MALAYSIA kini merupakan negara kelima pengeluar semi-proses koko terbesar di dunia dengan kadar pengeluaran biji koko sebanyak 2,809 tan metrik tahun lalu.
Melihat permintaan yang semakin meningkat dalam dan luar negara, Lembaga Koko Malaysia (LKM) mewujudkan program dan menganjurkan kursus kepada orang ramai bagi menggiatkan lagi usaha pengeluaran koko.
Antara program yang dijalankan ialah Program Koko Untuk Rakyat, Program Tanaman Baharu, Program Pembangunan Nurseri Anak Benih Koko dan Program Peningkatan Produktiviti Koko.
Selain itu, LKM turut memainkan peranan penting untuk membentuk dan membimbing usahawan-usahawan tempatan yang terlibat dalam penghasilan produk berasaskan koko Malaysia.
Pegawai Ehwal Ekonomi LKM, Abd. Karim Che Hamid berkata, antara usaha yang giat dijalankan ialah penganjuran program untuk mendorong dan mendidik orang ramai menjadi usahawan coklat.
"Kami ada menawarkan kursus Program Pembangunan Usahawa Coklat yang dibuka kepada orang ramai. Yuran dikenakan hanya RM250. Kursus ini meliputi perkara-perkara asas seperti resipi, cara pembuatan, keperluan peralatan dan kaedah pemasaran.
"Bagi usahawan yang telah berdaftar sebagai ahli LKM pula, mereka ditawarkan Kursus Lanjutan Kemahiran Pembuatan secara percuma," ujarnya ketika dihubungi oleh Kosmo! baru-baru ini.
Antara yang dipelajari oleh peserta termasuklah cara pemprosesan biji koko basah dan kering, pengilangan coklat, suhu, coklat buatan tangan, demonstrasi penghasilan coklat di kilang perintis, pembuatan coklat bar dan coklat berinti serta penghasilan inti coklat.
Tambahnya, sehingga kini kira-kira 160 usahawan coklat tempatan telah berdaftar dengan LKM bagi memperoleh manfaat bimbingan, termasuklah peniaga yang berniaga secara kecil-kecilan di rumah, bengkel dan seterusnya kilang.
Insentif
Ujarnya lagi, bentuk insentif yang diberikan oleh LKM lebih menjurus kepada bidang teknikal seperti kawalan kualiti dan pembangunan produk.
"LKM membantu pengusaha-pengusaha dengan memberikan sejumlah bungkusan produk dan menyewakan peralatan seperti mesin-mesin pemprosesan, termasuklah mesin panning, mesin parline serta mesin pengisar sebagai permulaan perniagaan.
"Tugas kami adalah merintis jalan pemprosesan yang terbaik untuk pengusaha coklat tempatan," ujarnya sambil memberitahu LKM turut membantu mempromosikan produk coklat tempatan di Butik Koko dan NS Galleria Chocolate World (NS Galleria) di Seremban, Negeri Sembilan.
Lebih 70 peratus produk coklat di dalam NS Galleria merupakan keluaran produk tempatan. Selain itu, LKM juga menempatkan usahawan coklat tempatan dalam ekspo-ekspo dijalankan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan, termasuklah pameran pertanian, hortikultur dan agropelancongan.
Sementara itu, Pengawai Penyelidik Makmal Rintis Pemprosesan Koko dan Coklat, Amirul Azri Azmi berkata, pengusaha-pengusaha tempatan turut diberi tunjuk ajar secara terperinci untuk menggunakan teknologi pemprosesan koko dengan betul.
"Kini kebanyakan pengusaha coklat tempatan telah pun menggunakan mesin automatik dan bukan lagi secara manual. Mesin-mesin ini setaraf dengan kemudahan pemprosesan di luar negara.
"Harga mesin-mesin buatan Malaysia juga lebih kompetitif berbanding di negara Eropah dan ia mampu dimiliki. Antara mesinnya adalah mesin panning dan mesin pencairan coklat dan pembungkusan produk," jelasnya.
Rintangan
Walaupun mesin digunakan oleh pengusaha sebaik di negara pengeluar produk coklat lain, namun menurut Amirul keadaan cuaca negara tropika ini menjadi salah satu rintangan buat pengusaha.
Justeru, pengusaha tempatan dan pihak LKM sentiasa berganding bahu dalam inovasi resipi dan sistem bagi menjadikan produk coklat tidak mudah cair.
Sementara itu, bagi membantu mengetengahkan produk coklat tempatan, LKM akan menganjurkan Hari Coklat dan Koko Malaysia 2014 yang berlangsung selama dua hari bermula 27 September depan di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur.
Acara tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali koko dengan lebih lanjut selain mendedahkan pengusaha tempatan dalam memahami kehendak dan keperluan pelanggan.
Untuk maklumat lanjut, layari lama rasmi LKM di http://www.koko.gov.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: