurna.


Punca
Selain itu, masakan yang dimasak secara tidak sempurna juga merupakan salah satu punca berlakunya keracunan makanan.
Menurut Mohd. Khan, makanan dimasak tidak sempurna akan menyebabkan bakteria salmonella yang terdapat pada daging atau ikan tidak mati sepenuhnya.
Sekiranya makanan tersebut dibiarkan dalam jangka waktu empat atau lima jam sebelum dimakan, ia akan menyebabkan bakteria tersebut kembali membiak.
“Bakteria boleh membiak dengan pantas, sekiranya ada seribu bakteria pada sesuatu makanan, dalam masa dua jam ia boleh berganda menjadi sejuta.
“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa bakteria salmonella boleh membiak dengan cukup pantas,” katanya.
Tambahnya lagi, individu yang mengambil makanan yang dicemari dengan bakteria tersebut ketika berbuka akan mengalami masalah perut tidak selesa, cirit-birit dan muntah pada waktu awal pagi.
Hal ini kerana, bakteria salmonella bertindak balas agak perlahan berbanding staphylococcus.
Menurut Mohd. Khan, individu yang mengalami cirit-birit yang berlarutan sehingga waktu siang dan jika berpuasa digalakkan untuk berbuka.
“Ini kerana, cirit-birit akan menyebabkan berlakunya kehilangan air yang banyak dalam badan, sekiranya air tidak diambil, ia boleh membawa maut,” katanya.
Dalam pada itu, dia menasihati para pengguna terutamanya pengunjung bazar Ramadan supaya membeli juadah di gerai yang diyakini bersih dan selamat.
Selain itu, dia turut berharap pihak Kementerian Kesihatan dapat memainkan peranan lebih berkesan dengan melakukan pemantauan secara berkala di gerai-gerai yang terdapat di bazar Ramadan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: