|
REEN RAHIM pernah menjadi topik perbualan hangat di laman sosial sekitar tiga bulan lalu. Semua itu gara-gara Reen memuat naik beberapa keping gambar separuh bogel semasa dia bercuti di Pulau Koh Lipe, Thailand.
Ekoran tindakannya itu, dia dikecam teruk pengikut akaun Instagram miliknya yang mendakwa gambar bikini itu dianggap keterlaluan. Sungguhpun begitu, bekas juara program Pilih Kasih musim ketiga itu tidak cepat melatah. Membiarkan cerita-cerita kurang enak berlalu, Reen menganggap itu semua sebagai asam garam dalam dirinya untuk terus bertapak dalam industri.
“Kalau ingat balik memang waktu itu memang terperanjat. Pagi-pagi lagi saya dikejutkan oleh emak saya, dia nak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Padahal waktu itu bukannya saya berbikini pun,” ujar pelakon berumur 26 tahun itu.
Luah Reen, sebagai orang Timur, dia masih tahu batas-batas yang perlu dijaga daripada segala aspek, lebih-lebih lagi melibatkan penampilan. Apatah lagi, dia juga perlu menjaga nama baik keluarganya.
“Tak mungkinlah saya nak berpakaian dalam sahaja di tempat terbuka begitu. Kenalah ada rasa hormat juga, tak adalah keterlaluan, cuma apa yang dipakai itu mengikut kesesuaian tempat,” tuturnya yang tidak pernah melabel dirinya sebagai seorang yang seksi.
Pelakon Cinta Jannah itu mengakui sebagai seorang selebriti, banyak mata yang sentiasa memerhatikan segala tindak-tanduknya. Sungguhpun begitu, setiap kontroversi yang mengaitkan namanya, Reen akan hadapi dengan tenang.
“Apabila kes itu orang kata saya tak kisah apa orang nak kata, bukan maksud saya tak ambil pusing dengan komen-komen orang, cuma saya tahu kedudukan saya. Saya tidak perlu takut jika saya benar. Lagipun, mulut orang memang kita tak boleh nak tutup,” ujar pelakon Menantu Sepuluh Ribu itu.
Bercerita mengenai drama arahan Lizam Tugil itu, Reen memegang watak seorang gadis kampung bernama Umairah yang berkeperibadian lurus.
“Saya kemudian terserempak dengan seorang lelaki kaya lakonan Fizz Fairuz yang menjadi rebutan wanita. Biarpun ramai wanita yang cuba mendekatinya, akhirnya dia terpikat dengan gadis kampung dan mahu mengahwini saya bukannya dengan wanita lain,” katanya.
Menurut pelakon drama Runtun Qalbu itu, Cinta Jannah secara tidak langsung banyak membuatkan dia terbawa-bawa karakter Umairah sewaktu di luar set penggambaran.
“Umairah itu seorang yang suka mengemas rumah. Jadi, sekarang ini kalau saya nampak barang bersepah sikit sahaja, laju sahaja tangan ini terus nak mengemas. Drama ini banyak mengajar saya untuk buat kerja-kerja yang biasa orang perempuan lakukan, termasuklah memasak,” kongsinya.
Selain Reen dan Fizz Fairuz, drama 26 episod menerusi slot Azalea di TV3 itu turut menampilkan pelakon Salwa Razak dan Cat Farish.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: