|
PENAYANGAN drama bersiri seperti Love You Mr. Arrogant, Playboy Itu Suami Aku dan Anugerah Terindah telah memberi impak tersendiri buat pelakon Zara Zya, Risteena Munim dan Shafiq Kyle.
Tidak dinafikan, penayangan ketiga-tiga drama tersebut di TV3 sebelum ini telah mengubah landskap kerjaya masing-masing di sebalik kemunculan ramai pendatang baharu dalam dunia lakonan tempatan.
Biarpun pernah dilemparkan dengan pelbagai kritikan tetapi ia dianggap sebagai satu perkara yang normal dalam usaha mereka untuk bertapak lebih kukuh dalam bidang yang diceburi.
Bertemu dengan mereka sewaktu sesi fotografi khas yang diaturkan sempena ulang tahun TV3 yang ke-30 baru-baru ini, masing-masing mempunyai cerita tersendiri tentang penglibatan sebagai pelakon.
Hampir berhenti
Bagi pelakon Zara Zya atau pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd. Zainuddin yang dikenali menerusi drama bersiri Love You Mr. Arrogant, dia bersyukur kehadirannya diterima ramai, meskipun terpaksa menunggu masa selama 10 tahun untuk bertapak kukuh.
Tidak beranggapan tempoh tersebut agak terlambat buat dirinya yang sudah berusia 29 tahun, Zara menyatakan bahawa terdapat begitu banyak pengalaman yang pernah dilaluinya.
“Dahulu memang sudah banyak tawaran yang diterima, cuma saya ambil watak kecil sahaja kerana tiada keberanian. Sejak empat tahun yang lalu barulah saya lebih serius menjadi seorang pelakon.
“Sejak itu saya sudah mula memberanikan diri menjalani uji bakat untuk mendapatkan watak yang lebih besar. Tidak kisahlah kalau dikenali dalam tempoh yang lewat kerana saya percaya semuanya terpulang kepada rezeki,” ujar anak bongsu daripada empat adik-beradik itu.
Bagaimanapun, pelakon itu mendedahkan yang di pernah hampir berputus asa untuk meneruskan kerjaya lakonannya lantaran tidak gemar dengan sikap segelintir penerbit dan pengarah yang gemar mengambil kesempatan terhadap pelakon baharu.
Ujarnya, dia kesal kerana pernah merasai sendiri pengalaman apabila ada penerbit dan pengarah yang meletakkan syarat supaya melayan kehendak mereka terlebih dahulu sebelum sesuatu tawaran itu diberikan.
“Akibat daripada kejadian tersebut, pernah timbul tanggapan dalam diri saya yang semua penerbit dan pengarah mempunyai sikap sama sehingga saya pernah hampir berhenti berlakon kerana tidak tahan dengan situasi sebegitu.
“Setelah difikirkan kembali, saya anggap ini semua merupakan ujian dan cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang pelakon. Lagipun bukan semuanya bersikap sedemikian kerana masih ada yang lebih melihat kepada bakat seseorang individu itu,” luahnya.
Berbalik kepada kejayaannya dalam bidang lakonan sehingga berhasil memenangi pelbagai anugerah berdasarkan undian peminat, pelakon itu mengakui dia berasa cukup gembira serta menghargai sokongan yang diberikan tetapi perasaan takut turut menyelubungi dirinya.
Jelas Zara, dia bimbang dengan pelbagai anugerah diraihnya akan menyebabkan timbul persepsi dirinya sudah mula meletakkan harga yang tinggi apabila mendapat sesuatu tawaran.
“Sudah tentu saya risau kalau ada yang ingat saya semakin demand sekarang kerana menang banyak anugerah tetapi ia bukanlah satu langkah yang baik. Kalau saya bersikap sebegitu, tentu ia mendatangkan kesan buruk kerana masih ramai lagi yang menunggu peluang berlakon.
“Namun begitu, saya akui memenangi anugerah merupakan salah satu sasaran utama kerana mahu peminat lihat kemampuan saya dalam bidang ini. Malah, anugerah yang diterima juga boleh menjadi bukti kepada anak dan cucu saya nanti,” ujarnya.
Sehingga kini, Zara sudah memenangi sebanyak lima anugerah seperti Artis Baru Meletop dan Artis Top Top Meletop (Anugerah Meletop Era), Pasangan Serasi Pilihan (Anugerah Drama Festival KL 2013) serta Artis Baru Wanita Popular dan Gandingan Serasi Di Layar (Anugerah Bintang Popular 2013).
Risteena pernah dikritik
Seorang lagi pelakon wanita yang semakin meningkat naik, Risteena Munim pula menyatakan sejak muncul dalam drama bersiri Playboy Itu Suami Aku, tawaran lakonan yang diterimanya semakin banyak sekarang.
Menurut Risteena, ia telah memberi kesan yang cukup mendalam sehingga dia lebih dikenali dengan nama Afina iaitu watak yang dibawakannya dalam drama tersebut berbanding namanya yang sebenar.
“Kalau saya pergi ke sesuatu tempat atau acara, ramai yang memanggil saya Afina. Tidak dinafikan ia sesuatu yang agak melucukan tetapi ia membuktikan yang saya berhasil membawakan watak itu dengan berkesan.
“Lebih menarik lagi, saya juga dikenali oleh golongan kanak-kanak dan wanita yang sudah berusia. Pernah saya melalui satu pengalaman apabila dicium oleh seorang makcik serta menyatakan dia suka lakonan saya dan itu antara pengalaman menarik yang pernah dilalui,” ujarnya.
Di sebalik kejayaan yang diraihnya itu, pelakon berkenaan menyatakan yang pada peringkat awal dia pernah mendapat kritikan sehingga ada yang melabelkan dirinya sebagai seorang pelakon kayu.
Tidak cepat patah semangat terhadap kritikan yang dilemparkan itu, dia sekadar melihatnya dari sudut yang positif dan menjadikannya sebagai satu motivasi untuk memperbaiki lagi mutu lakonannya.
“Semasa kemunculan awal saya memang selalu mendapat kritikan tetapi pengarah dan pelakon yang lain banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar. Kini, semuanya sudah dapat diatasi dan ramai pengarah yang terus memberikan kepercayaan kepada saya,” ujarnya yang baru selesai menjalani penggambaran filem Kelip-Kelip.
Dalam pada itu, meskipun dirinya boleh dikategorikan sebagai seorang pelakon baharu, ternyata Risteena tidak mampu menghindari dirinya daripada dilanda dengan kontroversi.
Misalnya, baru-baru ini ada yang mendakwa pelakon itu menipu apabila dikatakan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor sedangkan dia belum lagi menamatkan pengajiannya.
“Apa yang berlaku itu semuanya berpunca daripada salah faham terhadap kenyataan yang dibuat oleh saya sebelum ini. Saya akui ketika ini sedang menangguhkan pengajian memandangkan jadual saya yang agak padat.
“Sekiranya sudah mempunyai masa terluang nanti, barulah saya saya akan sambung kembali pengajian saya itu. Lagipun tinggal dua semester sahaja lagi dan saya berazam untuk menamatkan pengajian saya itu,” ujarnya.
|
Pengorbanan Syafiq
Sama seperti Risteena, seorang lagi pelakon yang semakin meningkat naik iaitu Syafiq Kyle turut mengambil pendekatan yang sama dengan menangguhkan pengajian di UiTM semata-mata mahu memberikan tumpuan kepada bidang lakonan.
Merupakan pelajar dalam jurusan Diploma Filem, Teater Dan Animasi, pemilik nama sebenar, Mohd. Syafiq Shamim Abd. Razak itu menyatakan, dia tidak mahu melepaskan peluang yang terhidang di depan mata.
“Sebelum ini saya pernah melakukan dua perkara secara serentak iaitu belajar dan berlakon tetapi akhirnya saya berasa ia sesuatu yang agak sukar untuk dilakukan sekarang.
“Jadi, setelah difikirkan semasak-masaknya saya ambil keputusan untuk menangguhkan pengajian saya dahulu. Ternyata ia satu pengorbanan yang terpaksa dilakukan, namun peluang yang diperoleh ini bukannya datang selalu,” ujarnya yang berada di semester keempat.
Ketika ditanya tentang hala tujunya dalam bidang lakonan lantaran pengorbanannya itu, pelakon yang dikenali ramai menerusi drama bersiri Anugerah Terindah itu bertekad untuk lebih serius dan lebih menghargai segala peluang yang ada.
“Sebelum ini saya pernah bersikap terlalu mengambil mudah terhadap kerja yang dilakukan dan kini saya tidak mahu mengulanginya lagi. Kini, saya akan lebih bersungguh-sungguh dan mahu bersaing secara lebih sihat dengan pelakon yang sedia ada,” ungkapnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: