Sunday, July 6, 2014

Anak Pelakon Linda Rafar Meninggal Dunia Akibat Kanser Perut


Gambar Rezaimen Kiflin Kifli, 12, yang dimuat naik di akaun Instagram Linda Rafar, petang Sabtu.
PETALING JAYA: Anak kedua kepada penyanyi dan pelakon Linda Rafar meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini, pada petang Sabtu. 

Adik kepada penyanyi tersebut, Diana Rafar mengesahkan mengenai kematian anak saudaranya, Rezaimen Kiflin Kifli, 12 akibat penyakit kanser perut.  

"Allahyarham meninggal dunia pada pukul 5.30 petang Sabtu selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal dan tidak bercakap. 

"Jenazah kini berada dan disembahyangkan di kediaman Linda sendiri di Seksyen 6, Shah Alam" katanya ketika dihubungi mStar Online, pada Ahad. 

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 22, Shah Alam kira-kira pukul 10 pagi Ahad. 

Sementara itu, Diana berkata, Allahyarham dikesan menghidap penyakit tersebut sejak lima bulan lalu apabila sering mengadu sakit perut. 

Bagaimanapun, Diana menyifatkan Rezaimen sebagai seorang kanak-kanak yang kuat kerana masih mampu bermain dan bergurau biarpun bertarung dengan penyakit tersebut. 

"Kita dapat kesan dia menghidap kanser pada lima bulan lalu selepas sering mengadu sakit perut, namun ketika itu kanser tersebut sudah pada tahap empat. 

"Namun sepanjang lima bulan ini dia seperti kanak-kanak lain yang mampu untuk bercakap dan bergurau senda dengan kami semua," ujarnya. 

Tambah Diana, Rezaimen sempat memberi pesanan dan menyerahkan barang-barang kepunyaannya kepada adik-beradiknya. 

"Dia seperti tahu akan meninggalkan kami semua, malah sempat memberi barang-barang yang dia sayang kepada adik-adiknya. 

"Dia beri telefon bimbit serta permainan lain dan berkata bahawa dia tidak mahu lagi harta dunia," katanya. 

Sementara itu, Diana berkata, kakaknya Linda masih lagi dalam keadaan bersedih dengan pemergian tersebut. 

Rezaimen yang merupakan anak kedua Linda hasil daripada perkahwinan pertama bersama bekas suami Keifli Othman dimasukkan ke wad HUKM sekitar Mac lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: