Thursday, July 3, 2014

Transisi Najwa Mahiaddin


MUNCUL dengan EP Aurora, album ini menyelitkan rakaman semula lagu lama Seri Mersing dalam konteks muzik antarabangsa hasil idea Najwa.


TATA GAYA Najwa Mahiaddin kali ini cukup berbeza. Jika dahulu Artis Baru Terbaik AIM18 itu dikenali dengan imej diva-glamor yang manis dan ceria, Najwa beralih meneroka sisi gelap dalam eksperimen muziknya yang lebih matang.
Terbukti ketika Najwa menjayakan showcase sempena pelancaran album EP terbaharunya, Aurora baru-baru ini, anak kepada Timbalan Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu selesa mengenakan sepersalinan gaun serba hitam, topi floppy brim dan sepasang kasut but.
Bercakap mengenai transisi dan perubahan ketara muzik dan imej, kata Najwa, keseluruhan yang ditonjolkan adalah refleksi kematangan dan keberaniannya.
"Makna Aurora sendiri saya umpamakan sama dengan diri saya. Ia bermaksud cahaya pertama yang keluar daripada kegelapan, namun bagi saya ini adalah satu permulaan baharu sama ada dari segi muzik dan imej yang keseluruhannya bersifat lebih matang.
"Sama seperti imej saya kali ini, pada tahun 2011 muzik saya lebih cerita dan ada elemen retro, maka saya sesuaikan dengan imej saya ketika itu.
"Apabila muzik berkembang, imej saya juga turut serta berkembang dan menjadikan diri saya hari ini. Mungkin dalam album seterusnya saya akan masih kekal begini dan tidak mustahil imej saya juga akan berubah sekali lagi.
"Saya rasa muzik saya tidak cocok dengan imej saya sebelum ini tapi sekarang saya sudah nampak konsep dan hala tuju dalam industri seni ini. Paling utama saya tidak mahu orang melihat saya streotaip dengan satu genre sahaja," katanya yang ditemui usai majlis pelancaran EP Aurora di Ruang, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Aurora
Najwa, 28, bagaimanapun tidak menolak dakwaan bahawa kemunculan album EP Aurora kali ini mengubah landskap muzik R&B dan Soul sebelum ini, menjadikan buah tangan terbaharu itu lebih bersifat 'gelap'.
"Sebagai seorang artis, saya perlu menolak diri saya keluar daripada zon selesa. Bukan sakit jiwa atau tertekan tapi ini sebahagian daripada eksperimentasi dalam dunia muzik," katanya.
Aurora diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Nada Biru Muzik dan mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya. Album itu mula dikeluarkan pada 6 Mac 2014 menerusi saluran iTunes.

MENURUT Najwa, dia tidak pernah memilih untuk menjadi popular, namun menjadi penyanyi kerana dia menuntut dalam bidang muzik sekali gus mencurahkan pengetahuannya dengan membuat album dan menyanyi.


Bermula cemerlang menerusi lagu Lover yang digubahnya sendiri, aliran Aurora diadun sempurna dalam persembahan lagu Before, Floatin', Wonderland dan ditutup kemas dengan lagu asli bersulam elemen elektronik, Seri Mersing.
Kenapa Seri Mersing? Jawab Najwa, selain lagu itu mempunyai intipati dan seri paling memukau untuk dipersembahkan di negara asing, Seri Mersing juga mewakili dirinya yang merupakan anak kelahiran Johor.
"Saya sendiri berasal dari Johor dan lagu yang dimainkan dengan iringan muzik ghazal itu sudah melekat dalam jiwa sejak kecil lagi.
Seri Mersing
"Seri Mersing ada sari kemelayuan yang tinggi dan mencerminkan keseluruhan album Aurora sebenarnya. Stailnya berbeza dan semua tahu lagu itu, gubahan semula ini kemudiannya terjadi secara organik tanpa dirancang pun.
"Lagu ini saya kekalkan dengan lenggok asli yang asal cuma diadun dengan bunyi elektronik dan lebih sinematik untuk diperkenalkan kepada generasi muda," ujarnya.
Terjadinya projek eksperimentasi lagu asli dalam muzik elektronik bermula daripada salah satu tugasan yang diberikan oleh pensyarahnya ketika menuntut di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat beberapa tahun lalu.
Salah seorang temannya dari Zimbabwe bertanyakan jenis muzik yang boleh mewakili Malaysia untuk dijadikan himpunan lagu sejagat, lantas Seri Mersing yang terlintas dalam fikiran Najwa.
"Sama seperti album saya sebelum ini dan lagu Got To Go, tak semua pendengar yang boleh menerimanya. Saya mahu melakukan sesuatu yang berbeza daripada yang sudah sedia ada dalam industri.
"Memang sukar untuk puaskan hati semua pihak tapi bagi saya cukuplah apabila saya ada peminat sendiri yang sering memberikan maklum balas," ujarnya yang tidak menolak kemungkinan untuk merakamkan beberapa buah lagu asli lain lagi selepas ini.

NAJWA mengambil kesempatan Ramadan kali ini untuk berehat bersama keluarga sebelum pulang ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajiannya.


Yuna, Zee Avi
Bercerita mengenai populariti, jika dibandingkan perkembangan Najwa dengan Yuna mahupun Zee Avi, kedua-dua penyanyi wanita itu lebih dikenali dan diingati peminat di Malaysia.
Mengulas mengenai perkara itu, Najwa sedar akan kehadirannya yang bukan semata-mata untuk meraih peminat dalam industri hiburan, sebaliknya mahu berkongsi antusiasnya dalam dunia muzik.
"Bukan saya yang pilih untuk popular di sana dulu berbanding Malaysia, setiap individu ada haluan hidup sendiri dan ini jalan saya.
"Saya ke sana (Amerika Syarikat) untuk belajar dan punyai kehidupan sendiri. Siapa yang tidak mahu bernaung di bawah label antarabangsa tapi saya tidak kisah sebab saya belajar daripada kosong.
"Tidak pernah saya menjauh hati apabila orang kurang mengingati saya berbanding Yuna atau Zee Avi kerana itu hakikat. Cukuplah untuk ada peminat yang masih setia menantikan kepulangan saya ke tanah air," jelasnya realistik.
Sementara itu, sempena kemunculan bulan Ramadan tahun ini, Najwa akan menyambutnya bersama keluarga dan teman-teman di Malaysia sebelum pulang semula ke New York.
"Perancangan saya untuk berehat dan menghasilkan lebih banyak lagu bersama kawan-kawan saya di sini (Malaysia), maklumlah sudah setahun tidak pulang ke kampung halaman.
"Selama ini pun kami sekeluarga hanya berinteraksi menerusi grup WhatsApp sahaja untuk bertanya khabar, sebab itu kali ini saya luangkan lebih masa untuk bersama mereka," singkapnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: