|
PERNAH sekali putus tunang beberapa tahun lalu, penyampai radio Hot FM, Ikhwan atau nama sebenarnya, Mohd. Khairul Ikhwan, 31, mendedahkan, dia yang telah bertunang buat kali kedua, sekali lagi putus tunang pada penghujung tahun lalu.
Lebih tepat kata penyampai radio yang mengendalikan segmen Hot FM Jam itu, dia memutuskan tali pertunangan dengan wanita yang dikenali dengan nama Natasha Nadia Abdul Kahar pada tanggal Maal Hijrah baru-baru ini selepas mengikat tali pertunangan pada bulan April 2013.
Kesempatan bertemu dengan Ikhwan pada majlis iftar Hot FM bersama media di Flora Terrace, Hampshire Palace, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut daripada pengacara Galaksi itu. Ikuti temu bual berikut.
Kosmo!: Benarkah dakwaan bahawa Ikhwan sudah putus tunang sekali lagi?
IKHWAN: Ya, memang benar saya sudah putus tunang dan ini adalah pengalaman kali kedua saya putus tunang. Saya memilih tarikh yang baik iaitu Maal Hijrah lalu untuk membawa keluarga saya bertemu dengan keluarganya bagi urusan memutuskan ikatan pertunangan kami secara baik. Saya tidak mahu aibkan sesiapa berhubung perkara ini (putus tunang).
Dua kali putus tunang, apa sebenarnya yang menjadi punca kesilapan?
Orang mesti akan nampak saya yang negatif dan bermasalah sebab sudah dua kali gagal dalam perhubungan. Sebagai lelaki, memang saya akan nampak kejam dan silapnya orang akan tuding pada saya tapi biarlah punca perpisahan ini kami saja yang simpan kerana ia terlalu peribadi. Saya halalkan apa yang saya bagi dan begitu juga dia.
|
Berapa lamakah tempoh perkenalan anda dan bekas tunang anda dan bagaimanakah sepatutnya hala tuju hubungan kalian?
Kami merancang untuk berkahwin pada tahun ini tapi apa boleh buat jodoh kami tidak berpanjangan. Kami bercinta sekitar setahun sebelum memutuskan untuk bertunang pada April tahun lalu.
Adakah anda serik untuk bercinta atau menjalinkan hubungan lagi selepas ini?
Selepas dua kali putus tunang, saya tolak ke tepi semua tohmahan negatif. Bagi saya, kalau 10 kali pun bertunang, andai bukan jodoh saya, apa boleh buat. Saya tidak serik untuk bercinta lagi dan kalau jumpa orang yang betul-betul sesuai dengan saya, kali ini rasanya tidak perlu ambil masa lama dan terus berkahwin sahaja atau bertunang dalam tempoh yang singkat.
Sedih atau terkilan dengan perpisahan itu?
Saya sedih sebab rapat dengan keluarga dia tapi untuk sebuah perhubungan saya tidak terlalu sedih. Insya-Allah, silaturahim saya dan keluarganya tidak akan putus.
Selain itu, khabarnya anda juga telah menamatkan kontrak sebagai pengacara rancangan Galaksi TV9. Benarkah?
Hampir empat tahun saya bersama rancangan Galaksi dan hujung minggu lalu merupakan episod terakhir saya. Rasa sedih itu sudah pasti ada memandangkan sudah empat tahun bersama pasukan tersebut. Kontrak saya sudah tamat dengan rancangan itu dan insya-Allah akan ada pembaharuan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: