Friday, July 4, 2014

Terharu tetamu suap nasi


  • Nur Izzah (kiri) menyuapkan nasi ke mulut Siti Hawa semasa kunjungan dibuat ke rumahnya.Nur Izzah (kiri) menyuapkan nasi ke mulut Siti Hawa semasa kunjungan dibuat ke rumahnya.

TANJUNG DAWAI - “Dah tujuh tahun makcik sakit tetapi ini kali pertama orang yang mengunjungi sudi menyuapkan nasi ke mulut makcik selain anak lelaki.

Demikian luahan seorang warga emas, Siti Hawa Mat Saman, 82, dalam nada sayu dan terharu, ketika dia dikunjungi sukarelawan Universiti Utara Malaysia untuk bersahur.

Menurutnya, dia cukup gembira dikunjungi sukarelawan yang melakukan singgah sahur dan tersentuh apabila Nur Izzah Atirah Khairul Anuar, 22, sudi menyuapkan nasi ke mulutnya.

“Terima kasih kepada anak-anak yang sudi singgah ke rumah makcik untuk sahur bersama-sama dan menyampaikan sumbangan bagi keperluan harian,” katanya.

Selain itu, Zuhairi Abidin, 33, yang terlantar akibat kemalangan tiga tahun lalu mengucapkan terima kasih kerana dikunjungi sukarelawan.

“Kesudian kumpulan ini membuktikan masih terdapat generasi muda yang turut memberi tumpuan terhadap pembangunan insan di samping melakukan kerja-kerja sukarelawan yang merupakan satu tugas mulia,” katanya.

Nur Izzah antara 40 mahasiswa UUM yang hadir melakukan singgah sahur kepada 25 penduduk Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai malam kelmarin.

Pengarah Projek, Nur Liyana Shafawi, berkata, aktiviti singgah sahur kali ini memfokuskan supaya generasi muda memberi tumpuan kepada golongan ibu tunggal serta beberapa kelompok masyarakat yang memerlukan perhatian.

“Ada yang tersentuh hati melihat kehidupan golongan memerlukan sehinggakan mendatangkan kesan mendalam dalam diri masing-masing.

“Dengan adanya aktiviti sedemikian, kita harapkan agar hubungan kasih sayang sesama insan dapat dipupuk selain menanam sifat kesukarelawan yang dapat disumbangkan golongan memerlukan,” katanya.

Menurutnya, rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan kesyukuran dan teruja dengan kehadiran sukarelawan dari Dewan Penginapan Pelajar (DPP) SME Bank, UUM ke kampung itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: