Friday, July 4, 2014

Ketulusan hati Fara


MEMILIH berhijab, keputusan itu didorong oleh diri sendiri dan kerana Allah, bukan disebabkan oleh pihak lain seperti lelaki.


CERITA Fara Fauzana dan hijab bukan satu perkara baharu. Berita itu hangat diperkatakan sejak penyampai radio Hot FM itu mula mengubah imejnya secara perlahan-lahan pada Mac lalu.
Bermula dengan hanya berselendang, kini Fara atau nama sebenarnya, Fara Fauzana Mohd. Fadzil, 34, sudah berhijab penuh. Memenuhi tuntutan sebagai Muslimah sejati, akui Fara hatinya kini lebih tenang.
Malah, Ramadan tahun ini menjadi Ramadan pertama buat wanita itu benar-benar memanfaatkan erti menutup aurat.
Bagaimanapun tegas Fara, dia tidak mahu ada pihak yang tersalah tafsir atau melihat tindakannya berhijrah sebagai satu jambatan untuk menjadi perhatian, sedang hakikatnya, banyak lagi wanita lain yang turut melalui proses serupa demi kebaikan masa depan.
Kata Fara: "Jika ingin dikaitkan dengan Ramadan, secara amnya semua berjalan seperti biasa.
"Saya masih ke kelas agama, masih menunaikan solat tarawih sama seperti sebelum ini, cuma kali ini, selain imej bertudung, saya semakin banyak mendalami tafsir al-Quran.
"Malah, tahun ini, pengisian Ramadan saya lebih kepada kerohanian. Saya mengurangkan aktiviti berbuka puasa di luar demi memberi peluang untuk saya memanfaatkan ganjaran pada bulan mulia ini."
Namun, dalam ketenangannya menjalani hidup dengan imej baharu itu, hati wanitanya tersentuh. Semuanya kerana gosip yang mendakwa dia berhijab kerana lelaki.
"Hati saya sedih apabila orang kata saya berubah kerana lelaki dan ingin berkahwin. Sedangkan saya berubah kerana Allah bukan kerana orang lain.
"Gosip yang tersebar itu sedikit sebanyak mengganggu saya. Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk berubah kerana orang lain melainkan atas kesedaran diri sendiri," katanya sambil menitiskan air mata.
MASIH banyak perlu belajar. Itu kata Fara Fauzana tentang perubahan imejnya kini.


Dalam kesedihan sempat juga Fara bercanda, katanya yang menyimpan impian untuk berkahwin pada usia 21 tahun, andai gosip kononnya dia bakal berkahwin itu benar, dialah insan paling bahagia.
"Jujurnya saya harap jodoh saya datang pada usia 21 tahun tetapi sehingga 34 tahun saya masih solo. Saya tidak akan sorok jika benar saya bercinta tetapi yang sedihnya gosip itu tidak benar," tuturnya yang percaya Allah mempunyai rencana yang lebih baik untuknya.
Terkesan dengan gosip tersebut, Fara memujuk hatinya dengan memekakkan telinga.
"Saya bukan sehari dua dalam industri seni, saya anggap gosip itu seperti angin lalu. Ia akan hilang perlahan-lahan apabila orang sudah lupa mengenainya," balas pengacara program Nona itu lagi.
Bercerita tentang imej baharunya, wanita berusia 34 tahun itu menjelaskan, ia berlaku tanpa dirancang meskipun sudah lama memasang niat untuk berhijab.
"Ya, memang saya ada pasang niat untuk berhijab suatu hari nanti tetapi ia berlaku tanpa dirancang. Bermula Mac lalu, pada suatu pagi saya bekerja seperti biasa.
"Sudah menjadi kebiasaan saya menggunakan selendang ketika berada dalam konti kerana sejuk. Bagaimanapun, selepas habis waktu kerja saya masih memakai selendang dan apabila ingin tanggalkan selendang itu, saya rasa seperti kepala togel, jadi saya sarung kembali selendang itu," ujarnya.
Jelasnya, sehingga ke hari ini dia masih tidak dapat menjelaskan perasaannya apabila sudah berhijab. Apa yang boleh dikongsikan, selain mendapat ketenangan hati, dirinya juga berubah menjadi lebih tenang.
"Sebelum ini saya seorang yang mudah melenting, terutamanya dalam bab kerja. Saya seorang yang sukakan kesempurnaan apabila bekerja.
"Namun, sejak berhijab saya boleh mengawal emosi dengan lebih baik. Tidak cepat melenting dan lebih mengawal tutur kata," ucap anak kedua daripada tiga adik-beradik itu.
FARA kini semakin selesa dengan penampilannya yang lebih sopan.


Feminin
Sungguhpun penampilan baharu Fara mendapat sokongan ramai pihak terutama peminat, keluarga dan rakan sekerjanya tetapi akui Fara dia juga diberi ujian daripada orang sekelilingnya.
"Tidak ada orang mempertikaikan imej berhijab tetapi dugaan yang datang seperti ada orang yang tidak yakin dengan keputusan saya berhijab.
"Waktu saya berselendang dan masih nampak rambut, pada mereka lebih baik tidak pakai selendang langsung. Memang saya sedih apabila mereka kata begitu tetapi saya anggap itu sebagai dugaan untuk menjadi insan yang lebih baik," katanya yang mengisi bulan Ramadan dengan aktiviti kerohanian.
Ketika sesi fotografi berlangsung, Fara dilihat lebih feminin dan lembut. Katanya, apabila dia berhijab secara automatik dirinya akan berubah menjadi lebih sopan berbanding sebelum ini.
"Saya memang agak kasar dan lasak tetapi apabila saya menyarungkan busana Muslimah secara automatik diri saya menjadi lebih lembut.
"Perubahan itu tidak mendadak, sebaliknya saya masih kekal menjadi diri saya sendiri, cuma Fara Fauzana hari ini lebih tertutup dan sopan," akui yang menjadi wajah atau muse untuk jenama pakaian FF by Maganda oleh sahabatnya, Syed Faizal Syed Noh.
Ucapnya, meskipun sudah mengubah imej, dia masih belajar untuk menjadi Muslimah sejati secara perlahan-lahan.
"Berhijab bukan tiket untuk saya mendidik dan menasihati orang lain sedangkan saya masih mencari ilmu untuk diri sendiri," luahnya.
Justeru kata Fara, berilah peluang buatnya memperbaiki kelemahan diri sendiri dan semua pihak berlapang dada mengambil sisi positif pada setiap perubahan bukan sahaja pada dirinya tetapi kepada rakan artis yang lain.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: