Tuesday, July 8, 2014

Jadi bos tapi mengaku kuli


  • Nippu menjalankan perniagaan kuih di kaki lima sebuah kedai, di sini.Nippu menjalankan perniagaan kuih di kaki lima sebuah kedai, di sini.

MEREKA berniaga dan menjadi bos di premis sendiri. Tetapi ketika ditanya wartawan, mereka mengaku sebagai pekerja di situ.

Mereka mengaku bekerja dengan majikan orang tempatan sedangkan perniagaan itu dipercayai milik mereka sendiri yang disewa melalui orang tempatan.

Mereka berkeras mengaku ada majikan tetapi apabila ditanya lanjut berhubung majikannya, mereka gagal mengemukakan maklumat yang diminta. Hakikatnya, mereka ini memiliki premis sendiri dibantu beberapa pekerja senegara.

Inilah fenomena yang berlaku di sekitar Klang. Premis-premis perniagaan di sini disyaki wujud kegiatan ‘alibaba’ yang  disyaki didalangi orang tempatan.

Selain berniaga kuih-muih tradisional yang digemari warga India Bangladesh iaitu Bangladesh Jillabi, premis itu turut menawarkan jualan beg, cadar, alat telekomunikasi dan barangan lain. Mereka mengakui majikan menyewa dengan kadar RM6,000 sebulan.

Ketika ditanya adakah pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat pemeriksaan di kawasan perniagaan, salah seorang peniaga dikenali sebagai Nippu mengaku pemeriksaan ada dibuat. Dia mengaku perniagaan mereka tidak diganggu kerana mempunyai lesen.

Reaksi yang ditunjukkan Nippu dan beberapa warga asing yang menjalankan perniagaan di situ menunjukkan mereka bebas berniaga di sekitar pusat bandar Klang sejak bertahun lalu.

Persoalannya, adakah benar premis-premis di sini dialibabakan? Sejauh manakah fenomena ini diberi perhatian pihak-pihak berkuasa?

Apa yang merisaukan kini, melihat bandar Klang seperti bukan lagi melihat bandar di negara sendiri. Itu reaksi orang tempatan dan warga Klang kini.

Premis-premis di sini didominasi warga Indonesia, Nepal, Bangladesh dan Myammar. Walaupun mereka ini mengaku hanya bekerja namun masyarakat yakin mereka ini pemilik premis berkenaan yang menggunakan lesen perniagaan orang lain.

Salah siapa?

Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mengambil tindakan tegas ke atas peniaga warga asing yang semakin bermaharajalela di bandar ini.

Zaharin Janghi, 54, berkata isu perniagaan didominasi warga asing bukan hanya berlaku di pusat bandar Klang malah sudah menular di kawasan  Meru, Sementa, Kampung Delek dan Sungai Udang.

“Golongan mereka ini makin besar. Akhirnya anak tempatan ibarat ‘melukut di tepi gantang’ dan hanya mampu lihat tanah air sendiri dipenuhi warga asing,” katanya.

Pihak PBT digesa tidak tutup mata dalam isu ini kerana ia membabitkan maruah tanah air.

“Perkara ini memang berlaku. Bila warga asing berniaga mereka tutup mata. Bila peniaga tempatan berniaga kecil-kecilan, mereka ambil tindakan.

“Dua-dua tak ada lesen tapi yang kena hanya sebelah pihak. Ini tidak adil,” katanya.

Sementara itu, DK Vicky, 36, pula berpendapat kalangan warga tempatan sendiri membuat silap apabila membenarkan warga asing berniaga menggunakan lesen mereka.

“Sebab nak untung mereka kenakan bayaran tinggi kepada warga asing...kira untung atas angin.

“Macam mana nak bendung kalau warga tempatan sendiri beri peluang,” katanya.

Bagi mengekang kegiatan itu terus berleluasa, Vicky menyarankan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas peniaga warga asing serta orang ketiga yang bertindak mengalibabakan lesen perniagaan.

“Jika perkara ini tidak diberi perhatian tegas, ia akan berleluasa dan Klang akan berubah wajah ibarat negara asing. Buktinya sudah ada depan mata sekarang ini,” katanya.

Rayu maklumat orang ramai

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohammad Yacob berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan peniaga warga asing termasuk peniaga tempatan yang bertindak mengalibabakan lesen perniagaan.

“Jika benar  memang wujud kegiatan mengalibabakan lesen perniagaan itu, kita akan bertindak tegas dengan menamatkan lesen perniagaan mereka.

“MPK mempunyai garis panduan berhubung perkara ini dan kita tidak sekali-kali membenarkan warga asing menjalankan perniagaan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, jika wujud aduan berkenaan kegiatan itu, siasatan lanjut akan dijalankan.

“Tiada maaf bagi mereka yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil. Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara memaklumkan kepada MPK segera,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: