|
SETIAP minggu, Siti Sarah Abdul, 24, akan ke kedai untuk membeli kudapan kegemarannya iaitu coklat. Antara jenama pilihan hatinya untuk diletakkan di kaunter bayaran ialah Daim, Kisses, Kinder Bueno, Hershey's dan Snickers.
Anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu itu membeli coklat sekurang-kurangnya empat kali dalam seminggu untuk dinikmati sambil menonton program televisyen kesukaannya di rumah.
Namun, dia bukan membeli coklat secara sembarangan. Beberapa kriteria perlu dipenuhi antaranya, rasa yang sedap, jenama, halal dan mempunyai bahan-bahan yang baik untuk kesihatan.
"Saya juga membuat perbandingan harga dan kualiti coklat sebelum memutuskan untuk membeli," katanya yang menggemari coklat sejak kecil.
Menurutnya, sejak kecil juga dia telah didedahkan terhadap iklan-iklan coklat jenama luar negara di televisyen seperti Cadbury, M&M dan Kit Kat.
Justeru itu, jenama-jenama itu terus melekat di hatinya termasuk dari segi varian perisa dan perkembangan bungkusan sesuatu jenama. Apabila ditanya tentang jenama coklat tempatan, Siti Sarah memberitahu dia tidak begitu mengetahuinya.
Begitu juga dengan Ahmad Fathi Lutfi Mohd. Amran, 22, yang memilih coklat jenama antarabangsa seperti Cadbury dan Mars.
"Mungkin kerana jenama coklat tempatan jarang disiarkan dalam iklan komersial di televisyen atau surat khabar. Jadi, saya tidak sedar kewujudan jenama produk tempatan," katanya.
Bersaing
Mendapatkan pandangan daripada pengasas coklat tempatan jenama Grandeur, Aimilia Omar berkata, situasi tersebut berlaku disebabkan oleh peluang prasarana di pasar-pasar raya besar yang terhad dan kos pemasaran terlalu tinggi bagi pengusaha kecil.
"Pengusaha-pengusaha tempatan terpaksa bersaing dengan jenama gergasi dari luar negara seperti Cadbury dan Kit Kat untuk mendapat tempat di rak-rak pasar raya. Jika pun dapat, kami masih mempunyai kelemahan seperti tidak mempunyai kakitangan sendiri untuk memberi pendedahan tentang coklat kepada pelanggan.
|
"Selain itu, harga pengiklanan media massa pada hari ini memerlukan modal yang tinggi. Jadi produk-produk tempatan hanya aktif dalam pasaran kecil yang diketengahkan di dalam media baharu seperti Facebook dan blog," jelasnya ketika ditemui di ibu pejabat Grandeur di Prima Selayang, Selangor.
Namun ujarnya, cetakan logo halal pada bungkusan dan kualiti kandungan bahan-bahan membuatkan coklat tempatan mula mendapat perhatian ramai. Segelintir pelanggan di Facebook membuat tempahan untuk menjadikannya sebagai hantaran perkahwinan dan buah tangan dalam majlis-majlis rasmi.
Setelah tujuh tahun bertapak dalam industri coklat, jenama Grandeur berjaya menembusi pasar raya besar AEON terpilih dan pasar raya kecil sekitar Lembah Klang dan Selangor.
Jenama di bawah syarikat Industri Makanan AOM itu kini menghasilkan lebih 500 kilogram coklat setiap bulan. Jenama itu mempunyai lebih 100 jenis produk coklat buatan tangan dan mesin. Harga coklat yang dijual bermula dari RM1.50.
Mendedahkan keistimewaan coklat tempatan, graduan dari Universiti Malaya itu berkata, bahan utama yang digunakan dalam pembuatan coklat Grandeur iaitu lemak coklat tulen adalah 100 peratus buatan tempatan keluaran Lembaga Koko Malaysia (LKM), agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Coklat itu juga tahan lebih lama pada suhu luar bilik berbanding coklat susu jenama antarabangsa kerana sifat coklatnya yang lebih kering.
Begitu juga dengan kualiti coklat berperisa buah-buahan tropika, Malsa. Menurut pengasasnya Aslinah Aslam, coklat keluarannya mampu bertahan selama dua tahun. Coklat Malsa diperbuat menggunakan koko tulen
LKM dan dipertingkatkan dengan teknologi sejat dan kering.
"Saya telah ke serata negara yang terkenal dengan pembuatan coklat termasuklah Belgium dan Jerman.
"Kajian itu dibuat bagi meletakkan coklat tempatan setanding jenama antarabangsa," katanya ketika ditemui di Kompleks Industri Makanan, di Batu Caves, Selangor.
Sehingga kini Aslinah memperkenalkan coklat dengan tujuh rasa buah tropika. Antaranya, durian, nangka, nanas, pisang, strawberi dan manggis. Coklat rasa buah-buahan tropika ini dijual pada harga RM15 untuk 70 gram dan RM24.90 untuk 120 gram.
Pasaran
Bercerita tentang corak pemasaran coklat itu dalam negara, dia memberitahu produk dihasilkannya telah menembusi pasaran tempatan seperti di pasar-pasar raya besar seperti AEON dan Cold Storage terpilih, kedai coklat di lapangan terbang dan Jaya Grocer di Bangi.
Betapapun, coklatnya itu masih belum mendapat tempat sepenuhnya di hati rakyat Malaysia kerana terpaksa bersaing dengan jenama antarabangsa terutama aspek harga.
"Malsa cuba menghasilkan sesuatu yang lebih unik seperti coklat dengan rasa buah-buahan tropika. Namun, untuk menghasilkan produk ini, ia menelan belanja yang agak besar, meliputi kos bahan mentah dan teknologi.
"Jadi, bagi memastikan mendapat pulangan modal, harga produk ini terpaksa dijual sedikit tinggi berbanding coklat jenama antarabangsa," jelasnya.
Mengambil pilihan lain, Aslinah memasarkan produk tersebut ke luar negara seperti China, Singapura, Brunei dan akan datang ke Arab Saudi. Kira-kira 33,600 bungkusan akan dihantar menerusi kontena pada setiap tahun bagi memenuhi permintaan peminat coklat Malsa di luar negara.
Menerusi bantuan daripada pihak kerajaan, anak sulung daripada lima adik-beradik itu giat menjalani kajian tentang resipi baharu coklat dengan harga pasaran yang kompetitif.
Mengulas lanjut tentang tabiat memakan coklat rakyat Malaysia, pakar diet, Indra Balaratnam berkata, pengambilan coklat perlu dikawal kerana mengandungi jumlah lemak yang tinggi.
"Walaupun koko kaya dengan kandungan antioksidan, bahan asas lain dalam menghasilkan coklat seperti gula dan jumlah lemak menjadikannya makanan yang perlu dikawal kuantiti pengambilannya.
"Sebagai contoh, 100 gram coklat susu mempunyai purata 535 kalori, 7.65 gram protein, 29.6 gram lemak, 59.4 gram karbohidrat dan 51.5 gram gula. Sebanyak 50 peratus daripada kalori tersebut datangnya daripada lemak. Jadi, saiz hidangan coklat yang paling ideal adalah antara 30 hingga 40 gram," ujarnya sambil memberitahu manisan diperlukan untuk melengkapkan panduan piramid makanan Malaysia.
Bagi individu yang menggemari manisan, tetapi jarang melakukan senaman disarankan untuk mencari alternatif lain seperti buah-buahan yang mempunyai kandungan gula semula jadi.
Khasiat
Indra juga mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak meletakkan persepsi bahawa makanan yang diimport merupakan makanan yang sihat dan mengandungi nutrisi yang tinggi.
"Cara yang betul untuk menilai khasiat makanan adalah dengan melihat label kandungan bahan-bahan pada bungkusan," katanya.
Dalam pada itu, laman rasmi LKM dipetik berkata, kajian melaporkan kuantiti antioksidan yang diserap daripada koko dan coklat adalah lebih tinggi berbanding wain, teh dan sayur. Pengambilan koko yang kaya dengan antioksidan flavanoid dapat mengurangkan risiko aterosklerosis serta mengurangkan kematian akibat penyakit koronari jantung.
Selain itu, satu kajian yang dijalankan di Jepun turut menunjukkan bahawa poliphenol dalam koko dapat menghalang perubahan sikap emosi di bawah tekanan fizikal, berupaya mengurangkan tekanan dan membantu melambatkan proses penuaan.
Jangka masa hayat bagi manusia yang sihat boleh dilanjutkan selama lima hingga 10 tahun dengan mengamalkan pemakanan seimbang yang kaya dengan antioksidan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: