Sunday, July 6, 2014

Alyah: Menyanyi pun tak boleh


  • AlyahAlyah

PENGHIJRAHAN dan penampilan berhijab beberapa artis wanita dalam industri hiburan tempatan kini bukan lagi satu perkara yang asing.

Perubahan itu juga dilihat sebagai satu perkembangan yang membanggakan memandangkan ia menepati tuntutan syarak dan agama Islam sendiri.

Tidak dinafikan segelintir artis ini terlalu menonjol dengan penampilan baru mereka itu sedangkan ilmu belum cukup di dada.

Ibarat menjadi satu trend, selebriti yang baru berhijab sering dikaitkan dengan gelaran ‘ustazah segera’ kerana terlalu lantang berbicara soal agama.

Berkongsi pandangan mengenai perkara itu, penyanyi Alyah akui lebih selesa berdiam diri sekiranya ditanya mengenai penghijrahan dan imej hijabnya.

“Sebenarnya, saya tidak berani untuk berkata apa-apa dalam perkara ini.

“Saya tidak boleh nak menghakimi mana-mana artis yang memakai hijab kerana saya sendiri masih berada dalam bidang nyanyian. Tambahan pula banyak godaan dalam bidang kerjaya ini.

“Kalau diikutkan pengertian hijrah, menyanyi pun saya tidak boleh. Sebab itu saya tidak mahu terlalu lantang dan hanya selesa berdiam serta muhasabah diri,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Album Havoc Raya anjuran Sony Music, bertempat di Menara TM, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Alyah memberitahu dirinya kini masih menjalani proses perubahan secara berperingkat.

“Saya masih baru dalam berhijab dan proses itu masih berjalan secara  perlahan-lahan.

“Saya sangat bersyukur hidayah ini berlaku pada diri saya dan selagi mampu saya akan cuba menjaganya.

“Perubahan ini adalah untuk diri saya sendiri dan biarlah perubahan yang datang itu sedikit demi sedikit,” tuturnya.

Rehat di bulan puasa

Dalam pada itu, pelantun Kisah Hati ini berkata, Ramadan tahun ini lebih bermakna buat dirinya kerana ini kali pertama dia bercuti dalam bulan puasa.

“Sudah lapan tahun saya tidak bercuti sepenuhnya pada bulan Ramadan.

“Sebelum ini saya terpaksa bekerja keras untuk membina nama dalam industri ini sehingga tidak punya masa yang cukup biarpun ketika bulan puasa.

“Memandangkan semuanya telah stabil, saya ambil peluang tahun ini untuk bercuti,” katanya.

Justeru masa yang ada dimanfaatkan bersama keluarga dan untuk dirinya sendiri.

“Sebab tidak ada masa, ada di kalangan ahli keluarga yang merajuk. Jadi saya mahu manfaatkan masa yang ada untuk bersama mereka dan luangkan sedikit masa untuk diri sendiri,” katanya sambil tersenyum.

Pilih Hisham Hamid?

Beralih pada karier nyanyian, Alyah yang baru sahaja tampil dengan single terbaharunya Sesal Separuh Nyawa kini sekali lagi menampilkan muzik video yang tidak kurang hebatnya.

Sebelum ini Alyah terkenal dengan muzik video lagu hit Kisah Hati yang menampilkan aktor Remy Ishak dan untuk single terbaharu ini Hisham Hamid telah dipilih.

“Muzik video ini adalah arahan Ghaz Abu dan terhasilnya video ini adalah atas perbincangan bersama. Masing-masing beri idea dan ia bukanlah keputusan saya seratus peratus.

“Memandangkan ini adalah muzik video pertama saya dengan imej hijab, jadi saya cuba buktikan kita masih boleh buat sesuatu yang mengikut perkembangan semasa,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Alyah memberitahu bakal tampil dengan album pertamanya hujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: